Mereka risau makanan yang disediakan untuk Fan Zhuo akan memberi kesan terhadap ubat-ubatannya. Jadi pembantu Fan Qi yang dipercayai, Gong Cheng Lei, diarahkan untuk menguruskan hal ini. Bermula dari persiapan sehinggalah penghantaran makanan, Gong Cheng Lei menguruskan semuanya sendirian, tanpa campur tangan sesiapa.
Gong Cheng Lei ialah seseorang yang Fan Qi selamatkan dalam salah satu pengembaraannya dulu. Ketika itu mereka berdua masih muda dan Fan Qi masih lagi belajar di bawah Tuan Gurunya. Sejak itu, Gong Cheng Lei telah menjadi pengikut Fan Qi. Selama berdekad-dekad ini, Gong Cheng Lei telah membuktikan dirinya sebagai orang yang teramat setia dan tidak pernah menunjukkan sebarang tanda sebagai pengkhianat.
Fan Jin bersedia meragui Pak Cik yang telah menjaganya sejak kecil.
"Mungkin bukan dia. Kalau ada orang mahu lakukannya, perencah yang digunakan juga boleh diragui," kata Jun Wu Xie.
Fan Jin mempertimbangkan segala kemungkinan, tetapi tidak dapat memikirkan siapa lagi yang boleh dicurigai.
Jun Wu Xie terus merenung Fan Jin. Matanya bersinar-sinar.
Dia ada seseorang yang dia syak telah menjadi dalang kejadian ini. Fan Jin sepatutnya boleh terfikirkan orang ini juga, tetapi dia nampaknya masih keliru.
Emosi selalunya akan mengganggu pertimbangan seseorang.
Jun Wu Xie menghirup teh, memikirkan sama ada dia perlu mendedahkan apa yang disyakinya pada si dungu di hadapannya ini.
"Abang," kata Fan Zhuo secara tiba-tiba.
"Ada apa?"
"Kebelakangan ni, Ayah masih makan bersama-sama Pak Cik Ning?" tanya Fan Zhuo dengan perasaan ingin tahu.
Fan Jin mengangguk dan menjawab, "Pak Cik Ning masih tidak mengubah kebiasaannya untuk makan bersama-sama Ayah selama bertahun-tahun ini. Ayah selalu mengatakan yang mereka telah melakukannya sejak mereka masih belajar lagi. Hubungan mereka berdua ternyata sangat rapat. Ayah selalu terfikir untuk merapatkan lagi hubungan dua keluarga ini dengan…"
Sedang dia bercakap tentang merapatkan hubungan kekeluargaan ini, Fan Jin tiba-tiba terdiam dan menutup mulutnya. Matanya terbeliak dan dia tergamam merenung Fan Zhuo.
Jun Wu Xie menundukkan matanya dan tersenyum sedikit.
Nampaknya Fan Zhuo lebih bijak sedikit berbanding abangnya.
"Abang….. Abang terlupa ada sesuatu yang perlu dilakukan. Kamu berdua teruskanlah, ya!" Fan Jin tiba-tiba berdiri. Kata-kata Fan Zhuo tadi membuatkan dia berasa seperti telah dipanah petir. Kekeliruan yang menyelubungi mindanya seperti kabus, kini sudah lenyap.
Dia sering menyangkakan dalang itu ialah seseorang yang berdendam dengan Keluarga Fan. Tapi sekarang ini dia sedar yang keadaan sebenar mungkin bukan begitu.
Di dalam Hutan Roh Pertempuran, sewaktu Ning Xin cuba membunuhnya, Fan Jin sudah berasa kurang senang. Kata-kata Fan Zhuo tadi pula sudah membuatkan benih-benih keraguan itu mula bercambah.
Tidak ramai orang yang dibenarkan masuk ke kediaman Fan Qi. Jumlah orang yang dibenarkan masuk ke dapur peribadinya juga teramat sedikit. Selain Gong Cheng Lei dan Fan Jin, satu lagi kemungkinan ialah orang yang makan bersama-sama Fan Qi. Hanya Ning Rui yang mampu melakukannya!
Memandangkan Ning Xin cuba untuk membunuhnya, mungkinkah Ning Rui mensasarkan Fan Zhuo pula?
Fan Jin tidak berani terus memikirkan hal ini. Dia perlu pergi mencari Gong Cheng Lei dan mendapatkan penjelasan teliti. Fan Jin mahu mengumpul beberapa bukti lagi sebelum benar-benar yakin!
Fan Jin tergesa-gesa meninggalkan hutan buluh itu. Wajahnya kelihatan berang. Dia tidak boleh berlengah lagi!
Dia bersedia untuk melupakan sahaja tentang cubaan Ning Xin untuk membunuhnya. Tetapi jika pasangan ayah dan anak itu berniat mahu melakukan perkara yang sama terhadap Fan Zhuo, tidak mungkin dia akan melepaskan mereka!
Sewaktu merenung Fan Jin yang tiba-tiba bergegas pergi dari situ, sedikit senyuman pahit muncul di wajah Fan Zhuo. Dia menundukkan kepala untuk terus makan hidangan berubat di dalam mangkuknya.
"Memandangkan kamu dah tahu selama ini, kenapa baru sekarang kamu nyatakannya?" Jun Wu Xie meletakkan Tuan Embek Embek dan kucing hitam kecil itu ke atas meja. Dia menopang dagu sambil merenung Fan Zhuo yang kelihatan sangat tenang itu.