Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 521 - Perburuan Roh Berakhir (3)

Chapter 521 - Perburuan Roh Berakhir (3)

Jun Xie banyak membantu kumpulan asal Li Zi Mu sewaktu di dalam Hutan Roh Pertempuran. Setelah mereka kembali ke kawasan perkhemahan, sama ada sedar atau tidak, mereka mula mempertahankan reputasi Jun Xie.

Mereka dikihianati oleh Li Zi Mu dan hampir kehilangan nyawa di dalam hutan tebal itu. Tindakan Jun Xie yang baik hati telah menyelamatkan mereka dan mereka amat berterima kasih padanya. Tetapi mereka juga telah menjadi mangsa pembohongan melampau Li Zi Mu dan turut mengkritik dan mencemuh Jun Xie sebelum ini. Sebab itulah walaupun mereka berterima kasih padanya, mereka terlalu malu untuk berhadapan dengannya disebabkan rasa bersalah yang menyeksa hati mereka.

Berita bahawa Jun Xie telah membawa balik satu Binatang Roh bergred rendah mula tersebar ke seluruh kawasan kem tersebut. Tetapi berita ini tidak begitu mendapat perhatian berbanding satu lagi berita yang menggemparkan.

Kumpulan yang dikatakan sebagai yang terkuat, disertai oleh Lu Wei Jie dan rakan-rakannya yang lain, secara mengejutnya telah mengumumkan penarikan diri mereka sebelum Perburan Roh berakhir dan tidak ada seorang pun ahli kumpulan tersebut berada di kem. Mereka telah diiringi pulang ke Akademi Zephyr oleh Nangong Xu sendiri.

Berita mengejutkan ini membuatkan semua pelajar lain terperanjat dan mereka tidak putus-putus berdebat serta membuat spekulasi mengenainya.

Perlu dinyatakan bahawa pemegang tempat pertama bagi Kejohanan Roh yang lalu telah hilang secara tiba-tiba pada tahun ini dan sudah lama tidak dilihat berada di Akademi Zephyr. Jadi Lu Wei Jie kini merupakan pelajar terkuat di Akademi Zephyr!

Selepas pelajar di kedudukan pertama tidak lagi berada di situ, semua orang secara tidak sedar telah menganggap Lu Wei Jie sebagai yang terkuat dalam kalangan mereka. Kumpulannya kali ini turut terdiri daripada Ning Xin yang berada di kedudukan ketiga dalam Kejohanan Roh yang lalu serta pelajar di kedudukan kesembilan dan kesepuluh. Kumpulan ini juga berjaya menarik Yin Yan dari fakulti Pemulih Roh. Ahli kumpulan yang lain juga semuanya bukan sekadar biasa-biasa sahaja.

Namun begitu, kumpulan paling glamor serta disertai oleh pelajar-pelajar terkenal ini mengumumkan penarikan diri mereka sewaktu Perburuan Roh masih lagi berlangsung dan telah dibawa pulang ke Akademi Zephyr oleh Nangong Xu sendiri. Semua pelajar lain merasakan situasi ini agak membingungkan.

Ramai yang meneka mungkin kumpulan ini telah bertembung dengan satu Binatang Roh yang amat kuat, mungkin yang berada di gred luar biasa tingginya… Atau mungkin juga Binatang Roh Gred Penjaga telah mencederakan mereka semua lalu mereka perlu dihantar pulang ke Akademi Zephyr. Alasan lain yang boleh membuatkan mereka menarik diri secara tiba-tiba, kedengaran agak mencurigakan.

Pelbagai jenis tekaan dan teori mula bercambah. Jun Wu Xie dan Tuan Embek Embek terus tidak dipedulikan.

Posisi pertama bagi Perburuan Roh kali ini tiba-tiba sudah terbuka buat semua kumpulan di situ dan para pelajar ini mula menaruh harapan.

Perburuan Roh akhirnya tamat. Para pelajar yang keletihan dari segi fizikal dan mental ini diberikan masa satu hari untuk berehat serta memulihkan diri sebelum kembali ke Akademi Zephyr. Tetapi tiada siapa yang sedar bahawa jumlah kematian dalam kalangan para pelajar pada Perburuan Roh kali ini sudah melangkaui jumlah kematian pada Perburuan Roh terdahulu.

Mereka juga tidak tahu yang dalam masa terdekat ini, satu ribut taufan yang ganas bakal melanda Akademi Zephyr dan menghuru-harakan keadaan semua orang.

Dalam perjalanan pulang, Jun Wu Xie membawa kucing hitam kecil itu serta Tuan Embek Embek bersamanya dan berkongsi kereta kuda dengan Fan Jin. Sepanjang perjalanan, Fan Jin gelisah memikirkan Tuan Embek Embek yang dipeluk oleh Jun Wu Xie. Binatang Roh itu tidak henti-henti memandang Fan Jin dengan penuh kebencian.

Fan Jin seolah-olah mahu menangis. Dia tidak tahu bila, di mana dan bagaimana dia telah menyinggung Binatang Roh Gred Penjaga yang teramat kuat ini. Dia hanya mampu tersenyum kelat pada Binatang Roh itu yang berpura-pura menjadi kambing biri-biri yang tidak berbahaya. Fan Jin cuba memadamkan permusuhan yang dirasai oleh Tuan Embek Embek terhadapnya.

Semuanya sia-sia….

Tuan Embek Embek masih merenungnya dengan mata yang dipenuhi kebencian!

[Dia ni memang patut dipukul!]

[Dia buat Cik Pemberi Makan saya ni masuk ke dalam kotak kecil yang terumbang-ambing. Dia buatkan saya, Tuan Embek Embek yang agung, tidak dapat makan rumput sedap!]

[Kejam!]

[Tuan Embek Embek patut makan kamu saja!]

Kalaulah Fan Jin tahu apa yang sebenarnya Tuan Embek Embek fikirkan, pasti dia sudah bergelut untuk keluar dari kereta kuda itu pada saat itu juga.

Kasihan Fan Jin yang tidak bersalah ni…..

Bukan dia yang bertanggungjawab membawa Jun Wu Xie masuk ke dalam kotak itu! Jangan makan dia!