"Akademi Zephyr tidak layak mendapat reputasi sebagai akademi yang adil. Akademi ini telah menyalahgunakan kuasa demi kepentingan peribadi! Kami tak akan terima ketidakadilan ini!"
Pernyataan yang tegas dari Lu Wei Jie membuatkan semua pelajar di dalam Akademi Zephyr memasang telinga!
Mereka tidak tahu apa sebabnya Lu Wei Jie dan pelajar-pelajar lain itu dibuang dari Akademi Zephyr. Apabila mendengar apa yang Lu Wei Jie katakan, mereka mula terfikir hal ini lebih besar daripada yang dijangkakan!
Dalam kalangan kerumunan pelajar itu, ada satu susuk tubuh kecil berdiri di belakang sambil tersenyum dingin.
'Lu Wei Jie, saya selamatkan nyawa kamu sebelum ini, jadi hari ini kamu mesti buat persembahan terbaik sebagai balasan.'
"Senior Lu!" Para pelajar lain yang telah disingkirkan bersama-sama Lu Wei Jie merenungnya dengan bimbang. Mereka sama-sama bersubahat dalam melakukan jenayah dan sama-sama juga menjadi mangsa dalam hal ini. Tentulah mereka tahu apa yang Lu Wei Jie akan katakan!
"Masa depan kita semua sudah musnah. Berapa lama lagi kamu semua mahu menyembunyikan kebenaran demi orang itu? Mungkin kamu semua sanggup menjadi batu loncatan orang itu, tapi saya tidak! Dia dalang semua ini, jadi kenapa kita yang tanggung akibatnya? Dia masih selamat dalam akademi, menikmati kasih sayang dan perasaan hormat dari para pelajar yang jahil tentang perkara sebenar!" Lu Wei Jie memarahi ahli kumpulannya sambil mengetap gigi.
Dia tidak akan mengalah dengan mudah.
Kumpulan pemuda itu menundukkan kepala. Perasaan ketidakadilan mula tercetus di dalam hati mereka akibat kata-kata berapi-api dari Lu Wei Jie!
"Ning Xin! Kalau kamu masih ada hati nurani, keluar ke sini sekarang! Kamu tewas dengan ketamakan kamu sendiri dan cuba membunuh para pengikut Puncak Menjejak Awan serta Jeneral Tentera Rui Lin! Cubaan kamu gagal dan kamu letakkan semua beban kesalahan tu pada kami! Demi memberikan penjelasan pada Puncak Menjejak Awan dan Tentera Rui Lin, Akademi Zephyr telah mencampakkan semua tanggungjawab kesalahan itu pada kami dan singkirkan kami dari akademi. Kami perlu tanggung semuanya! Kami tak ada jalan keluar dari situasi ini sedangkan kamu langsung tidak terkesan! Hanya kerana ayah kamu tu Naib Guru Besar Akademi Zephyr! Hanya kerana Guru Besar akademi dan ayah kamu tu rakan seguru!" Lu Wei Jie langsung tidak akan menahan dirinya. Memandangkan Ning Xin dan Ning Rui tidak memberikan mereka jalan keluar lain, dia tak perlu sembunyikan apa-apa!
Walaupun dia tidak dapat menghabiskan pengajian akademiknya, Lu Wei Jie yakin yang dia masih akan berjaya hasil bantuan keluarganya yang berpengaruh!
Kata-kata Lu Wei Jie membuatkan kerumunan para pelajar yang sedang berkumpul itu menjadi kecoh?
Apa hal pula dengan Puncak Menjejak Awan? Kenapa pula sebut tentang Tentera Rui Lin? Dua nama ini bergema secara berterusan dan ibarat panahan petir yang menusuk ke jiwa para pelajar di situ!
Ning Xin membuat rancangan menentang dua kuasa tersebut?
Apa yang sebenarnya dah berlaku?
Didorong kata-kata penuh bersemangat dari Lu Wei Jie, para pelajar lain yang telah bersedia untuk memaafkan dan melupakan hal ini tiba-tiba tersedar tentang perbezaan di antara hukuman yang dikenakan ke atas mereka berbanding Ning Xin. Mereka turut menjadi marah dan menyertai Lu Wei Jie untuk mendedahkan segala maklumat yang mereka tahu tentang insiden yang berlaku di Hutan Roh Pertempuran.
Lebih dari dua puluh orang pelajar bersuara, satu demi satu. Mereka menjelaskan segala-galanya yang telah berlaku.
Setelah mendengar hal sebenar, para pelajar lain semuanya terdiam dan tergamam. Wajah mereka kelihatan terkejut!
Lu Wei Jie dan Ning Xin, kedua-duanya amat dikenali dan dianggap sebagai pemimpin pelajar di Akademi Zephyr. Walaupun Lu Wei Jie tidak dipuja-puja dan disayangi seperti Ning Xin, dia memiliki kuasa yang hebat. Dia mendapat pujian ramai sebagai pemuda yang bijak.
Mereka berdua mempunyai hubungan yang baik dan semua pelajar akademi itu tahu yang mereka berdua berada dalam kumpulan yang sama sewaktu menyertai Perburuan Roh.
Tapi kini, semua ahli kumpulan itu telah disingkirkan dari akademi bersama-sama dengan Lu Wei Jie. Semuanya kecuali Ning Xin dan Yin Yan. Hal ini sudah cukup mencurigakan. Kini setelah ditambah dengan kata-kata Lu Wei Jie dan pelajar-pelajar lain, satu perdebatan hangat mula tercetus!
Tiada siapa dapat membayangkan Senior Ning yang biasanya lemah lembut dan elegan itu ialah seorang pembunuh yang tamak. Seseorang yang mahukan kekayaan peribadi dan merupakan gadis keji yang sanggup mengkhianati ahli kumpulannya sendiri seperti yang diceritakan oleh Lu Wei Jie dan pemuda-pemuda lain itu.
Semakin mereka bercakap, semakin Lu Wei Jie dan para pemuda yang lain menjadi marah. Mereka terus mengutuk cara Ning Rui dan Fan Qi yang mengendalikan hal itu dengan tidak adil dan berat sebelah.
"Kamu fikir kamu boleh gunakan kami untuk meredakan kemarahan Puncak Menjejak Awan dan Tentera Rui Lin? Saya rasa kamu dah buat silap besar! Jeneral Long itu bijak dan dia tak mungkin akan percaya dengan jawapan satu pihak dari kamu. Tunggu sajalah Tentera Rui Lin datang ke pintu pagar ini nanti!"