Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 547 - Batu Hitam Misteri (4)

Chapter 547 - Batu Hitam Misteri (4)

Fan Zhuo bercakap dengan nada serius. Matanya tertumpu pada Batu Jed Hitam itu dan tiba-tiba ada cahaya yang bersinar jauh di dalam matanya.

"Perak Hitam?" Mata Rong Ruo mengecil apabila mendengar istilah itu digunakan. Dia memandang Fan Zhuo, seolah-olah mencari sesuatu.

Pandangan Qiao Chu dan yang lain juga bertukar aneh. Tetapi perasaan ingin tahu dalam renungan mata mereka itu lenyap sepantas kilat.

"Perak Hitam ialah logam yang sangat sesuai digunakan untuk menempa cincin roh. Logam ini jarang ditemui. Batu Jed Hitam sebesar itu hanya akan mempunyai Perak Hitam kira-kira sebesar telur burung merpati." Fan Zhuo begitu asyik dengan penjelasannya. Dia tiba-tiba teragak-agak seketika sebelum berpaling pada Jun Xie.

"Jun Xie, barang itu sangat sesuai digunakan bagi menempa cincin roh untuk semua orang. Apa kata saya cuba membidanya?"

Mereka sudah pun memiliki batu roh. Tetapi mereka masih belum menentukan jenis logam yang akan digunakan untuk menempa cincin-cincin tersebut.

"Tak perlu," balas Jun Wu Xie. "Saya akan membelinya."

Fan Zhuo terkejut.

Jun Wu Xie berpaling untuk memandang Fan Zhuo lalu berkata, "Kamu tak mampu beli."

Pipi Fan Zhuo terus bertukar kemerah-merahan.

Dia benar-benar terlupa! Dia jarang keluar dan sangat tidak biasa dengan harga barangan di dunia luar. Sebelum dia pergi, Fan Jin telah memberikan beberapa ribu tahil kepadanya. Setelah memikirkannya dengan lebih lanjut, barulah dia sedar yang beberapa ribu tahil dalam tangannya itu langsung tidak cukup untuk membeli barangan berharga tiga ratus ribu tahil….

Tak mungkin dia mampu membelinya!

Wajah Fan Zhuo semakin kemerah-merahan.

Seperti biasa, Qiao Chu langsung tidak sensitif dengan suasana ini lalu ketawa terbahak-bahak. Dia meletakkan tangannya ke bahu Fan Zhuo.

"Fan Zhuo, jangan risau! Kami semua "dibela" oleh "bank bergerak" kami ni! Jun Xie ni teramat kaya!" Selepas berkata begitu, Qiao Chu dengan tidak malunya mengenyitkan mata pada Jun Wu Xie.

Jun Wu Xie tidak berkata apa-apa dan hanya membuat muka menyampah.

"Qiao Dungu ni makin tak malu." Fei Yan mencemuh.

Qiao Chu langsung tidak terasa lalu berkata, "Kalau kamu tak malu, pergilah beli."

"….." Fei Yan tergamam.

Hua Yao menggelengkan kepalanya dengan tidak berdaya. Integriti Qiao Dungu ini semakin hancur setelah "dibela" oleh Jun Wu Xie.

Setelah keputusan dicapai, Jun Wu Xie membunyikan loceng gangsa di tingkat kedua.

Loceng itu berdering dengan kuat dan jelas. Bisikan-bisikan perlahan dalam kerumunan orang ramai itu tiba-tiba terhenti. Semua orang mendongak untuk mengintai tingkat kedua itu.

Deringan loceng gangsa tersebut menandakan ada tetamu di tingkat kedua yang sudah melakukan bidaan.

Di belakang pentas tersebut, lelaki berbalut yang sedang kecewa dan putus harapan itu tiba-tiba mengangkat kepalanya. Dia menjengah ke arah bunyi loceng tersebut. Di dalam satu bilik peribadi di tingkat kedua, dia terlihat satu susuk tubuh kecil. Wajah pemuda itu kelihatan lembut dan amat muda. Dia berdiri di tepi penghadang sambil memegang loceng gangsa.

Pemuda itu sedang bercakap dengan seorang pembantu yang telah bergegas datang padanya. Pembantu Rumah Lelong Chan Lin itu kemudian melaungkan, "Tetamu di bilik peribadi satu membuat bidaan sebanyak tiga ratus ribu tahil!"

Laungan itu membuatkan orang ramai di dalam Rumah Lelong Chan Lin itu yang tadinya diam sahaja, menjadi gempar!

[Ada orang sanggup menghabiskan tiga ratus ribu tahil untuk membeli batu yang rosak dan tak berguna tu!? Orang tu sudah gilakah?]

Semua orang mula riuh cuba menjengah, mengintai bilik peribadi di tingkat kedua itu.

Apabila melihat orang itu ialah seseorang yang teramat muda, mereka semua terfikirkan hal yang sama, "orang dungu mudah hilang duitnya". Mereka merasakan budak muda yang tak tahu apa-apa ini pasti begitu kagum mendengarkan "Cenuram Penghujung Syurga" dan dengan naifnya memikirkan barang ini amat berharga. Tidak ada siapa yang akan membelanjakan jumlah sebanyak itu dengan sewenang-wenangnya.

Ramai yang terkejut, tetapi ramai juga yang mencemuh kenaifan Jun Wu Xie sehingga ditipu oleh Rumah Lelong Chan Lin.

Selepas terseksa menantikan seseorang melakukan bidaan, jurulelong itu hampir menitiskan air mata kelegaan. Dia langsung tidak teragak-agak sewaktu mengangkat tukulnya dan mengetuknya sebanyak tiga kali berturut-turut. Dia bimbang Jun Wu Xie akan menarik kembali tawarannya dan cepat-cepat mahu menyelesaikan urusan ini.