Selepas menanti seketika, Ye Sha kembali. Berita yang dibawanya membuatkan kening Jun Wu Xie berkerut.
Tiada siapa tahu sebab mengapa Ning Xin dan Yin Yan tiba-tiba mahu menarik diri dari Perburuna Roh. Mereka berdua bergegas keluar dan melepaskan suar amaran. Sewaktu Ye Sha sampai ke lokasi mereka, guru-guru akademi sudah pun membawa mereka keluar.
"Cepat betul mereka lari," kata Jun Wu Xie dengan nada menggerunkan.
"Bak kata pepatah, kalau sami melarikan diri, tokongnya masih ada. Walau apa sekalipun, mereka perlu kembali ke Akademi Zephyr, bukan?" kata Hua Yao yang kelihatan tenang.
Jun Wu Xie tersenyum dingin, "Mereka tak ada tempat lain nak dituju."
Mereka berdua mungkin bernasib baik dan berjaya mencuri sedikit masa dengan berundur serta tiba-tiba meninggalkan Hutan Roh Pertempuran. Namun sebaik Perburan Roh itu tamat dan semua pelajar kembali ke Akademi Zephyr, bolehkan Ning Xin dan Yin yan terus bersembunyi? Jun Wu Xie tidak berniat untuk melepaskan mereka dengan mudah. Memandangkan mereka berani membuat rancangan jahat ke atas Tentera Rui Lin, mereka perlu bersedia untuk menerima akibatnya.
"Kita mahu teruskan Perburuan Roh atau kita pun balik juga?" Qiao Chu sedikit teruja. Berada di samping Jun Wu Xie sering memberikan dia keseronokan yang tidak tebanding dan perasaan teruja yang tidak berkesudahan.
Pertama sekali, menghapuskan Kumpulan Qing Yun. Kemudian bertempur dengan Binatang Roh Gred Penjaga. Qiao Chu ternanti-nanti hal menggegarkan dunia apa lagi yang mampu Jun Wu Xie fikirkan selepas ini.
"Teruskan. Kita uruskan mereka selepas kita balik nanti." Jun Wu Xie tidak mahu terburu-buru. Bagus juga Ning Xin dapat lari hari ini. Kalau dia tertangkap di dalam Hutan Roh Pertempuran dan Jun Wu Xie terpaksa membunuhnya dengan mudah, bukankah itu agak membosankan?
Memandangkan Ning Xin memilih untuk melarikan diri, pasti dia sedar yang masanya sudah suntuk.
Apabila mereka kembali ke Akademi Zephyr nanti, dia akan membuatkan Ning Xin menyesali tindakannya melarikan diri hari ini. Kematiannya lebih mudah dan kurang sakit di Hutan Roh Pertempuran ini jika dia tunggu sahaja di situ untuk menerima balasan di atas kebodohannya!
"Kalau begitu, apa kata kita terus berada di sini dan memburu mangsa." Qiao Chu menggosok-gosok penumbuknya dan meregangkan jari-jarinya. Dia bersedia untuk mendapatkan mangsa yang besar. Kalau mereka mampu menahan Binatang Roh Gred Penjaga, Binatang Roh lain bukanlah cabaran besar untuknya.
Jun Wu Xie berpusing ke arah Long Qi dan orang-orangnya. Dia bertanya, "Kamu semua buat apa di sini?"
Sewaktu dia masih di Istana Lin, dia tidak ada dengar Tentera Rui Lin berniat mahu ke Hutan Roh Pertempuran.
"Long Qi melaporkan kepada Cik Muda. Kami ke sini untuk mencari Rumput Roh Akuamarin." Long Qi menjawab dengan penuh hormat.
"Rumput Roh Akuamarin?" Jun Wu Xie mengangkat sebelah keningnya lalu memandang sekilas pada Rong Heng dan pengikut lain. "Nampaknya Mu Chen sudah menemui jalan untuk meningkatkan lagi keadaan urat darah dan arteri kamu."
"Ya. Tepat sekali."
Rong Heng merenung Jun Wu Xie dengan perasaan terkejut. Jun Wu Xie hanya mendengar Long Qi menyebut tentang Rumput Roh Akuamarin dan dia terus tahu apa yang Mu Chen mahu lakukan. Pengetahuannya tentang herba memang hebat dan benar-benar mengejutkan Rong Heng.
"Saya nak ikut juga." Sebelum ini Jun Wu Xie juga ada mendapat idea untuk menggunakan Rumput Roh Akuamarin. Tetapi ketika itu dia berada di Istana Lin dan dia tidak mempunyai herba yang cukup untuk kajiannya. Sewaktu dia berada bersama-sama Kumpulan Qing Yun, dia ada menemui sedikit Rumput Roh Akuamarin di Puncak Awan Tersembunyi dan dia menggunakan herba itu untuk menghasilkan beberapa jenis eliksir.
Kalau ada Rumput Roh Akuamarin di sini, apa salahnya dia menyimpan sedikit stok.
Sewaktu Jun Wu Xie menghapuskan Kumpulan Qing Yun, sesalan terbesarnya ialah dia tidak dapat membawa herba-herba jarang ditemui dan amat berharga, yang ada di Puncak Awan Tersembunyi itu, bersama-sama dengannya. Setelah mendengar laporan Long Qi mengenai situasi terkini di Istana Lin, dia dapat membuat kesimpulan yang Mu Chen telah membawa seluruh stok herba di Puncak Awan Tersembunyi bersama-sama dengannya ke Istana Lin. Mu Chen dengan murah hatinya menggunakan herba-herba itu pada askar-askar Tentera Rui Lin dan ini membuatkan Jun Wu Xie berasa lebih senang hati.
Sewaktu dia meminta Mu Chen pergi ke Istana Lin, Jun Wu Xie tidak menyangkakan yang Mu Chen akan berusaha bersungguh-sungguh. Jun Wu Xie memikirkan yang memandangkan Mu Chen memahami tentang kerumitan urat darah dan arteri, dia akan boleh membantu meningkatkan dan memupuk keadaan Tentera Rui Lin sementara Jun Wu Xie tidak ada di situ. Tetapi berdasarkan apa yang Lonq Qi beritahu padanya ini, Mu Chen bukan sahaja telah menunaikan janji dengan pergi ke Istana Lin, tetapi dia juga berusaha sedaya upaya untuk menghasilkan ubat-ubatan yang sesuai dengan keperluan khusus Tentera Rui Lin. Hal ini di luar jangkaan Jun Wu Xie.