Tentulah mereka mahu menyimpan batu-batu roh ini dan menukarkannya dengan duit. Tidak syak lagi!
Fan Jin tidak sedar niat sebenar mereka. Dia telah mengeluarkan batu roh miliknya untuk dikongsikan dengan mereka yang lain, tetapi Hua Yao menolaknya.
Selepas kenyang, Tuan Embek Embek akhirnya sanggup mengambil peduli tentang "manusia-manusia jahil" ini. Di matanya, hanya "Cik Pemberi Makan" yang layak untuk diberikan perhatian.
Tetapi…..
Selepas mendengar rungutan Qiao Chu yang tidak berhenti-henti itu, Tuan Embek Embek mengangkat kepalanya dan merenung "Cik pemberi makan" dengan bimbang.
Wajah Jun Wu Xie yang disinari cahaya lembut dari unggun api itu tidak menunjukkan sebarang perasaan, tetapi kepala dan matanya ditundukkan. Dia hanya mengunyah-ngunyah bekalan makanan di tangannya.
[Tapi macam mana kalau "Cik Pemberik Makan" merasakan saya ni cuba masuk campur dalam urusan manusia? Apa yang saya perlu buat?]
Berasa bimbang yang dia akan dibenci oleh "Cik Pemberi Makan" yang baru ditemuinya, Tuan Embek Embek berlari-lari anak lalu berdiri di hadapan Jun Wu Xie.
Jun Wu Xie mengangkat kepalanya sedikit dan memandang kambing biri-biri dungu di hadapannya. Dia kemudiannya menghulurkan tangan lalu menggosok-gosok bulu yang lembut dan gebu itu.
"Embek~"
["Cik Pemberi Makan", saya akan buktikan yang saya juga boleh menyumbangkan sesuatu!]
"?" Jun Wu Xie agak bingung.
Tuan Embek Embek yang berasa bimbang dan mahu mendapatkan pengiktirafan dari Jun Wu Xie, menolehkan kepalanya dan memasukkan mulutnya ke dalam bulunya yang tebal lalu menyelongkar dengan bersungguh-sungguh.
Selepas seketika , Tuan Embek Embek berpaling semula dengan mulut yang penuh. Ia menundukkan kepala dan membuka mulutnya.
Ting, ting, ting…..
Satu timbunan batu roh pelbagai warna dan saiz bertaburan di sekeliling kaki Jun Wu Xie.
"….." Mata Jun Wu Xie terbeliak.
Qiao Chu yang sedang merintih di sisinya juga tiba-tiba ternganga...
"Ini Batu Roh?" Fei Yan mengulurkan tangannya, berniat mahu mengutip beberapa biji batu roh dan melihatnya lebih dekat. Tetapi sebelum dia boleh berbuat begitu, satu kaki binatang kecil memijak batu-batu itu dan enggan bergerak!
"Embek!"
[Ini untuk "Cik Pemberi Makan!"]
"….." Mulut Fei Yan menggerenyet dengan jengkel. Walaupun dia tidak faham apa yang dikatakan oleh Tuan Embek Embek, berdasarkan ekspresi dan tindakan binatang itu, maksudnya amat jelas. Fei Yan tidak ada pilihan selain melepaskan batu-batu roh tersebut.
Selepas Tuan Embek Embek berpuas hati, ia akhirnya mengangkat kaki kecilnya.
Kemudian Tuan Embek Embek mendekati batu-batu roh yang telah bergolek jauh sedikit dan menolak batu-batu itu dengan kakinya, mengumpulkan semuanya lebih dekat di sekeliling Jun Wu Xie.
"Embek~" Tuan Embek Embek mengangkat kepala dengan bangga.
[Tuan Embek Embek memang yang terbaik!]
Jun Wu Xie merenung kambing biri-biri dungu yang kelihatan bangga dan kekal dalam posisi untuk cuba mendapatkan pujian tuannya. Akhirnya Jun Wu Xie mengalah lalu menghulurkan tangannya untuk menggosok-gosok kepala kambing biri-biri itu.
"Embek~" Kambing biri-biri dungu itu amat berpuas hati dan berlari-lari anak sebelum baring di tepi kaki Jun Wu Xie. Walaupun telah makan dengan kenyang tadi, si kecil ini mendapati agak bagus juga dapat baring di atas rumput yang berbau harum di sisi Jun Wu Xie!
[Kalau saya tahu "Cik Pemberi Makan" begitu sukakan batu-batu yang bersinar ini, pasti saya simpan semua batu-batu berkilauan dari Binatang-binatang Roh yang saya bunuh sebelum ini.]
Kucing hitam kecil itu tidak mampu memandang situasi ini lalu menutup mata dengan kaki hadapannya. Ia tidak dapat menerima hakikat yang semalam ia ditakutkan oleh kambing biri-biri dungu dan tidak berakal ini.
[Teruknya! Memalukan betul!]
Qiao Chu merenung timbunan batu-batu roh itu dan matanya bersinar dengan ketamakan. Namun selepas melihat apa yang berlaku pada Fei Yan tadi, Qiao Chu tidak berani memegang batu-batu tersebut. Tapi….
"Jun Wu Xie, apabila kita balik nanti, apa kata kita pergi ke rumah lelongan?" Timbunan batu-batu roh itu bersinar seperti segunung emas.
Berdasarkan pemerhatian Qiao Chu, semua batu-batu roh itu tidaklah terlalu kecil, seperti telah diambil dari binatang roh gred sederhana. Di dalam timbunan yang mengagumkan itu juga dia mendapati ada juga beberapa biji batu roh gred tinggi!
Hanya satu luahan mulut Tuan Embek Embek saja sudah jauh melebihi apa yang mereka kumpulkan dengan perlahan-lahan selama berhari-hari bertempur dengan Binatang-binatang Roh!
"Baik." Jun Wu Xie mengangguk. Dia sudah hampir kehabisan nota-nota bank yang ada padanya dan sememangnya berniat untuk menyimpan sebahagian Batu-batu Roh itu. Dia akan menunggu kedatangan Long Qi dan orang-orangnya untuk meminta penjelasan tentang insiden yang berlaku sebelum ini dan menyerahkan batu-batu tersebut untuk dibawa pulang ke Kerajaan Qi. Menyimpan batu-batu selebihnya untuk memperkukuhkan sumber kewangan mereka merupakan idea yang bagus juga.
Jumlah wang yang mereka perlukan untuk menyertai Akademi Zephyr perlahan-lahan telah membuatkan Jun Wu Xie sedar yang mempunyai wang sepanjang masa merupakan satu keperluan!