Orang-orang dari Rumah Lelong Chan Lin membawa turun batu itu dari pentas sambil tersenyum. Jun Wu Xie membayar harganya dan akan mengambil batu tersebut selepas acara lelongan ini selesai.
Selepas itu, suasana di rumah lelong itu kembali mengujakan. Barangan berharga yang kecil dan besar dibawa naik ke atas pentas satu demi satu. Gelombang demi gelombang perang bidaan yang sengit mula berlaku.
Tidak ada satu pun barang yang dibawa keluar selepas batu itu menarik perhatian enam orang rakan ini. Suasana mengujakan akibat keputusan tegas dan pantas Jun Wu Xie untuk berbelanja tadi, mula reda. Mereka yang menanti untuk melihat "si dungu" itu berbelanja lagi, telah dikecewakan.
Setelah satu jam berlalu, lelongan itu akhirnya tamat. Setiap barangan telah dilelong, tidak ada satu pun yang tinggal.
Ramai yang pulang dengan puas hati dan membawa bersama barangan berharga yang mereka perolehi.
Memandangkan Jun Wu Xie telah membeli barangan yang "besar dan hebat", dia perlu menanti sehingga giliran terakhir sebelum orang-orang dari rumah lelong itu membawa keluar Batu Jed Hitam tersebut.
Seorang lelaki pertengahan umur yang memakai jubah broked menemani orang-orang itu dan berjalan menuju mereka.
"Selamat petang semua. Saya pemilik Rumah Lelong Chan Lin dan nama saya He Chang Le. Saya tidak rasa muka tuan-tuan pelanggan yang budiman ini biasa saya lihat. Ini kali pertama kamu semua datang ke Rumah Lelong Chan Lin?" He Chang Le mengalu-alukan kumpulan itu sambil ketawa. Matanya kelihatan mesra sambil dia memandang sekumpulan anak muda yang tampan dan cantik serta memiliki aura yang hebat.
Jun Wu Xie mengangguk, langsung tidak kelihatan berminat untuk berbual-bual dengan He Chang Le.
He Chang Le tidak serik dan terus berkata, "Memandangkan kamu semua ni pelanggan baru kami dan bidaan pertama kamu juga sangat tinggi, saya sebagai pemilik Rumah Lelong Chan Lin ingin memberikan kamu sesuatu sebagai hadiah. Ini ialah lambang yang kami berikan hanya untuk tetamu kami yang paling unggul." Sambil bercakap, He Chang Le mengeluarkan lambang emas bersaiz sebesar tapak tangan. Dua patah perkataan, "Chan Lin" diukir pada lambang tersebut.
"Dengan adanya lambang ini, apabila kamu kembali ke Rumah Lelong Chan Lin, kamu boleh masuk terus ke bilik peribadi kami tanpa sebarang bayaran tambahan."
Jun Wu Xie memandang He Chang Le sekilas dan memberi isyarat kepada Qiao Chu dengan melambaikan tangannya. Qiao Chu cepat-cepat tampil ke hadapan untuk menerima lambang tersebut.
Hati Qiao Chu masih lagi berasa perit setelah mereka membelanjakan tiga ratus ribu tahil di lelongan tersebut. Sekurang-kurangnya dengan adanya lambang ini, mereka tidak perlu lagi membayar untuk bilik peribadi selepas ini. Jadi dia berbesar hati menerimanya.
Melihatkan Jun Wu Xie sanggup menerima hadiahnya, He Chang Le tersenyum lalu berkata, "Sejujurnya, bidaan Tuan Muda pada batu hitam itu hari ini sangat membantu rakan saya. Kalau Tuan Muda tak keberatan, rakan saya itu mahu bertemu untuk mengucapkan terima kasih secara peribadi."
Jun Wu Xie mengangkat sebelah keningnya. Sebelum dia membuka mulutnya untuk menjawab, Hua Yao mencelah lalu berkata, "Kalau dia ikhlas mahu berterima kasih, bawalah dia ke mari."
He Chang Le mengangguk dan berlalu untuk menjemput rakannya.
Hua Yao melangkah ke belakang dan berbisik ke telinga Jun Wu Xie, "Perak Hitam tidak boleh didapati di Alam Bawahan dan hanya ada di Alam Pertengahan. Batu Jed Hitam itu tidak sepatutnya berada di situ. Kalau Batu Jed Hitam itu benar-benar berasal dari Cenuram Penghujung Syurga, pasti tempat itu ada menyimpan rahsia."
Macam mana sesuatu yang hanya boleh ditemui di Alam Pertengahan muncul di Alam Bawahan?
Jun Wu Xie terus dapat meneka sesuatu.
Hua Yao dan yang lain pasti mengesyaki yang Batu Jed Hitam itu ada kaitan dengan makam Maharaja Kegelapan.
Setelah memikirkannya, Jun Wu Xie tidak berkata apa-apa lagi, tetapi….
Menurut Hua Yao, Perak Hitam tidak wujud di Alam Bawahan. Jadi macam mana Fan Zhuo tahu tentangnya?
Jun Wu Xie ingat dengan jelas yang Fan Zhuo ialah orang pertama yang mengenal pasti batu itu sebagai Batu Jed Hitam dan dia juga yang pertama sekali mengatakan Perak Hitam boleh didapati dari Batu Jed Hitam. Bagaimana Fan Zhuo begitu arif tentang Batu Jed Hitam yang hanya wujud di Alam Pertengahan?
Jun Wu Xie berkerut sambil memikirkan hal ini. Dia mencuri pandang ke arah Fan Zhuo dan mendapati pemuda itu sedang merenung Batu Jed Hitam dengan penuh minat. Nampaknya dia tidak terdengar perbualan di antara Hua Yao dan Jun Wu Xie.