Qiao Chu dan Fei Yan turut memberikan reaksi yang sama. Malah wajah Hua Yao dan Rong Ruo juga kelihatan terkejut.
Selama menghabiskan masa bersama-sama, memang mereka berdua mengesyaki yang Jun Xie ialah seorang perempuan.
Tetapi sekali pun mereka tidak pernah terfikir yang dia ialah Cik Muda bagi satu pasukan serangan yang paling ganas di seluruh dunia!
"Jun Xie….. kamu ni….. mereka….." Qiao Chu mengangkat tangannya dan menudingkan jarinya yang sedang menggeletar. Dia berpusing ke arah Long Qi dan orang-orangnya. Mata Qiao Chu dirasakan kelam.
Jun Wu Xie menjeling sekilas pada Qiao Chu tetapi tidak memberikan sebarang reaksi. Dia tidak faham kenapa Qiao Chu dan yang lain begitu terkejut.
Identiti sebenar dia begitu pentingkah?
Pada Jun Wu Xie, dia tidak peduli tentang status dan latar belakang seseorang. Apa yang dia kisahkan ialah mengenali hati budi seseorang. Itu yang lebih penting.
Sudah tentulah dia menganggap yang semua orang juga mempunyai tanggapan yang sama.
Bukannya rumit sangat pun.
"Saya amat bersyukur di atas bantuan yang telah diberikan pada kami. Izinkan saya untuk mengucapkan terima kasih sebagai jeneral Tentera Rui Lin, Long Qi." Pada ketika itu, Long Qi telah berdiri. Susuk tubuhnya yang tinggi lampai membuatkan anak-anak muda ini kelihatan bertambah kecil.
Qiao Chu menggelengkan kepalanya dan cepat-cepat melambaikan tangan.
"Tak ada apa-apalah. Ci...Cik Muda kamu yang bawa kami datang. Bila difikirkan, patutlah dia bergegas datang tanpa berfikir panjang. Terus datang ke sini setelah dia mendengar ada seseorang cuba menipu orang-orang dari Tentera Rui Lin. Rupa-rupanya sebab kamu semua ahli keluarganya," kata Qiao Chu. Tetapi ayat terakhir itu tadi dibisikkan dengan perlahan.
Long Qi mengangguk sedikit sebagai pengakuan. Dia kelihatan sangat bergaya.
"Kamu perlukan bantuan?" Rong Heng yang selama ini berdiri dengan senyap di satu sisi, cuba menghampiri Jun Wu Xie. Semakin dia mendekati anak muda itu, semakin dia yakin yang inilah Jun Xie yang pernah menyertai Kumpulan Qing Yun.
Jun Wu Xie mengangguk. "Angkat tangannya dan tolak rapat lukanya."
Rong Heng buat seperti yang disuruh.
Askar yang sedang dirawat ini berasa terharu kerana Cik Muda sendiri yang merawat lukanya. Wajah yang tadinya pucat tiba-tiba menjadi kemerah-merahan. Dia cuba sehabis baik untuk menegakkan badannya dan membuatkan wajahnya kelihatan tenang, cuba menyembunyikan perasaannya.
Tangan itu terpotong dengan kemas. Semakin kemas potongan itu, semakin mudah untuk dia menyambungkan bahagian yang terputus.
"Binatang Roh itu mahir juga menggunakan bilahnya." Kata-kata itu tiba-tiba keluar dari mulut Jun Wu Xie.
Wajah askar itu kembali pucat.
Mereka yang lain memandang Jun Wu Xie tanpa mampu berkata apa-apa, tidak tahu bagaimana mahu membalasnya.
Dia tahu tak apa yang dia baru cakapkan tadi?
Selepas menguruskan luka askar itu, Jun Wu Xie mengangkat tangannya dan membersihkan kesan darah pada kedua-dua tangan kecilnya itu di baju askar tersebut. Setelah tangannya dibersihkan, dia akhirnya berdiri dengan puas hati.
Raut wajah semua orang pada ketika itu boleh dikatakan lebih daripada terkejut….
Ye Sha kembali pada ketika itu. Berdasarkan pemerhatiannya, Binatang Roh Gred Penjaga itu tidak akan datang semula untuk menyambung pertempuran tadi. Binatang roh itu sudah pun menuju ke arah barat dan tidak berpaling walau sekali.
Setelah mendengar laporan itu, Long Qi akhirnya tidak lagi berasa tegang dan risau.
"Cari lokasi Ning Xin dan kumpulannya." Jun Wu Xie mengarahkan Ye Sha. Matanya memancarkan sinar berbahaya.
Dia pada mulanya mengalah dan bersetuju dengan permintaan Fan Jin supaya dia melepaskan Ning Xin dan Yin Yan sekali itu sahaja. Tetapi mereka yang telah menempah maut apabila membuat rancangan jahat terhadap askar-askar Tentera Rui Lin.
Memandangkan mereka tak mahu mengambil jalan mudah yang penuh bahagia, lebih baik dia menghantar mereka ke jalan Neraka.
Kepimpinan Tentera Rui Lin telah diserahkan kepadanya dan menjadi tanggungjawab dia untuk melindungi askar-askar ini.
Ning Xin berani menyentuh orang-orang ini dan perlu membayar harganya dengan nyawanya sendiri!
Kata-kata Jun Wu Xie membuatkan Fan Jin berasa seram sejuk. Dia mahu mengatakan sesuatu, sehinggalah dia terlihat baju Long Qi dan orang-orangnya yang berlumuran darah. Fan Jin terus menutup mulutnya.
Kalau Jun Wu Xie dan yang lain tidak sempat sampai ke situ, pasti apa yang mreka lihat sekarang hanyalah tubuh-tubuh yang tidak lagi bernyawa!
Askar-askar dari Tentera Rui Lin amat dihormati di mana-mana sahaja. Jun Wu Xie pula merupakan Cik Muda Istana Lin. Kalau dia mahu membalas dendam di atas kecederaan orang-orangnya, Fan Jin tidak mempunyai sebarang alasan untuk merayu sebaliknya.