Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 529 - Tiba-tiba Menjadi Ramah (4)

Chapter 529 - Tiba-tiba Menjadi Ramah (4)

Ning Xin mempunyai kelebihan dalam berkata-kata, tetapi apabila berdepan dengan perbualan Jun Xie yang luar biasa ini, dia mendapati dirinya kelu. Minda Ning Xin tiba-tiba kosong dan dia tidak tahu apa jawapan apa yang boleh diberikan.

Ning Xin merasakan kalau dia terus berbual dengan Jun Xie, keadaan akan menjadi lebih teruk. Sikap kasar Jun Xie yang tidak disembunyikan itu pasti disebabkan dia masih berdendam dengan Yin Yan. Nampaknya, Ning Xin perlu menyuruh Yin Yan datang meminta maaf daripada Jun Xie dahulu.

Setelah menentukan tindakan seterusnya, Ning Xin tidak lagi mendesak Jun Xie agar meneruskan perbualan. Dia memutuskan untuk memberi perhatian kepada Fan Zhuo. Ning Xin berkelakuan malu-malu, menunjukkan dia mengambil berat dengan keadaan Fan Zhuo dengan kata-kata yang lembut.

Sifat sopan Fan Zhuo membuatkan dia menjemput Ning Xin duduk lebih lama dan minum teh bersama-sama.

Ning Xin cepat-cepat mengeluarkan kuih pulut yang dibawanya tadi. Seolah-olah tanpa sengaja, dia menghidangkan sedikit kuih pada Jun Xie. Diam-diam dia cuba merapatkan jurang di antara mereka.

Jun Wu Xie duduk di satu sisi meja sambil memegang kucing hitam kecil itu. Kemesraan Ning Xin yang berlaku secara tiba-tiba itu terlalu jelas berpura-pura. Sudah lama Jun Xie tinggal di hutan buluh itu, tetapi dia tidak pernah melihat Ning Xin datang ke situ. Setelah Perburuan Roh berakhir, dia akhirnya begitu teruja datang ke kediaman mereka. Kata-katanya pula seolah-olah mahu bermesra dengan mereka.

Kalau Jun Wu Xie tidak dapat melihat niat tersembunyi Ning Xin itu, sia-sialah dia menjalani kehidupan sebanyak dua kali.

Memandangkan ada orang mahu sangat datang dan dilayan sehingga berasa kurang senang, tak perlulah Jun Xie menolaknya, bukan?

Jun Wu Xie mengambil hidangan itu dan makan tanpa perasaan. Apabila melihat Jun Xie makan kuihnya, Ning Xin lega sedikit.

Fan Zhuo yang paling berkelakuan normal di antara mereka bertiga. Dia seolah-olah tidak sedar dengan apa yang berlaku dan berbual dengan tunangnya serta rakan serumahnya sambil minum teh.

Ning Xin bersabar sambil memerhatikan Jun Xie dalam diam.

Kalau bukan kerana pakar-pakar tahap ungu di belakang Jun Xie, sikap biadab Jun Xie terhadapnya sudah cukup untuk membuatkan Ning Xin mengamuk dan bergaduh dengan Jun Xie.

Tetapi di dalam situasi ini, Ning Xin hanya dapat mengetap gigi dan menelan saja penghinaan yang diterimanya. Dia terpaksa berpura-pura mesra dan bersandiwara. Ning Xin tidak ada pilihan selain menahan sahaja sesi minum teh yang menjengkelkan ini.

Ning Xin berjaya bertahan hampir separuh hari, tidak sanggup menunggu sedetik lagi. Sambil mengucapkan selamat tinggal pada Fan Zhuo dan Jun Xie, dia memaksa senyumannya yang hampir pudar itu untuk terus kekal. Ning Xin cepat-cepat melarikan diri dari hutan buluh yang menyesakkan dan langsung tidak peduli untuk mengambil semula bekas makanannya yang cantik. Walaupun kemarahannya hampir meledak, Ning Xin memaksa dirinya tersenyum dan berjanji akan datang melawat lagi.

Sebaik Ning Xin pergi, Fan Zhuo tiba-tiba meletakkan kuih pulut yang dipegangnya dan memandang Jun Xie sambil tersenyum.

"Jun Xie, kamu suka makanan yang Ning Xin bawa?"

Jun Wu Xie membalas, "Bolehlah."

"Kalau kamu tak suka, jangan makan." Fan Zhuo menghulurkan tangan dan mengambil kuih itu dari tangan Jun Xie. Dia mencampakkan makanan tersebut ke dalam bekasnya, menutup bekas itu, membawanya ke dapur lalu membuangnya di satu sudut. Kemudian Fan Zhuo membawa keluar sedikit kek buah berangan dan mempelawa Jun Xie untuk makan bersama.

Jun Wu Xie memerhatikan tindakan Fan Zhuo itu dalam diam dan terfikirkan sesuatu yang aneh. Dia memandang wajah lembut Fan Zhuo sewaktu kek buah berangan itu cair di dalam mulutnya dan mengalir masuk ke dalam tekaknya.

"Kamu tak suka dia?" tiba-tiba Jun Wu Xie bertanya.

Fan Zhuo agak terkejut, tetapi ketawa sambil berkata, "Dia bukan orang yang baik, Jun Xie. Kamu tak sepatutnya ada apa-apa hubungan dengannya."

Jun Wu Xie merenung pemuda malang yang dilahirkan dengan keadaan tubuh yang lemah tetapi bersifat lembut dan baik hati. Lama dia merenung Fan Zhuo. Setelah mendapati senyuman Fan Zhuo masih tidak pudar, Jun Wu Xie akhirnya berpaling. Namun dia masih lagi tidak membalas kata-kata Fan Zhuo.

Pada malam yang sama, dalam kegelapan, Fan Zhuo bangun. Dia memakai pakaian tidurnya dan pergi menyalakan api di dapur. Kemudian dia mencampakkan kotak makanan itu ke dalam api yang marak.

Bunyi kotak itu terbakar, jelas kedengaran. Cahaya dari api itu menyerlahkan wajah Fan Zhuo. Wajah itu kini langsung tidak menunjukkan kelembutan serta senyuman mesra seperti biasa. Sebaliknya, matanya menunjukkan kedinginan kejam yang bersinar terang, disinari cahaya hangat api tersebut.

Related Books

Popular novel hashtag