Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 543 - Bandar Chan Lin (6)

Chapter 543 - Bandar Chan Lin (6)

Fan Zhuo membalas sambil tersenyum, "Saya tahu sikit-sikit."

"Kalau macam tu, kami serahkan pada kamu saja." Tanpa berkata apa-apa lagi, Qiao Chu menyerahkan batu-batu roh yang telah diberikan kepadanya itu kepada Fan Zhuo.

Fan Zhuo terkejut. Dia menyangkakan Qiao Chu dan yang lain akan bertanya lebih lanjut sebelum benar-benar yakin untuk menyuruhnya menempa cincin-cincin roh mereka. Proses menempa cincin roh bukan hal yang kecil. Kalau tukang tempa itu ada niat jahat dan menggunakan muslihat semasa proses tersebut, roh berkontrak mereka akan terjejas. Namun Qiao Chu dan rakan-rakannya hanya bertanya jika dia tahu cara menempa cincin roh dan meletakkan kepercayaan penuh ke atasnya untuk melakukan tugasan penting ini. Ini sudah melebihi jangkaan Fan Zhuo.

Selepas itu, Hua Yao dan yang lain juga menyerahkan batu-batu roh mereka kepada Fan Zhuo tanpa teragak-agak.

"Saya percaya dengan penilaian Jun Xie terhadap orang lain," kata Qiao Chu sambil ketawa.

Rakan mereka itu sangat bijak dan tajam akal. Kalau Jun Xie tidak percayakan orang ini, dia tidak akan membawanya bersama-sama dalam perjalanan ini.

Fan Zhuo ketawa besar.

"Saya tak akan kecewakan kamu semua. Tetapi saya memerlukan beberapa peralatan lain untuk menempa cincin roh kamu. Saya nak lihat jika ada yang sesuai semasa lelongan nanti." Fan Zhuo tidak mahu terlalu banyak memberi penjelasan. Dia percaya ganjaran terbaik untuk kepercayaan penuh mereka terhadapnya ialah dengan memberikan hasil terbaik untuk mereka.

Selepas rancangan mereka diputuskan, mereka mula berbual-bual dengan gembira. Dengan adanya Fan Zhuo, Qiao Chu berlawak jenaka sekali lagi dan bunyi ketawa riuh kedengaran dari dalam bilik itu.

Hua Yao dan yang lain merasakan berbanding Fan Jin yang tegas itu, Fan Zhuo yang sering tersenyum ini lebih menyenangkan.

Bandar Chan Lin mempunyai satu rumah lelongan yang hanya dinamakan Rumah Lelongan Chan Lin. Lelongan akan dilakukan setiap tiga hari dan kebetulan, hari inilah lelongan akan bermula. Selepas makan malam, kumpulan berenam itu melangkah keluar dari rumah tumpangan mereka. Berbanding waktu siang, Bandar Chan Lin lebih sibuk pada waktu malam. Jamung-jamung membara, menyinari jalan dalam kegelapan malam. Tanglung-tanglung yang cantik dinyalakan dan digantung tinggi sebagai hiasan jalan-jalan dan lorong-lorong kecil di situ.

Ada banyak lagi pemandangan menarik di Bandar Chan Lin pada waktu malam. Terdapat pentas-pentas yang mempersembahkan pelbagai aksi sarkas dan pertunjukan opera. Penjaja-penjaja juga memenuhi jalan dengan pelbagai barang untuk dijual.

Jalan utama itu begitu sesak sehingga sukar untuk dilalui. Sebahagian besar daripada orang-orang di situ ialah para pelajar Akademi Zephyr. Wakil-wakil daripada pelbagai kuasa besar juga datang mencari pelajar-pelajar Akademi Zephyr ini. Walaupun para pelajar ini belum menamatkan pengajian, reputasi Akademi Zephyr yang amat dihormati itu menjadikan para pelajarnya dianggap sebagai yang terbaik. Pelbagai kuasa besar ini berniat mahu memenangi hati para pemuda ini sewaktu mereka masih kurang berpengalaman dan naif. Selepas pelajar-pelajar ini menamatkan pengajian nanti, kuasa-kuasa ini akan mendapat tambahan kekuatan yang mengagumkan.

Sebab itulah pada waktu-waktu sebegini Bandar Chan Lin menjadi luar biasa sesaknya.

Enam orang anak muda ini hilang di celah-celah kerumunan orang ramai.

Disebabkan keadaan yang sesak, Jun Wu Xie tidak membawa Tuan Embek Embek keluar dengannya tetapi meninggalkan kambing biri-biri itu di rumah tumpangan, bersama-sama dengan kucing hitam kecilnya. Terpaksalah kucing hitam kecil itu menjadi penjaga Tuan Embek Embek.

Sepanjang jalan itu, Fan Zhuo berharap dia ada banyak mata supaya dapat menikmati lebih banyak lagi pemandangan di sekelilingnya. Kesibukan dalam lautan manusia ini membuatkan Fan Zhuo semakin gembira. Mujurlah badan Qiao Chu tinggi dan tegap. Dia dapat melindungi Fan Zhuo dan Jun Wu Xie, seorang itu lemah tubuh badannya manakala seorang lagi badannya kecil molek, daripada terpisah dengan kumpulan mereka di tengah-tengah kesibukan ramai ini.

Walaupun mempunyai perisai manusia yang cekap, sewaktu kumpulan itu sampai ke satu kawasan yang tidak begitu sesak, pakaian Fan Zhuo sudah pun renyuk teruk.

"Tempat ini memang penuh orang!" Fan Zhuo berkata dengan teruja sambil tersenyum lebar.

"Kamu suka?" tanya Qiao Chu. Dia memandang Fan Zhuo sambil termengah-mengah. Mereka tak tahu Qiao Chu hampir kehilangan kasutnya sewaktu menempuh lautan manusia itu tadi.

"Tak juga. Tapi ini pengalaman baru!" kata Fan Zhuo dengan gembira.

"Kita perlu merentasi dua jalan lagi sebelum sampai ke rumah lelongan. Kalau kita bergegas ke sana sekarang, kita sempat lagi sertai lelongan bahagian kedua," kata Fei Yan sambil merujuk peta yang dipegangnya dan membandingkan tanda tempat pada peta itu dengan kawasan tempat mereka berdiri.