Reaksi Lu Wei Jie sudah memberikan Nangong Xu jawapannya. Tidak perlu lagi diucapkan dengan kata-kata.
"Akademi Zephyr ini katanya salah satu daripada tiga akademi terbaik. Tapi nampaknya tetap lagi mampu menggunakan tipu helah! Pelajar-pelajar mereka merancang pembunuhan bagi melakukan rompakan dan guru-guru mereka pula membuli orang yang lemah serta tidak berdaya. Menjatuhkan nama akademi saja. Kamu semua tak malu ke?" Rong Heng melemparkan cemuhannya terhadap Akademi Zephyr dengan perasaan benci. Lagipun, dia sebelum ini merupakan sebahagian daripada Kumpulan Qing Yun yang paling hebat dan paling dihormati. Sebelum Kumpulan Qing Yun dihapuskan, ahli-ahlinya tidak peduli pun sewaktu Guru Besar Akademi Zephyr itu sendiri datang ke tempat mereka untuk meminta bantuan.
Inikan pula setakat Nangong Xu?
Jadi kenapa kalau dia anggap dirinya itu pakar roh indigo?
Tentera upahan Kumpulan Qing Yun dulu juga tidak kurang dengan pakar roh indigo!
Walaupun Kumpulan Qing Yun sudah tidak wujud, Tuan Guru Mu Chen masih lagi satu-satunya Tuan Tua Kumpulan Qing Yun yang masih hidup. Sepatah perkataan dari Mu Chen sahaja, ramai pakar handal akan berbuat apa sahaja untuk berbakti padanya.
Sewaktu askas-askar Tentera Rui Lin tercedera kerana cuba melindungi dia dan para pengikut lain, kemarahan Rong Heng sudah pun membuak-buak. Kini apabila guru-guru mereka juga melakukan kezaliman tanpa berbincang dahulu, Rong Heng semakin meradang!
Wajah Nangong Xu menjadi kemerah-merahan. Mendengar nama Akademi Zephyr yang berprestij itu dihina dan dicerca membuatkan dia berasa marah.
"Kamu siapa? Berani kamu menghina nama Akademi Zephyr ini dengan sewenang-wenangnya!?"
Rong Heng mendengus dan ketawa dingin sambil berkata, "Saya dari Puncak Menjejak Awan. Pengikut Tuan Tua Mu Chen, Rong Heng!"
Perasaan marah itu lenyap sepenuhnya dari wajah Nangong Xu. Raut wajahnya kini menunjukkan perasaan terkejut!
Puncak Menjejak Awan!
Tidak lama dahulu, Puncak Menjejak Awan tidaklah begitu terkenal. Tetapi selepas seluruh Kumpulan Qing Yun tiba-tiba lenyap, nama Puncak Menjejak Awan dan Mu Chen bergema dengan kuat dan nyaring, tersebar ke seluruh dunia! Satu-satunya Tuan Tua Kumpulan Qing Yun yang masih selamat serta kumpulan terakhir pengikutnya!
Buat masa sekarang ini, selepas terhapusnya Kumpulan Qing Yun, kewujudan Mu Chen dianggap sama taraf dengan kumpulan itu!
Maksud sebenar di sebalik kata-kata itu melangkaui jangkaan sesiapa juga!
Nangong Xu tidak pernah menyangka yang Lu Wei Jie dan kumpulannya akan terlibat dengan Puncak Menjejak Awan!
Jangan kata Nangong Xu, Lu Wei Jie juga tidak pernah terfikirkannya….
Dia menyangkakan Long Qi dan orang-orangnya adalah yang paling penting di dalam kumpulan itu. Tanpa disedarinya, orang yang paling penting ialah Rong Heng serta pengikut-pengikut lain yang kelihatan biasa-biasa sahaja….
Puncak Menjejak Awan!
Selepas Kumpulan Qing Yun lenyap, tempat kumpulan itu diambil alih oleh Mu Chen dan pengikut-pengikutnya….
Pada ketika itu, Lu Wei Jie berharap dia boleh terus mati. Dia akhirnya menyedari yang dia telah menimbulkan kemarahan sekumpulan orang yang tidak sepatutnya!
Status Mu Chen kini yang amat tinggi dan berprestij. Sepatah kata darinya sahaja mampu menarik pelbagai pakar handalan ke sisinya! Sesiapa sahaja yang mengapa-apakan pengikutnya, jangan kata Lu Wei Jie, Guru Besar Akademi Zephyr sendiri pun tidak akan mampu menghentikan kekuasaan Mu Chen!
Saat itu, Lu Wei Jie menggeletar dengan semakin kuat.
Malah wajah Nangong Xu juga nampak sedikit pucat.
"Saya serta para pengikut yang lain datang ke Hutan Roh Pertempuran bersama-sama Jeneral Long dan orang-orangnya dari Tentera Rui Lin. Kami terserempak dengan pelajar-pelajar Akademi Zephyr ini. Mereka mendakwa ada memiliki peta Hutan Roh Pertempuran dan membuat perjanjian untuk membawa kami ke sini. Tetapi mereka merancang untuk merompak dan membunuh kami semua. Mereka bercadang membuatkan kami mati di dalam hutan ini dan selepas itu mencuri barang-barang berharga dari mayat-mayat kami!" kata Rong Heng dengan nada menghina.
Selepas mendengar kata-kata ini, Nangong Xu hampir terhuyung-hayang.
Tentera Rui Lin!
Pasukan tentera yang terkenal dan mempunyai reputasi sebagai pasukan serangan paling ganas!
Pada mulanya, Nangong Xu tidak begitu percaya dengan kata-kata Rong Heng. Tetapi setelah mendengar nama Tentera Rui Lin, Nangong Xu terus yakin sepenuhnya. Tentera Rui Lin terkenal bukan disebabkan kekuatan serta kuasa bertempur mereka, tetapi disebabkan sikap tidak gentar dan keganasan mereka di medan pertempuran. Cekal dan tidak berat sebelah, adil serta tidak mengalah. Pasukan ini amat dihormati oleh semua orang. Askar-askar dari pasukan seperti ini tidak mungkin akan membuat tuduhan melulu!
Nangong Xu berasa seperti hampir hilang akal. Apa yang merasuk Lu Wei Jie serta ahli kumpulannya untuk membuat rancangan jahat terhadap sekumpulan orang seperti ini? Para pengikut Puncak Menjejak Awan serta jeneral dari Tentera Rui Lin….
Pelajar-pelajar ini memang menempah maut!