Akademi Zephyr masih lagi seperti dulu, tenang dan tenteram. Seolah-olah tiada apa yang telah berlaku.
Perburuan Roh telah berakhir dan semua pelajar telah kembali. Mereka semua menikmati suasana yang amat dikenali ini sambil mengenang apa yang mereka telah alami di Hutan Roh Pertempuran.
Tetapi di tengah-tengah ketenteraman inilah ada ribut yang bakal mengganas.
Semua pelajar itu masih belum pulih sepenuhnya dari cabaran yang mereka lalui sewaktu Perburan Roh. Baru dua hari mereka kembali ke akademi, satu berita mengejutkan sampai ke telinga mereka.
Lu Wei Jie dan ahli kumpulannya yang awal-awal menarik diri dari Perburuan Roh yang baru saja berakhir itu, telah dibuang dari Akademi Zephyr sebagai hukuman. Walaupun sebabnya tidak didedahkan, arahan penyingkiran itu telah pun dikeluarkan. Lebih daripada dua puluh orang pelajar tiba-tiba disingkirkan dari senarai pelajar Akademi Zephyr.
Malah Lu Wei Jie yang memegang tempat kedua dalam Kejohanan Roh yang lalu turut berada dalam senarai pelajar yang disingkirkan.
Semua pelajar yang telah dibuang dari Akademi Zephyr merupakan para pelajar dari kumpulan yang sama dengan Lu Wei Jie. Tidak ada yang terlepas kecuali Ning Xin dan Yin Yan!
Hal ini menyebabkan kekecohan yang besar. Walaupun Akademi Zephyr cuba menyembunyikannya, berita mengejutkan ini tidak boleh ditahan-tahan!
Semua pelajar lain terperanjat dengan pendedahan ini. Penarikan diri Lu Wei Jie dan ahli kumpulannya secara mengejut dari Perburuan Roh sudah pun mencetuskan banyak perdebatan dan pertengkaran. Kini apabila mereka semua tiba-tiba dibuang dari akademi, suara-suara yang mempersoalkan hal ini semakin bertambah kuat!
Di dalam pejabat Naib Guru Besar, wajah Ning Rui kelihatan tegas sewaktu dia memandang Ning Xin yang kelihatan pucat. Mata Ning Rui mengecil menunjukkan kemarahannya.
"Berkaitan dengan hal ini, Ayah sudah pun menjelaskan pada Guru Besar. Lu Wei Jie dan yang lain akan memikul beban kesalahan ini. Pastikan kamu berada di pejabat ini sahaja sepanjang tempoh ini dan jangan ke mana-mana. Setelah hal ini reda, barulah kita fikirkan rancangan lain." Angin Ning Rui benar-benar buruk pada ketika itu. Dia menyangkakan dalam Perburan Roh ini, dia akan dapat menyingkirkan Fan Jin yang selama ini ibarat duri yang mencucuknya. Tidak pernah dia terfikir yang Ning Xin akan terlibat dalam masalah besar, gagal dalam misinya, malah menyinggung orang-orang yang berkuasa.
Para pelajar Mu Chen dari Puncak Gunung Berawan dan pasukan serangan yang paling ganas, Tentera Rui Lin….
Sewaktu Nangong Xu membawa Ning Xin dan Lu Wei Jie pulang lalu melaporkan berita ini kepadanya, Ning Rui hampir meledak dengan kemarahan.
Dia tahu benar perangai sebenar anaknya itu. Secara peribadi, Ning Rui mengiktiraf kuasa Ning Xin serta mindanya yang licik itu. Anaknya sering berhati-hati dan boleh diharapkan dalam menjalankan rancangan jahatnya. Sewaktu Ning Rui mendapati Ning Xin sudah terlibat dengan masalah besar yang membawa kesan yang dahsyat, Ning Rui agak terkejut.
Walaupun dia tahu betapa seriusnya hal ini yang turut akan melibatkan reputasi Akademi Zephyr, Ning Rui tidak boleh membiarkan anaknya begitu sahaja. Kalau kesalahan Ning Xin didedahkan serta tersebar, reputasinya di akademi akan musnah. Malah kedudukan Ning Rui sebagai Naib Guru Besar juga akan terjejas.
Jadi, Ning Rui tidak ada pilihan selain merendahkan diri di hadapan Fan Qi kali ini dan merayu sambil menangis-nangis. Fan Qi beralah apabila dia diingatkan tentang hakikat yang mereka berkongsi Tuan Guru yang sama. Dalam diam-diam, Fan Qi membenarkan mereka menyingkirkan Lu Wei Jie dan ahli kumpulannya secara rahsia, demi menyembunyikan hal sebenar.
Menyingkirkan lebih dua puluh orang pelajar secara serentak dianggap cukup sebagai memberi penjelasan kepada Rong Heng dan Long Qi.
"Ya. Saya buat silap besar ka,i ini dan saya mohon maaf dari Ayah. Saya berjanji akan lebih berhati-hati di masa hadapan." Ning Xin mengangguk dengan patuh tetapi hatinya masih berasa panik.
"Buat masa sekarang, Ayah akan biarkan kamu uruskan Yin Yan. Kamu sepatutnya tahu bagaimana untuk menggunakan dia." kata Ning Rui sambil merenung Ning Xin.
Ning Xin akur. Tunduk dan patuh.
Ning Rui mengeluh dan bertanya lagi, "Kamu pasti kamu nampak dengan jelas? Jun Xie dan budak-budak dari kampus cawangan tu memang begitu kuat?" Apa yang benar-benar membuatkan Ning Rui gelisah selain kegagalan cubaan membunuh mereka ialah kekuatan Jun Xie, Qiao Chu dan yang lain.
Sebelum ini, Ning Rui tidak menganggap Jun Xie sebagai ancaman dan hanya menganggap budak itu sebagai umpan yang boleh digunakan untuk menyerang Fan Jin. Ketika itu, dia tidak nampak ada keperluan untuk dia sendiri menguruskan seorang pelajar yang dianggap sebagai picisan.