Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 523 - Angin Mula Bertiup (2)

Chapter 523 - Angin Mula Bertiup (2)

Tetapi kali ini,Ning Xin telah membawa pulang berita yang mengejutkan bersama-sama dengannya.

Ning Rui tidak pernah mempedulikan Jun Xie. Jadi dia terkejut apabila tiba-tiba mendapat tahu yang budak itu memiliki kuasa yang amat kuat manakala pelajar-pelajar kampus cawangan itu pula mempunyai roh tahap ungu!

Semuanya tidak boleh dipercayai!

Roh ungu merupakan kemuncak kuasa dan kekuatan. Sejak seratus tahun yang lalu, orang tahap ini tidak pernah muncul. Kenapa pula kuasa sehebat ini tiba-tiba ada pada pelajar-pelajar kampus cawangan? Semua pendedahan ini membuatkan Ning Rui tergamam dan dia tidak dapat memahaminya.

"Saya pasti saya nampak dengan jelas. Semuanya benar…." Apabila teringat apa yang dilihatnya tempoh hari, Ning Xin terus menggigil.

Ning Rui semakin berkerut. "Kamu pernah berhadapan dengan Jun Xie sebelum ini?"

Ning Xin terus menggelengkan kepala.

"Tak pernah. Semuanya dilakukan oleh Yin Yan."

Ning Rui mengetuk-ngetuk jarinya ke meja sambil berfikir panjang. "Kalau Fan Jin dapat memenangi hati pemuda-pemuda yang kuat ini, rancangan kita akan musnah. Memandangkan kamu tak pernah berdepan dengan Jun Xie sebelum ini, kamu patut gunakan seluruh kebolehan kamu dan sedaya-upaya memenangi hatinya. Yakinkan dia untuk ke pihak kita."

Ning Rui tidak pernah percaya dengan permusuhan serta persahabatan abadi. Dia pantas membuat keputusan mengenai situasi ini.

Ketika Jun Xie masih dianggap sebagai sampah, Ning Rui tidak kisah apabila Ning Xin menggunakan Jun Xie sebagai umpan. Tetapi apabila umpan itu didapati mempunyai kuasa yang hebat, tidak bijak membiarkan dia berada di pihak musuh.

Ning Xin terkejut. "Ayah, Jun Xie mungkin lebih kuat dari apa yang kita sangkakan. Tapi dia masih terlalu muda dan saya tak fikir kita perlu…"

"Kamu tahu apa!?" Ning Rui marah dengan tegas.

Ning Xin menggigil.

"Kamu fikir dari mana roh-roh ungu itu tiba-tiba muncul? Ayah sudah memeriksa semua orang yang berada bersama-sama Fan Jin dengn teliti. Jangan kata dia yang masih mentah tu, ayahnya yang amat dihormati itu juga tak akan mampu mendapatkan pakar roh ungu! Kalau Fan Jin benar-benar berkebolehan, dia tak akan jadi mangsa rancangan jahat kamu dengan mudah. Pakar-pakar roh ungu itu pasti ada kaitan dengan Jun Xie. Kalau kita mampu bawa Jun Xie ke pihak kita, bukan saja kita dapat seorang pelajar yang kuat, tetapi juga orang-orang kuat lain di belakangnya!" kata Ning Rui sambil ketawa kejam. Berdasarkan pemerhatian Ning Xin juga, Jun Xie sudah mencapai peringkat roh tahap kuning.

Budak berusia empat belas tahun sudah dapat mencapai tahap kuning.... Betapa berbakatnya dia? Tambahan pula, dia memiliki roh berkontrak yang kuat. Ini menjadikan Jun Xie sasaran yang bagus. Tapi lebih penting lagi ialah pakar roh ungu yang bersama-sama dengannya!

Kalau Ning Rui berjaya meyakinkan pakar-pakar roh ungu itu untuk menyebelahinya, semua yang berlaku sekarang ini tidak lagi akan menjadi masalah.

Ning Xin tersentak, menarik nafas dengan kuat. Dia baru tersedar betapa pentingnya untuk memenangi hati Jun Xie.

"Tapi selama ini saya menjadi mentor Yin Yan dan hubungan di antara dia dengan Jun Xie pula…" Suara Ning Xin semakin perlahan dan dia menggigit-gigit bibirnya. Hakikatnya, Ning Rui tidak pernah berniat membiarkan Yin Yan terus kekal berada di Akademi Zephyr kalau bukan kerana kedudukan Yin Yan di dalam akademi itu.

Selama ini, para pelajar fakulti Pemulih Roh diselia sendiri oleh Gu Li Sheng dan Guru Besar sekalipun tidak mampu masuk campur. Insiden di Hutan Roh Pertempuran pula hanya diketahui oleh beberapa orang iaitu Nangong Xu, Fan Qi dan Ning Rui. Demi melindungi reputasi Akademi Zephyr, tidak ada seorang pun di antara mereka yang berani membocorkan hal ini kepada sesiapa. Jadi Gu Li Sheng tidak tahu tentang hal ini. Sebab itulah dia tidak menghalau Yin Yan.

Yin Yan sudah agak lama berada di bawah jagaan Ning Xin. Sebagai gadis yang bijak, pastilah Ning Xin tahu tentang perasaan Yin Yan terhadapnya.

Tetapi kedudukan serta ketaatan Yin Yan membuatkan Ning Xin merasakan dia mudah dipergunakan dan dimanipulasi. Namun jika ada sesuatu yang memberi ancaman kepada kepentingan dirinya, Ning Xin tidak akan teragak-agak untuk mengorbankan apa sahaja.