Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 544 - Batu Hitam Misteri (1)

Chapter 544 - Batu Hitam Misteri (1)

Disebabkan kedudukannya berdekatan dengan Akademi Zephyr, sebahagian besar pelanggan Rumah Lelong Chan Lin adalah pelajar-pelajar akademi itu. Mereka yang mampu masuk ke Akademi Zephyr datang dari keluarga yang berpengaruh atau berkuasa. Barang-barang biasa tidak akan menarik perhatian mereka. Sebab itulah Rumah Lelong Chan Lin tidak kurang dengan barangan luar biasa. Ramai pedagang yang datang ke sini membawa barangan berharga yang jarang ditemui.

Acara melelong di Rumah Lelong Chan Lin bermula pada waktu senja. Langit kini sudah gelap sepenuhnya dan lelongan itu sudah separuh selesai.

Sewaktu Jun Wu Xie dan rakan-rakannya tiba di rumah lelong itu, satu barang baru telah dibawa ke pentas dan perang tawar-menawar yang sengit sudah pun bermula.

Kumpulan Jun Wu Xie mendapat bilik peribadi di Rumah Lelong Chan Lin, di tingkat dua. Bilik persendirian ini disediakan khas untuk para tetamu yang tidak suka diganggu dan boleh digunakan setelah membayar harga sewaan bilik. Jun Wu Xie membayar jumlahnya dan enam orang rakan itu naik terus ke tingkat dua.

Bilik itu tidak terlalu besar dan mempunyai dinding di tiga sisi. Sisi keempat menghadap pentas dan dihadang dengan palang kayu berukir yang cantik.

Makanan ringan juga dihidangkan. Selepas enam orang rakan ini mengambil tempat duduk masing-masing, mereka memerhatikan barangan yang dipamerkan di atas pentas.

Kebanyakan barangan yang dilelong itu ialah batu roh. Gred minimum yang ditetapkan ialah gred pertengahan. Batu-batu roh di bawah gred ini ditolak oleh rumah lelong tersebut.

Jun Wu Xie diam sahaja memerhatikan lelongan yang berlangsung. Tidak ada apa yang dibawa ke pentas itu yang mendapat perhatiannya. Beberapa barangan lain yang dipamerkan selepas itu juga tidak menarik minatnya. 

Hua Yao, Qiao Chu dan yang lain tidak berminat dengan hal yang melibatkan perbelanjaan wang. Hanya Fan Zhuo yang menonton lelongan ini dengan perasaan teruja. Dia sangat berminat dengan cara pengendalian lelongan ini.

Masa berlalu dan mereka sudah pun berada di bilik itu selama lebih satu jam. Sebaik Jun Wu Xie hampir bosan, kedengaran satu jeritan terkejut di tingkat pertama rumah lelong itu.

Jeritan itu menarik perhatian keenam-enam pemuda di dalam bilik itu!

Di atas pentas, satu batu hitam sebesar separuh ketinggian manusia sedang dibawa naik. Batu hitam itu kelihatan luar biasa beratnya. Seluruh batu itu berwarna hitam legam dan setiap sisinya bergerigi, nampak seperti sudah lama terluluhawa.

Satu batu hitam yang tidak diketahui asal usulnya dibawa masuk untuk dilelong di tempat sebegini. Hal ini membingungkan orang ramai. Jurulelong itu bergelut untuk mengekalkan senyumannya yang penuh yakin, tetapi hatinya dilanda gelora. Dia sukar memikirkan cara untuk menjelaskan tentang barang ini.

Orang ramai merenung batu yang dibawa keluar untuk dilelong itu dengan perasaan tidak percaya.

Tetapi orang yang menyerahkan barangan ini kepada mereka ialah seseorang yang dikenali oleh pemilik Rumah Lelong Chan Lin. Orang itu berulang kali menyakinkan pemilik rumah lelong itu yang barang ini berharga dan jarang ditemui. Kemudian barulah rumah lelong itu menerimanya dengan berat hati. Seperti yang dijangka, barangan ini baru sahaja dibawa naik ke pentas dan sudah pun menggemparkan keadaan.

Mereka yang duduk di hadapan pentas terjenguk-jenguk dengan perasaan ingin tahu, mengintai batu hitam yang tidak diketahui asal-usulnya itu. Mereka sabar menanti jurulelong itu memperkenalkan barang ini.

Namun begitu, jurulelong tersebut hanya berkata dengan wajah yang kaku, "Batu hitam ini ditemui di kawasan Cenuram Penghujung Syurga dan mengandungi kuasa misteri. Tetapi batu ini teramat kuat dan tidak boleh dipotong. Kalau ada sesiapa dapat menyelesaikan dilema ini, mereka boleh memiliki barang ini pada harga asasnya."

Cenuram Penghujung Syurga ialah cenuram tidak berdasar yang curam. Dasar cenuram itu diselubungi kabus tebal dan tidak ada sesiapa yang pernah turun ke situ. Ada yang mencuba untuk turun menggunakan tali, tapi setelah beratus-ratus meter tali digunakan pun mereka tidak sampai ke dasarnya. Sejak itu, tidak ada siapa yang berani turun ke dasar cenuram itu lagi.

Khabarnya, di dasar Cenuram Penghujung Syurga itu terdapat banyak Binatang Roh Gred Penjaga. Sesiapa yang cuba turun ke dasar cenuram itu akhirnya akan hilang dan dipercayai telah ditelan oleh Binatang Roh Gred Penjaga yang amat kuat.

Tempat misteri dengan khabar angin menggerunkan yang mengatakan tempat tersebut ialah habitat Binatang-binatang Roh Gred Penjaga. Ini sudah cukup untuk membuatkan orang ramai berputus asa untuk ke Cenuram Penghujung Syurga atau cuba turun ke dasarnya.