Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 520 - Perburuan Roh Berakhir (2)

Chapter 520 - Perburuan Roh Berakhir (2)

Di dalam kawasan perkhemahan yang riuh-rendah dan sibuk itu, satu susuk tubuh menarik perhatian semua orang padanya.

Anak-anak muda yang sedang berhimpit bersama-sama dan berbual-bual, tiba-tiba berpaling dan merenung susuk tubuh yang menarik perhatian mereka semua.

Jun Wu Xie berjalan perlahan-lahan ke kawasan perkhemahan. Kucing hitam kecil itu bermalas-malasan di atas bahunya. Tetapi apa yang membuatkan semua mata itu merenungnya ialah Tuan Embek Embek yang berlari-lari anak di belakang Jun Wu Xie.

Kambing biri-biri kecil yang kelihatan lemah itu mengekori Jun Wu Xie. Rupa bentuknya yang kecil dan gebu itu menarik perhatian para gadis, tetapi kebanyakan pelajar lelaki mendengus sambil mencemuh sewaktu memerhatikan situasi ini.

Hutan Roh Pertempuran dipenuhi pelbagai jenis BInatang Roh. Daripada Binatang Roh Gred Penjaga yang terkuat, sehinggalah pada Binatang Roh gred paling rendah yang sangat lemah.

Sesetengah Binatang Roh gred rendah langsung tidak boleh melakukan sebarang serangan dan sering menjadi sasaran utama kebanyakan pelajar. Binatang-binatang Roh jenis ini biasanya mempunyai ciri-ciri seperti Tuan Embek Embek, bersaiz kecil dan tidak kelihatan berbahaya. Sekilas pandang sahaja mereka boleh mengetahui Binatang Roh seperti ini ialah bergred rendah. Wajah Jun Wu Xie sudah pun terkenal dan boleh dianggap berstatus "selebriti" di Akademi Zephyr. Semua pelajar di situ dapat mengenalinya hanya dengan sekali pandang.

Tindakannya yang masuk ke dalam Hutan Roh Pertempuran dan membawa keluar satu Binatang Roh bergred rendah membuatkan para pelajar lain menganggapnya sebagai bahan jenaka.

"Dengan kuasa yang dia ada, saya tak rasa dia mampu bunuh Binatang Roh gred rendah yang mengekorinya tu. Kalau tidak, buat apa dia biarkan Binatang Roh yang lemah itu mengekorinya?" Seorang pemuda yang memang membenci Jun Xie, tidak dapat menahan dirinya daripada merungut pada rakannya dengan nada suara yang jahat.

"Mungkin dia tidak begitu kuat, tapi tak ada siapa yang dapat menandingi sikap tidak tahu malu dia tu. Setelah berdampingan dengan Fan Jin, tentulah dia dapat melalui Perburuan Roh dengan selamat, walaupun tidak mencapai keputusan yang bagus. Kamu pasti sedar yang pelajar kampus cawangan biasanya mengalami kecederaan serius. Kalau tak kerana perlindungan Fan Jin, budak tak guna tu pasti tidak akan kembali hidup-hidup."

"Saya nampak dengan jelas tadi yang Senior Fan tidak mencapai keputusan yang baik kali ini. Pasti dia terbeban dengan lintah-lintah tu. Kalau bukan kerana mereka, tak mungkin Senior Fan mencapai keputusan yang teruk dalam kutipan batu rohnya."

Beberapa orang pemuda yang berkumpul bersama-sama terus mengkritik dan menghina Jun Wu Xie. Salah seorang pemuda yang kebetulan melintasi tempat itu berhenti lalu merenung mereka sambil berkerut. "Jun Wu Xie itu langsung tidak seperti yang kamu gambarkan."

Para pemuda yang sedang seronok mengutuk dan menghina itu tiba-tiba berhenti dan berpaling. Mereka terlihat seorang pelajar senior dari fakulti Roh Binatang. Pelajar senior ini tidaklah terlalu hebat, tetapi semua orang kini mengenalinya atas satu sebab sahaja. Dia menjadi mentor kepada seorang pelajar baru tahun ini dan pelajar itu ialah satu-satunya yang diterima masuk ke fakulti Pemulih Roh, Li Zi Mu.

Mentor Li Zi Mu membela Jun Xie!? Tiada siapa yang menjangkakan hal ini akan berlaku.

Pemuda itu membebel sedikit dan kemudian berlalu bersama-sama rakan-rakannya. Selepas mereka jauh dari situ, rakan-rakannya bertanya, "Kenapa kamu tiba-tiba membela Jun Xie? Bukankah kamu amat marah kerana dia cuba merampas…."

Pemuda itu membalas dengan gelak ketawa yang mengutuk dirinya sendiri. "Pasti saya ni buta sebab telah menuduh Jun Xie ingin merampas kedudukan Li Zi Mu. Tapi kalau kamu bunuh saya sekarang ni sekalipun, saya langsung tidak akan percaya sepatah kata pun tentang hal ini." Sebelum ini pemuda itu tidak bersetuju dengan Jun Xie. Tetapi sewaktu berada di Hutan Roh Pertempuran, setelah dia melindungi Li Zi Mu dari tercedera, Li Zi Mu bukan sahaja menunjukkan dirinya itu tidak mengenang budi. Malah Li Zi Mu telah merayu pula untuk diterima masuk ke kumpulan Fan Jin. Hal ini benar-benar membuatkan pelajar senior ini marah. Namun sebaliknya, Jun Xie yang dibencinya dalam diam itu yang telah memberikan pelbagai ubat-ubatan padanya tanpa sebarang kata.

Disebabkan ubat-ubatan itulah ahli kumpulannya dapat pulih dengan cepat dan dapat menyelesaikan Perburuan Roh sepenuhnya. Kalau bukan kerana sikap baik hati Jun Xie, dia menjangkakan sekurang-kurangnya separuh ahli kumpulannya akan mati di dalam Hutan Roh Pertempuran.

Selepas kejadian itu, dia akhirnya faham….

Khabar angin tidak boleh dipercayai!