Fan Jin berada bersama-sama Long Qi dan yang lain dan sebaik mereka sampai, dia terlihat guru-guru Akademi Zephyr sedang bertempur dengan askar-askar Tentera Rui Lin! Dia yang baru sahaja mahu bertenang, kembali tertekan pada ketika itu.
"Datuk Xu! Suruh mereka berhenti! Kamu tak patut berlawan dengan mereka! Hentikan!" Fan Jin hampir menangis sewaktu dia merayu kepada Nangong Xu.
Apa yang sedang berlaku ni?
"Berhenti!" kata Nangong Xu secara tiba-tiba. Guru-guru Akademi Zephyr terus menghentikan serangan lalu berundur.
Rong Heng dan dua orang lagi pengikut Puncak Menjejak Awan bergegas merawat luka-luka askar-askar Tentera Rui Lin yang tercedera itu.
"Apa yang sedang berlaku ni? Fan Jin, dari mana orang-orang ini datang? Mengapa mereka menjadikan pelajar-pelajar Akademi Zephyr sebagai tebusan? Mereka fikir orang-orang kita boleh dibuli dengan mudah? Kalau saya tak dapat penjelasan yang baik, saya tak akan biarkan hal ini selesai begitu sahaja walaupun kamu ada di sini." Wajah Nangong Xu berkerut ketat. Selama ini dia yang bertanggungjawab menjaga keselamatan sewaktu Perburuan Roh Akademi Zephyr. Hari ini dia tiba-tiba mendapati pelajar-pelajar Akademi Zephyr telah ditangkap dan dijadikan tebusan oleh satu kuasa luar. Dia merasakan keadaan ini menghina nama Akademi Zephyr yang amat berprestij.
Fan Jin cepat-cepat cuba menjelaskan, "Hal ini tidak seperti yang Datuk Xu lihat. Datuk Xu sudah tersalah faham…."
"Salah faham? Faktanya sudah berada jelas di depan mata saya. Kamu fikir saya buta?" kata Nangong Xu dengan dingin.
Wajah tegas Long Qi membara dengan kemarahan yang dipendam. Dia menjeling sekilas pada Jun Wu Xie. Sebaik melihat Jun Wu Xie mengangguk sedikit padanya, Long Qi melepaskan kemarahannya tanpa ditahan-tahan lagi.
"Saya rasa memang kamu buta. Kamu hanya nampak pelajar-pelajar Akademi Zephyr ditangkap di sini tapi kamu tak peduli pun untuk memikirkan sebabnya?" Long Qi menjawab sambil ketawa dingin. Tanggapannya terhadap Akademi Zephyr semakin bertambah buruk.
"Kenapa?" Nangong Xu mencabarnya.
"Biar mereka sendiri yang beritahu kamu!" balas Long Qi.
Nangong Xu berpaling dan merenung para pelajar itu. Lu Wei Jie yang pertama sekali bersuara untuk menghentikan guru-guru itu tadi, kini menggeletar setelah ditenung dengan tegas oleh Nangong Xu. Mereka semua tahu walaupun Nangong Xu bersikap pelindung pada Akademi Zephyr, dia juga memiliki personaliti yang tulus. Dia sering menepati janji, adil dan saksama. Jika ada pelajar yang melakukan kesalahan, dia akan mengenakan hukuman yang sama walaupun jika yang bersalah itu Fan Jin atau Ning Xin.
"Lu Wei Jie, cakaplah. Apa yang sebenarnya dah berlaku?" Suara Nangong Xin kedengaran dingin. "Cakap saja. Kalau ada yang berani membuli pelajar-pelajar Akademi Zephyr, saya akan membela kamu walaupun terpaksa mengorbankan tulang-tulang tua ini."
Memikirkan Lu Wei Jie mungkin teragak-agak disebabkan dia takut pada Long Qi, Nangong Xu terus memberikan galakan.
Setelah mendengar kata-kata Nangong Xu, Lu Wei Jie semakin menggeletar.
"Ini….. Hal ini tak seperti yang dilihat….. Guru Nangong….. Sebenarnya….. Sebenarnya kami…..kami cuba buat rancangan jahat…..ke atas Jeneral Long serta orang-orangnya. Mereka…..berjaya menangkap kami….." Lu Wei Jie akhirnya berjaya melakukannya dengan suara yang bergetar. Dia tergagap-gagap sewaktu bercakap.
Nangong Xu terdiam seketika mendengarkan pengakuan bersalah itu. Keangkuhannya terus lenyap dibawa angin.
"Apa…..apa kamu kata?"
"Buat rancangan jahat? Mudah betul kamu kata begitu!" Rong Heng yang sedang merawat luka-luka pada askar-askar Tentera Rui Lin itu tidak dapat menahan dirinya lagi lalu terus meluahkan kata-kata itu. "Kenapa kamu tak beritahu guru-guru kamu yang kamu sengaja mengganggu dan membawa Binatang Roh Gred Penjaga pada kami dengan niat mahu membunuh kami semua! Kalau kami tak bernasib baik dan tak dapat melarikan diri, pasti kami sudah bersemadi di dalam hutan yang gelap ini! Langsung tak ada peluang untuk menuntut bela!"
"APA!?" Nangong Xu menjadi berang! Kata-kata Rong Heng itu seperti batu-batu keras yang dilemparkan ke hatinya, satu demi satu. Dia berpaling lalu memandang Lu Wei Jie dengan gelisah. Sewaktu terlihat Lu Wei Jie menundukkan kepala dengan perasaan bersalah, wajah Nangong Xu tiba-tiba kelihatan panik.