Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 505 - Tamparan Berturut-turut - Bentuk Keempat (5)

Chapter 505 - Tamparan Berturut-turut - Bentuk Keempat (5)

Fan Jin mengangguk lalu memandang Lu Wei Jie yang sedang pucat lesi akibat ketakutan. Lu Wei Jie tidak berani berlengah walau seketika dan terus mengambil serta melepaskan suar amarannya. Kilauan cahaya dari suar amaran itu menerangi langit sebaik dilepaskan, selain turut mengeluarkan bunyi nyaring yang bergema di seluruh Hutan Roh Pertempuran!

Serentak dengan letusan suar amaran itu, semua pelajar Akademi Zephyr itu mengeluh lega. Para pemuda yang membentuk kumpulan yang dianggap paling kuat dalam Perburuan Roh kali ini, kini dengan penuh harapan memandang suar amaran yang menandakan penarikan diri mereka dari acara tersebut.

Mereka tidak memikirkan lagi untuk menjadi nombor satu, tidak mahu lagi menjadi yang terkuat!

Tidak ada yang lebih penting selain nyawa mereka!

"Kamu yang lain tinggal di sini dan perhatikan mereka. Kalau ada yang cuba lari, bunuh mereka." Long Qi tidak akan terus menanti di situ tanpa berbuat apa-apa. Dia mengarahkan askar yang cedera parah dan dua lagi askar lain untuk menjaga Lu Wei Jie dan pemuda-pemuda lain. Long Qi, Jun Wu Xie serta mereka yang lain pula menuju Tasik Bulan Roh untuk memetik Rumput Roh Akuamarin yang mereka perlukan.

Kawasan sekitar Tasik Bulan Roh itu kelihatan tenang dan damai. Di dalam hutan yang tebal serta berbahaya ini, suasana seperti ini tiba-tiba boleh bertukar menjadi suasana berdarah yang menggerunkan.

Fan Jin dan yang lain memerhatikan kawasan sekeliling untuk menghalang sebarang serangan Binatang Roh. Sementara itu, Jun Wu Xie dan tiga orang pengikut Puncak Menjejak Awan itu pula pergi mencari dan memetik Rumput Roh Akuamarin.

Memori Mu Chen ternyata tepat. Kawasan di pinggir Tasik Bulan Roh dipenuhi Rumput Roh Akuamarin. Butiran kristal yang jernih seperti air tergantung pada hujung bilah-bilah rumput tersebut. Ketika memetiknya, mereka perlu berhati-hati agar tidak memusnahkan kristal-kristal ini.

Dalam keadaan ini, ahli kumpulan yang lain tidak berani terburu-buru menawarkan bantuan kerana risau akan merosakkan herba yang sangat rapuh dan berharga ini.

Qiao Chu memandang-mandang kawasan sekeliling buat seketika, tetapi akhirnya dia menjadi tidak sabar dan berjalan menuju Jun Wu Xie. Dia bertanya sambil berbisik, "Jun Xie, cepatlah beritahu saya. Kenapa kamu nak biarkan orang-orang tu terus hidup?"

Orang paling dungu sekalipun akan menyedari yang selepas budak-budak tak guna itu membuat rancangan jahat ke atas Tentera Rui Lin, mereka pasti akan mati. Tetapi agak mengejutkan apabila Jun Wu Xie melepaskan mereka.

Jun Wu Xie memandang Qiao Chu. Dia tidak mahu membazir usaha untuk memberikan penjelasan. Namun setelah dia teringat kembali apa yang Hua Yao katakan tadi, hatinya menjadi lembut sedikit. Jun Wu Xie berkata dengan sabar, "Kalau mereka ada, hidup Ning Xin tak akan tenang."

Lu Wei Jie dan yang lain memang layak dibunuh. Tetapi Jun Wu Xie menyasarkan dua orang lagi iaitu Ning Xin dan Yin Yan. Sebab itulah dia membuat rancangan ganas ini.

Ning Xin ialah anak tunggal Naib Guru Besar. Hakikat yang dia melarikan diri ke Akademi Zephyr menunjukkan dia memerlukan perlindungan. Selama ini, Ning Xin mempunyai reputasi yang baik di Akademi Zephyr. Dia juga sering memastikan imejnya sentiasa hebat.

Jun Wu Xie tidak banyak hobi lain. Apa yang dia paling suka lakukan ialah memusnahkan dan menghancurkan sesuatu yang paling dihargai oleh musuh-musuhnya, di hadapan mata mereka.

Entah sejak bila sikap kejam ini sudah sebati dengan dirinya.

Qiao Chu terkebil-kebil. Jawapan Jun Wu Xie yang terlalu ringkas tetapi padat itu tidak memberikan banyak maklumat kepada Qiao Chu. Namun berdasarkan pemahaman Qiao Chu terhadap tindakan Jun Wu Xie, dia tiba-tiba dapat menyelami niat tersembunyi Jun Wu Xie!

"Kamu berniat mahu menggunakan mulut Lu Wei Jie dan rakan-rakannya untuk menyerang dan memusnahkan sepenuhnya reputasi bersih yang Ning Xin bina dengan bersusah-payah selama bertahun-tahun ini?"

Sebagai anak Naib Guru Besar, Ning Xin telah merancang jenayah yang kejam. Dia mahu melakukan pembunuhan dan rompakan, kemudian membiarkan rakan-rakan sepasukannya menanggung akibatnya. Kalau hal ini tersebar, Jun Wu Xie tidak perlu berusaha sedikit pun. Reputasi Ning Xin di Akademi Zephyr akan musnah sepenuhnya.

"Saya cuma nak dia rasa sendiri apa yang telah dibuatnya pada orang lain." Jun Wu Xie tersenyum. Apa sahaja yang Ning Xin sudah lakukan ke atasnya, dia akan berikan balasan yang setimpal.

Jun Wu Xie masih mempunyai masa dan dia akan menikmati kemanisan pembalasan dendam ini.

Harapnya jangan pula Ning Xin mati terlalu cepat!