Tuan Embek Embek mungkin tidak terlalu bijak, tetapi kuasa pertempurannya agak hebat. Ia boleh menjadi binatang peliharaan yang amat comel dan juga menyumbangkan kuasa pertempuran yang kuat. Tuan Embek Embek merupakan satu penambahan yang dialu-alukan dalam perjalanan Jun Wu Xie mencari kekuatan dan kuasa.
Tambahan pula…..
Jun Wu Xie tidak perlu mengeluarkan belanja untuk memberi makan padanya. Asalkan ada rumput tumbuh di mana sahaja mereka pergi, Tuan Embek Embek akan berpuas hati.
"Namanya Tuan Embek Embek? Kamu yang namakannya?" tanya Qiao Chu dengan muka tidak percaya.
"Tuan Embek Embek yang beritahu saya," kata Jun Wu Xie dengan tegas.
"….." Binatang Roh ini memang sukar dipercayai. Bukan sahaja boleh bertukar rupa, tetapi juga dapat menamakan diri sendiri. Tapi….nama pelik jenis apa tu?
"Erm….. Walaupun saya sedikit tidak percaya sekarang ini, tapi keadaan ini tidaklah seteruk mana. Dengan adanya Tuan Embek Embek dengan kita, tak perlulah kita risau tentang batu roh lagi," kata Qiao Chu dengan nada optimistik.
Binatang Roh Gred Penjaga boleh melawan Binatang Roh lain dengan mudah, begitu senang seperti memotong sayur sahaja!
Namun….. Qiao Chu pantas sedar yang mungkin dia sedikit naif!
Tak mungkin Binatang Roh biasa akan berdepan dengan Binatang Roh Gred Penjaga. Pastilah Tuan Embek Embek boleh membunuh Binatang Roh lain dengan mudah, tetapi ada syaratnya!
Binatang Roh lain perlulah muncul di depan Tuan Embek Embek dahulu!
Binatang Roh Gred Penjaga itu setia mengikut mereka. Kakinya tidak berhenti-henti menghentak tanah dan mengunyah rumput sambil mengekori rapat di belakang Jun Wu Xie. Walaupun dalam rupanya kini, ia hanya kelihatan seperti kambing biri-biri yang dungu, ia masih lagi Binatang Roh Gred yang sebenar. Aura yang terpancar dari kehadirannya saja membuatkan Binatang Roh dalam lingkungan seratus meter menjadi berhati-hati dan semuanya lari lintang-pukang dari aura Tuan Embek Embek yang menakutkan itu sebelum Qiao Chu dan yang lain sempat mendekati sasaran mereka!
Memburu dan membunuh dalam sekelip mata?
Hahaha…..
Keliplah mata sebanyak mana sekalipun!
Cari Binatang Roh dahulu!
Qiao Chu benar-benar mahu menangis pada ketika itu, tapi langsung tidak mampu mengalirkan air mata.
Sehingga malam terakhir sebelum Perburuan Roh dijadualkan tamat, Qiao Chu dan yang lain langsung tidak melihat bayang walau satu pun Binatang Roh di dalam Hutan Roh Pertempuran yang luas itu. Hutan yang berbahaya yang gelap itu selama ini dipenuhi Binatang Roh. Tetapi kini seolah-olah semuanya sudah pupus tanpa meninggalkan sebarang kesan.
Sambil duduk di tepi unggun api, Qiao Chu kelihatan murung ketika merenung Tuan Embek Embek yang sedang meragut rumput di sekeliling kaki Jun Wu Xie. Mata Qiao Chu dipenuhi kebencian.
"Ini semua salah kamu! Bau Binatang Roh pun kita tak dapat!" Qiao Chu amat marah. Dia berasa seperti telah ditipu.
Tuan Embek Embek mengangkat kepalanya, menelengkannya lalu memandang Qiao Chu dengan bingung.
"Kamu tak boleh salahkan Tuan Embek Embek. Aura Binatang Roh Gred Penjaga terlalu kuat walaupun sudah jauh lebih lemah dalam rupa bentuknya sekarang yang lebih kecil. Kalau Tuan Embek Embek kekal dalam bentuk asalnya, jangan kata lingkungan seratus meter, dalam jarak lingkungan dua kali ganda sekalipun jangan mimpi kamu boleh bertembung dengan Binatang Roh," kata Fan Jin sambil ketawa. Dia senang hati kerana Tuan Embek Embek telah menyertai kumpulan mereka. Fan Jin berasa amat bersalah terhadap Jun Wu Xie, jadi dia amat gembira apabila Jun Wu Xie mendapat Binatang Roh yang kuat sebagai pelindungnya.
"Batu Roh! Batu Roh!" Qiao Chu merintih sambil menekup mukanya dengan tangan. Dia tidak ada selera untuk makan sekalipun.
"Kita dah dapat sejumlah besar Batu Roh sebelum ini, jadi beberapa hari kebelakangan ini tidak akan membawa perubahan besar, bukan?" Fan Jin tertanya-tanya sewaktu terlihat ekspresi wajah Qiao Chu yang murung. Kumpulan mereka sudah berjaya memburu banyak Binatang Roh sepanjang tempoh Perburuan Roh, termasuklah beberapa Binatang Roh gred tinggi. Hasil seperti ini mampu menggemparkan keadaan selepas Perburuan Roh ini berakhir. Jadi kenapa Qiao Chu begitu sedih?
"Kamu tak akan faham," kata Qiao Chu sambil mengeluh panjang.
Sejak mula lagi mereka tidak berniat untuk menyerahkan Batu Roh mereka kepada Akademi Zephyr. Bagi pemuda-pemuda kurang berkemampuan ini, yang telah hidup serba daif selama bertahun-tahun, batu-batu roh ini ibarat kekayaan yang jarang dapat mereka miliki. Mereka tidak menyertai Akademi Zephyr untuk menjadi pelajar yang tekun dan rajin belajar. Perburuan Roh ini juga hanyalah sekadar aktiviti bonus. Mereka tidak akan memberikan sejumlah besar Batu Roh yang berharga ini semata-mata untuk mendapatkan markah!