Dengan adanya kambing biri-biri dungu itu dengan mereka, Jun Wu Xie dan kumpulannya membuat keputusan untuk berhenti memburu Binatang Roh. Mereka semua bersiap sedia untuk kembali pada keesokan harinya dan itu akan menandakan berakhirnya Perburuan Roh.
Perburuan Roh membawa maksud yang berbeza bagi setiap pelajar. Bagi sebahagian daripada mereka, Perburuan Roh kali ini sama sahaja dengan yang terdahulu. Bagi yang lain pula, ini merupakan pengalaman yang tidak boleh dilupakan. Tetapi bagi sekumpulan pelajar lagi, hidup mereka berakhir di sini, di dalam kegelapan Hutan Roh Pertempuran.
Gelombang demi gelombang kumpulan para pelajar mula kembali. Ada yang kembali dengan gembira, manakala yang lain kembali dalam keadaan sedih dan murung. Ramai juga yang mengalami kecederaan pada tubuh mereka yang keletihan dan dipapah oleh ahli kumpulan masing-masing.
Para pemuda yang kepenatan ini, yang sudah berusaha keras sepanjang Perburuan Roh, amat gembira kerana akhirnya dapat meninggalkan Hutan Roh Pertempuran. Para pelajar yang kuat dapat membuktikan kekuatan dan kuasa mereka dengan membunuh pelbagai jenis Binatang Roh. Para pelajar yang lemah pula, yang sering menjadi sasaran dan diburu tanpa belas kasihan oleh Binatang Roh dan para pelajar lain, terpaksa melalui setiap hari dengan berlari dan bersembunyi. Ini menjadikan Perburan Roh suatu pengalaman yang sengsara buat mereka.
Guru-guru akademi mengira para pelajar yang kembali satu demi satu dan merekodkan kuantiti batu-batu roh yang mereka miliki. Sebahagian daripada para pelajar ini mempamerkan hasil yang lumayan dan sebahagian lagi pulang dengan tangan kosong. Pelbagai jenis emosi dapat dapat dilihat.
Jun Wu Xie dan kumpulannya kembali tidak terlalu awal atau terlalu lewat. Sewaktu mereka berjalan masuk ke dalam kem, tempat itu sudah pun penuh dengan para pelajar yang kembali sebelum mereka. Bagi kebanyakan pelajar, mereka sering berada dalam keadaan cemas sejak tujuh hari lalu dan kini mereka akhirnya boleh berehat. Para pelajar ini duduk rapat, berkongsi kehandalan dan pengalaman mendebarkan yang mereka alami. Mereka menggunakan apa yang mereka telah saksikan di dalam Hutan Roh Pertempuran sebagai bahan perbualan, walaupun ada yang membesar-besarkan cerita. Tetapi tiada siapa yang akan membantah pernyataan yang bercanggah atau menyiasat cerita-cerita keberanian masing-masing. Mereka hanya perlukan hiburan sambil merehatkan jiwa dan badan mereka yang keletihan.
Sewaktu Jun Wu Xie dan ahli kumpulannya kembali, guru yang mengira markah mereka ialah seseorang yang belum pernah mereka lihat sebelum ini. Mereka hanya menyerahkan beberapa biji batu roh gred rendah, sekadar untuk menyelesaikan hal ini dan tidak mempedulikan reaksi guru itu yang mengangkat keningnya sambil memandang mereka. Fan Jin pada mulanya berniat untuk menyerahkan semua Batu Roh yang ada padanya.
Tetapi apabila melihat apa yang Jun Wu Xie dan yang lain lakukan, dia menyimpan sebahagian besar batu-batu roh itu dengannya dan hanya menyerahkan beberapa biji.
"Fan Jin, apabila kamu menyertai Perburuan Roh di masa akan datang, jangan membentuk kumpulan dengan pelajar-pelajar yang tak berguna." Guru yang bertanggungjawab untuk mengira markah mereka, berkerut sewaktu melihat "hasil" Fan Jin. Reputasi Fan Jin di Akademi Zephyr amat cemerlang. Personalitinya yang adil dan jujur membuatkan dia popular dengan guru-gurunya. Walaupun dia bukan yang paling kuat atau berkuasa, mereka masih menaruh harapan yang tinggi padanya.
Sewaktu Fan Jin mengambil bahagian dalam Perburuan Roh sebelum ini, dia mungkin tidak membawa pulang batu roh yang paling banyak, tetapi hasilnya masih lagi melebihi kebanyakan pelajar lain. Namun kali ini, apa yang Fan Jin serahkan, jauh lebih sedikit dari apa yang diperolehinya sebelum ini. Tambahan pula, batu-batu roh tersebut hanya bergred rendah. Tidak ada satu pun batu roh gred pertengahan.
Tentulah guru itu menyalahkan hasil Fan Jin yang tidak begitu cemerlang itu pada kumpulan Jun Wu Xie serta pelajar-pelajar kampus cawangan itu.
Fan Jin memberikan senyuman malu-malu pada guru itu dan tidak berkata apa-apa.
Sepanjang tempoh Perburuan Roh selama tujuh hari itu, Fan Jin tidak perlu berusaha langsung. Dengan adanya Qiao Chu dan rakan-rakannya di dalam kumpulan ini, tidak ada banyak peluang untuk Fan Jin menyumbangkan usaha,
Selepas mendapatkan markah mereka, Qiao Chu dan tiga orang lagi rakannya menuju kawasan kem yang dibina untuk para pelajar dari kampus cawangan. Jun Wu Xie mengucapkan selamat tinggal pada mereka. Sewaktu mereka baru sahaja mahu berlalu pergi, Fan Jin bergegas datang ke arah mereka.
"Qiao Chu! Kamu semua! Tunggu!"
Qiao Chu berpaling. Dia menjadi bingung ketika terlihat Fan Jin berlari mendapatkan mereka. Fan Jin termengah-mengah tetapi tersenyum lebar.
"Abang Fan, ada apa?" Qiao Chu mempunyai tanggapan baik terhadap Fan Jin.
"Batu-batu roh ini semuanya untuk kamu." Fan Jin mengeluarkan batu-batu roh yang disembunyikannya tadi dan menyerahkannya pada Qiao Chu.
"Kenapa kamu tak serahkan pada guru tadi?" Qiao Chu terkejut. Berat batu-batu dalam genggamannya hampir sama dengan berat sejumlah batu yang mereka berikan kepada Fan Jin hasil pembahagian sama rata sebelum ini.
Fan Jin membalas dengan sedikit malu-malu, "Saya tidak banyak menyumbang dalam Perburuan Roh kali ini. Semua ini sepatutnya milik kamu semua. Saya tak boleh mendapat penghargaan atas usaha keras kamu semua. Saya masih ada hal yang nak diuruskan, jadi saya perlu pergi dulu. Kita jumpa lagi nanti, ya." Setelah berkata begitu, Fan Jin berpaling tanpa menunggu balasan dari Qiao Chu dan terus berlari pergi.
Qiao Chu menggaru-garu kepalanya dan Rong Ruo ketawa.
Fan Jin ini mungkin kadangkala agak tegas, tetapi dia juga amat jujur dan adil.
Dia memang orang yang baik.