Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 524 - Angin Mula Bertiup (3)

Chapter 524 - Angin Mula Bertiup (3)

"Sebenarnya, Li Zi Mu yang memulakan sandiwara ini. Yin Yan pula terpedaya dan terikut-ikut dengannya," kata Ning Rui sambil memberikan pandangan penuh makna pada Ning Xin.

Mata Ning Xin bersinar-sinar dan dia mula tersenyum.

"Maksud Ayah, Yin Yan perlu meminta maaf pada Jun Xie, ya?"

Ning Rui mengangguk dengan puas hati. "Kali ini jangan hampakan Ayah lagi. Kalau tak, Ayah akan benar-benar kecewa dengan kamu." Ning Rui merenung tajam pada Ning Xin. Walaupun mereka ada pertalian darah, Ning Xin teramat takut dengan ayahnya sendiri.

"Saya tak akan hampakan….." Ning Xin menelan air liurnya dan cepat-cepat meyakinkan Ning Rui.

Namun begitu, keadaan tidak berlaku seperti yang Ning Xin dan Ning Rui rancangkan..

Ning Rui berniat mahu menjadikan Lu Wei Jie dan lebih dua puluh pelajar lain itu sebagai kambing hitam dalam bencana yang berlaku disebabkan oleh Ning Xin. Dia menyangkakan, memandangkan Lu Wei Jie ada menaruh hati pada Ning Xin selama ini, Lu Wei Jie akan sanggup menyembunyikan hal sebenar demi Ning Xin.

Tetapi…..

Ning Rui tidak tahu yang Ning Xin ada menyembunyikan sesuatu daripadanya. Demi menyelamatkan diri sendiri, Ning Xin hanya membawa Yin Yan kembali bersamanya. Dia membiarkan Lu Wei Jie dan ahli kumpulannya yang lain tinggal di dalam hutan itu dan hal ini hampir menyebabkan mereka semua kehilangan nyawa.

Dalam keadaan ini, tak mungkin Lu Wei Jie akan menyembunyikan hal sebenar demi Ning Xin. Lebih-lebih lagi setelah mengetahui yang dia dan ahli kumpulannya yang lain akan disingkirkan dari Akademi Zephyr sedangkan Ning Xin serta Yin Yan langsung tidak dihukum.

Lu Wei Jie begitu marah!

Lebih dua puluh orang pelajar yang telah dibuang dari Akademi Zephyr berdiri di pintu pagar utama akademi tersebut. Air mata mereka berlinangan dan mereka semua berpakaian biasa setelah disuruh menanggalkan pakaian seragam akademi itu. Para pelajar ini merenung sayu pada akademi itu dengan hati yang berat.

Mereka memikirkan kembali pada hari pertama mereka sampai, penuh inspirasi untuk mencapai matlamat mereka yang murni. Ketika itu mereka berdiri dalam kalangan para pemohon yang sama-sama bersaing untuk diterima masuk dan mengimpikan hari di mana mereka mencapai kedudukan lebih tinggi dalam kalangan masyarakat. Tapi kini mereka langsung tidak memiliki apa-apa. Mereka belum habis belajar dan telah dibuang dari akademi. Semua impian dan aspirasi mereka hancur berkecai. Serpihan-serpihan impian ini bertaburan di hadapan mereka.

"Senior Lu, apa yang kita harus lakukan di masa hadapan?" Salah seorang pelajar di dalam kumpulan itu memandang Lu Wei Jie dengan sedih. Ramai pelajar lain telah berkumpul di hadapan pintu pagar itu untuk memerhatikan "ulat-ulat" yang telah disingkirkan ini.

Wajah Lu Wei Jie menjadi pucat dan dia merenung kumpulan pelajar yang sedang berkumpul itu. Kemarahan di dalam hatinya semakin membara.

"Nak buat apa lagi? Memandangkan Akademi Zephyr tak beri jalan keluar lain pada kita, tak perlulah lagi kita memikirkan untuk menjaga reputasi akademi ini! Kita boleh sama-sama menjatuhkan akademi! Saya langsung tak mahu menyayangi akademi ini lagi!" Lu Wei Jie menjerit dengan marah.

Setelah menghalau mereka, pihak Akademi Zephyr telah mengatakan para pelajar ini mempunyai keperibadian yang buruk serta melakukan perbuatan-perbuatan yang jijik.

Kritikan dari pihak akademi ini telah menghancurkan masa depan para pelajar ini. Dengan testimoni sebegitu dari Akademi Zephyr, mana mungkin ada akademi terhormat lain yang sanggup menerima mereka?

Lu Wei Jie hampir mahu meledak kerana berang. Sebelum ini, prospek masa hadapannya bersinar terang. Sebagai pemegang kedudukan kedua di Kejohanan Roh yang lalu, dia memiliki segala-gala yang dia mahukan. Tetapi dia telah telah dipukau oleh seorang perempuan jahanam lalu terlibat melakukan kesalahan yang akhirnya memusnahkan masa depannya sendiri. Semua tanggungjawab kesalahan itu dicampak padanya. Tetapi satu-satunya dalang segala rancangan jahat ini pula telah menggunakan kedudukan berkuasa ayahnya sebagai Naib Guru Besar untuk terlepas tanpa hukuman. Orang itu bukan sahaja tidak disingkirkan dari Akademi Zephyr, malah statusnya sebagai Senior Ning yang disegani juga tidak berubah.

Kenapa pula begitu?

Perempuan tak guna seperti itu, perempuan tak tahu malu seperti itu. Kenapa dia perlu membiarkan perempuan itu mencapai kegemilangan masa depan yang telah dirampas dari mereka?

Ekspresi wajah Lu Wei Jie semakin serius apabila kemarahan dan perasaan menjadi mangsa ketidakadilan semakin memuncak di dalam hatinya. Hal ini memberikan dia keberanian dan keazaman untuk akhirnya melangkah dan berdiri di hadapan para pelajar yang berdiri di pintu pagar akademi itu lalu menjerit dengan kuat!

Related Books

Popular novel hashtag