Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 530 - Burung Merpati Menyusup ke Sarang Murai (1)

Chapter 530 - Burung Merpati Menyusup ke Sarang Murai (1)

"Apa? Ning Xin datang melawat?" Tengah hari keesokan harinya, Fan Jin muncul sekali lagi untuk mengecek makanan. Fan Zhuo memberitahu Fan Jin yang Ning Xin ada singgah untuk melawatnya. Berita mengejut ini membuatkan Fan Jin agak terperanjat.

Kalau hal ini berlaku sebelum Perburuan Roh dan Ning Xin datang bertemu Fan Zhuo, pasti Fan Jin tidak teragak-agak menerima kebaikan hati Ning Xin. Tetapi setelah apa yang berlaku, hati Fan Jin kini dipenuhi perasaan tidak percaya terhadap Ning Xin.

Sewaktu Nangong Xu kembali ke Akademi Zephyr, dia telah melaporkan segalanya yang dia tahu kepada Fan Qi. Tetapi Fan Jin telah menyembunyikan maklumat tentang cubaan membunuh ke atas dirinya sendiri daripada ayahnya.

Tiada sebab lain dia menyembunyikan hal ini selain hakikat yang memberitahu ayahnya tentang insiden tersebut sama seperti memutuskan hubungan dengan Ning Xin. Lagipun, mereka telah membesar bersama-sama. Fan Jin menganggap inilah kali terakhir dia akan memberi muka pada Ning Xin.

"Ya. Ning Xin juga bawa kuih pulut kegemaran saya," kata Fan Zhuo sambil ketawa.

Wajah Fan Jin menjadi muram. "Jun Xie, macam mana keadaan Fan Zhuo?" Sewaktu mengingatkan kembali cubaan membunuh yang dilaluinya, wajah Fan Jin berkerut dengan bimbang.

Jun Wu Xie yang memeluk Tuan Embek Embek dan kucing hitam kecil itu, menjeling seklias pada Fan Jin lalu berkata perlahan, "Bagus."

Fan Jin mengeluh lega.

"Abang, kamu berdua ada terjumpa apa-apa yang pelik di Hutan Roh Pertempuran?" tanya Fan Zhuo sambil tersenyum. Matanya tertumpu pada dua bebola berbulu yang Jun Wu Xie peluk.

Tidak seperti kucing hitam kecil itu, Tuan Embek Embek langsung tidak mempedulikan Fan Zhuo. Malah setelah Fan Zhuo berterusan memujuknya dan mencuba apa sahaja untuk bermesra dengannya, dia tetap gagal dan akhirnya hanya mampu memandang sahaja punggung berbulu itu.

Fan Jin terkejut mendengarkan soalan itu. Dia mengalihkan pandangan sebelum bercakap hal-hal remeh.

Fan Jin tidak pernah berkongsi hal sebegitu dengan Fan Zhuo kerana dia sering mahukan Fan Zhuo memulihkan diri dalam keadaan tenang.

"Kalau saya dapat pulih sepenuhnya, saya mahu melawat Hutan Roh Pertempuran." Fan Zhuo mula berangan-angan. Disebabkan keadaan kesihatannya, dia tidak selalu dapat melangkah keluar dari Akademi Zephyr sebelum ini. Dia begitu teringin untuk melihat dunia di luar akademi tersebut.

Kini, hasil penjagaan rapi Jun Wu Xie, keadaan kesihatannya bertambah baik hari demi hari. Pemandangan yang tidak pernah dia tidak berani impikan dapat lihat, mula menarik-narik hatinya.

Gunung-ganang yang megah, sungai yang berliku-liku, alam semula jadi yang mengagumkan. Dia teringin menjadi bebas, untuk melihat pemandangan-pemandangan itu.

Sewaktu terlihat keinginan yang terpancar pada mata adiknya, hati Fan Jin menjadi perit. Dia memaksa dirinya tersenyum dan bergurau untuk menceriakan Fan Zhuo. Suasana di meja makan tersebut dipenuhi gelak ketawa.

Melihatkan Fan Zhuo bertambah ceria, Dan Jin kembali berselera. Baru sahaja dia memegang kayu penyepitnya, Jun Wu Xie sudah menepis kayu penyepit itu dari tangannya sehingga jatuh berkeletak dengan kuat ke atas lantai.

"Ada racun." Jun Wu Xie mengecilkan matanya.

Ekspresi wajah Fan Jin menjadi kaku.

Senyuman di wajah Fan Zhuo mula lenyap.

"Mereka gunakan bahan yang sama seperti sebelum ini. Tak pandai guna cara lain ke?" Jun Wu Xie bangun dan membuang semua makanan di atas meja itu ke luar.

Sejak Ah Jing dihalau, kesemua hidangan di hutan buluh itu disediakan dan dihantar oleh pembantu Fan Qi yang dipercayai. Makanan untuk Fan Zhuo semuanya hidangan berubat yang Jun Wu Xie sediakan. Jadi makanan yang dihantar ke sini biasanya masuk ke perut Fan Jin.

"Macam mana ini boleh berlaku? Selepas pulang, saya beri perhatian pada makanan yang dihantar ke sini. Saya nampak sendiri yang semuanya disediakan di dapur peribadi Ayah sebelum dihantar ke sini," kata Fan Jin dengan wajah yang berang.

Semua orang yang bekerja dengan Fan Qi telah bersama-sama mereka sejak sekian lama dan sangat setia. Jadi bagaimana makanan itu boleh diracun?

Siapakah dalang di sebaliknya?

"Ayah tak akan apa-apakan saya. Jadi pasti orangnya salah seorang daripada kakitangan peribadi Ayah," kata Fan Jin sambil mengecilkan matanya.

"Hidangan untuk Fan Zhuo semuanya disediakan sendiri oleh Pak Cik Gong. Tak ada orang lain yang akan menyentuhnya," kata Fan Jin sambil memikirkan hal ini berulang-kali. Disebabkan keadaan kesihatan Fan Zhuo yang kurang baik, mereka amat berhati-hati dengan apa sahaja yang dimakannya.

T/L : Tajuk bab ini berkaitan dengan satu sajak Cina lama yang menceritakan tentang burung merpati yang lemah lembut dan penakut tidak tahu cara membina sarang manakala burung murai pula membina sarang terbaik. Maksud tajuk ini boleh diterjemahkan sebagai mengambil kediaman atau hak orang lain secara paksa.