Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 506 - Tamparan Berturut-turut - Bentuk Keempat (6)

Chapter 506 - Tamparan Berturut-turut - Bentuk Keempat (6)

Sebaik terlihat suar amaran yang dilepaskan, guru-guru Akademi Zephyr bergegas ke lokasinya.

Kumpulan yang bertanggungjawab dalam menjaga keselamatan sewaktu Perburuan Roh ini terdiri daripada kakitangan elit Akademi Zephyr. Ketua kumpulan ini ialah pakar tahap indigo yang amat dihormati di akademi tersebut, Nangong Xu. Kumpulan ini turut disertai lima orang pakar roh tahap biru yang lain. Mereka ditugaskan untuk melindungi para pelajar mereka sekiranya ada kejadian tidak diingini berlaku di Hutan Roh Pertempuran.

Nangong Xu sudah berusia lebih enam puluh tahun. Janggutnya yang sudah beruban membuatkan dia kelihatan seperti berumur tujuh puluh atau lapan puluh tahun. Namun begitu, usia sebenarnya sudah melebihi seratus tahun. Dia merupakan seseorang yang disanjung tinggi dan amat terkenal. Namanya sudah tersebar ke seluruh dunia sebagai salah seorang pakar yang handal. Selama ni, sebaik suar amaran dapat dilihat, tugas menyelamat biasanya diuruskan oleh guru-guru yang berada di tahap roh biru. Tetapi kali ini, Nangong Xu turut menyertai mereka. Sebabnya, lokasi suar amaran itu dilepaskan berada di luar kawasan yang telah ditandakan oleh pihak akademi untuk Perburuan Roh. Tiada siapa yang tahu bahaya jenis apa yang mungkin pelajar-pelajar itu temui di kawasan tersebut. Mereka tidak ada pilihan selain turut menggerakkan Nangong Xu.

Nangong Xu mengetuai pasukan ini dan bergerak melalui hutan tebal itu dengan pantas. Mereka menuju lokasi suar amaran itu dengan perasaan tidak puas hati.

Sebelum Pertempuran Roh itu bermula sekalipun, mereka sudah berulang-kali menegaskan yang para pelajar ini tidak boleh melangkah keluar dari sempadan yang telah ditandakan pada peta mereka. Tetapi lokasi terbaru ini berada jauh di dalam Hutan Pertempuran Roh. Jelas sekali ini menunjukkan yang para pelajar ini telah melanggar arahan yang diberikan.

Namun begitu, sebaik Nangong Xu dan pasukannya tiba di destinasi tersebut, mereka amat terkejut dengan apa yang mereka temui di situ.

Mereka melihat lebih dua puluh orang pelajar Aakdemi Zephyr duduk berhimpit-himpit di atas tanah dengan wajah yang pucat. Beberapa orang lelaki yang tinggi dan bertubuh tegap berdiri mengelilingi para pelajar ini sambil memegang pedang.

"Kamu semua ni siapa? Berani kamu culik pelajar Akademi Zephhyr!?" Wajah Nangong Xu menjadi berang. Nama Akademi Zephyr amat masyhur dan pakaian seragam akademi itu juga terkenal dalam kalangan pelbagai negara dan kuasa besar lain. Tiada siapa yang berani menimbulkan kemarahan Akademi Zephyr dengan menganiaya para pelajarnya. Namun apa yang dilihatnya hari ini, melangkaui jangkaan Nangong Xu.

Beberapa orang askar Tentera Rui Lin yang sedang mengawal Lu Wei Jie dan ahli kumpulannya mula berkerut. Sebelum sempat berkata apa-apa, guru-guru yang berdiri di belakang Nangong Xu terus menerkam untuk menyerang!

Askar-askar Tentera Rui Lin ini hanya mampu tergesa-gesa mempertahankan diri!

Dalam sekelip mata sahaja, kedua-dua kumpulan itu bertempur dengan sengit.

Askar-askar Tentera Rui Lin ini sudah pun menanggung kecederaan dan kemahiran mereka juga tidak setanding pakar-pakar yang memiliki roh tahap biru ini. Mereka terus berada dalam posisi yang lemah. Luka-luka mereka yang baru sahaja dirawat, mula terbuka satu per satu. Darah memercik merata-rata, menjadikan suasana ini kelihatan menggerunkan.

Askar Tentera Rui Lin yang cedera parah itu turut diserang oleh guru-guru Akademi Zephyr. Sebelah tangannya tidak boleh digerakkan kerana memakai anduh. Jadi dia hanya mampu menghalang serangan itu menggunakan pedang pada sebelah lagi tangannya!

Lu Wei Jie dan ahli kumpulannya sejak tadi gelisah menantikan kehadiran guru-guru mereka dan menjadi amat terperanjat dengan pertempuran huru-hara yang berlaku. Belum sempat mereka berasa gembira dengan kehadiran guru-guru itu, mereka terlihat pula percikan darah pada badan askar-askar Tentera Rui Lin itu. Para pelajar ini terus tergamam!

"Guru Nangong! Berhenti! Berhenti bertempur!" Lu Wei Jie bingkas bangun. Wajahnya masih pucat dan dia jelas sedang menggeletar.

Nangong Xu mengangkat keningnya dan baru sahaja mahu bersuara ketika satu suara yang tegas kedengaran di belakangnya.

"Beginikah cara Akademi Zephyr menguruskan keadaan? Para pelajar akademi ini gagal dalam cubaan membunuh dan guru-guru mereka pula datang untuk menyembunyikan keadaan?" Tiba-tiba kedengaran satu suara menggerunkan yang bernada berang.

Nangong Xu cepat-cepat berpaling dan terlihat satu susuk tubuh tinggi lampai mengetuai sekumpulan orang menuju ke arahnya. Dia meneliti kumpulan tersebut dan terlihat ada beberapa orang pemuda yang memakai pakaian seragam Akademi Zephyr di belakang lelaki yang tinggi itu. Nangong Xu menyedari yang salah seorang daripada pemuda ini ialah Fan Jin, anak Guru Besar Akademi Zephyr!