"Ning Xin, apa yang dah jadi ni?" Lu Wei Jie melangkah menuju mereka. Wajahnya kelihatan bimbang. Namun dia ditolak dengan tidak sabar oleh Ning Xin.
"Saya nak balik!" kata Ning Xin dengan tegas. Dia tidak mempedulikan pertanyaan Lu Wei Jie yang bimbang dan cemas. Ning Xin menarik Yin Yan di belakangnya dan terus berlalu pergi.
Lu Wei Jie dan semua pelajar lain menjadi bingung dan keliru. Mereka tidak tahu apa yang sebenarnya sedang berlaku.
Beberapa pemuda itu berkata, "Kenapa dengan Senior Ning? Perburuan Roh ini belum habis lagi. Kenapa dia tergesa-gesa mahu pergi? Bukankah dia beritahu kita untuk tunggu saja di sini sehingga lelaki-lelaki itu terbunuh dan kita boleh mencuri barang-barang mereka?"
Mulut Lu Wei Jie menggerenyet. Dia berasa agak terhina kerana Ning Xin telah menolaknya ke tepi tanpa mempedulikan perasaannya.
"Biarkan dia pergi kalau dia mahu. Kita terus saja tunggu di sini." Lu Wei Jie menggumam perlahan. Jelas dia tidak berpuas hati.
Di satu bahagian lain di dalam hutan itu, Binatang Roh Gred Penjaga tersebut sedang diserang oleh Jun Wu Xie dan ahli-ahli kumpulannya.
Binatang ini mempunyai kulit dan bulu yang amat tebal, dan mampu menghalang kebanyakan serangan. Tetapi binatang ini tidak menghalang serangan bersepadu dari semua arah ini. Kemarahannya mula digantikan dengan keletihan akibat semua luka-lukanya. Apabila binatang ini akhirnya memutuskan yang keadaan ini terlalu menyusahkan lalu berpusing dan lari ke arah bertentangan dari Long Qi dan orang-orangnya….
Kejadian Binatang Roh Gred Penjaga itu tiba-tiba melarikan diri menyebabkan Qiao Chu dan yang lain terkejut kerana mereka sudah pun bersedia untuk bergadai nyawa di dalam pertempuran ini. Mata mereka terbeliak memerhatikan Binatang Roh Gred Penjaga itu tiba-tiba berpusing dan berlari ke celah-celah pokok. Tangan mereka pun masih lagi memancarkan cahaya ungu yang berkilau terang dari kuasa rohani mereka.
"Kenapa tiba-tiba lari pula…." Qiao Chu menggaru-garu kepalanya. Dia tidak faham dengan tindakan Binatang Roh itu.
"Binatang Roh Gred Penjaga ini sedikit berakal dan tak akan bertempur sehingga mati dengan lawannya. Binatang Roh tahap ini biasanya akan menilai situasi dan memilih jalan lain, melainkan langsung tidak ada jalan keluar." Fan Jin yang paling akhir sekali menyertai pertempuran itu memberikan penjelasan sambil termengah-mengah. Namun matanya masih memandang dengan tidak percaya pada Qiao Chu dan ahli kumpulannya yang lain, melihat cahaya ungu dari kuasa rohani mereka yang masih terus memancar. Minda Fan Jin masih belum dapat menerima apa yang dilihatnya.
Macam mana dia boleh menerima hakikat yang selama beberapa hari ini, dia telah berada bersama-sama dengan empat orang pakar roh ungu!?
Mereka ini pakar roh ungu yang dianggap legenda dan berada di kemuncak kuasa!
Binatang Roh Gred Penjaga yang tiba-tiba melarikan diri itu membuatkan Jun Wu Xie lebih berhati-hati. Pancainderanya dalam keadaan berwaspada dan dia memberikan amaran, "Hati-hati."
Ye Sha bersinar dan hilang dari pandangan mata mereka.
Jun Wu Xie menunggang binatang hitam itu dan menuju ke tempat di mana Long Qi dan orang-orangnya berkumpul.
Long Qi dan askar-askar itu menyedari kehadiran Jun Wu Xie dan mereka terus melutut sebelah kaki. Luka-luka mereka kebanyakannya sudah dirawat. Mereka baru sahaja mahu menyertai pertempuran itu sewaktu pertempuran tersebut tiba-tiba tamat.
Rong Heng dan dua lagi pengikut itu berdiri dengan hormat di sisi mereka. Tentulah mereka dapat mengagak identiti anak muda di hadapan mereka ini.
Jun Wu Xie tidak mempedulikan askar-askar yang sedang melutut itu. Dia berjalan melepasi mereka dan berdiri di sebelah askar yang tangannya hampir terputus. Dia terjun dari belakang binatang hitam itu dan mencangkung di sisi lelaki tersebut untuk memeriksa lukanya.
Askar itu cepat-cepat bergelut untuk menegakkan badannya yang letih dan lemah itu sewaktu dia terlihat Jun Wu Xie menghampirinya. Dia bersusah-payah mahu berdiri.
"Orang bawahan ini memberikan salam hormat pada Cik Muda. Saya minta maaf di atas kelewatan saya memberi hormat!"
Kedengaran bunyi besi jatuh.
Pedang di tangan Fan Jin terlepas jatuh ke tanah.
Qiao Chu dan Fei Yan berdiri kaku. Mulut mereka ternganga. Mata mereka tidak berkelip. Mereka berdiri pegun seperti patung. Minda mereka kosong ketika mereka merenung Jun Xie yang kelihatan tenang.
'Ci….. Cik….. Cik Muda….. Te….. Tentera….. Rui Lin….. Cik Muda' Kata-kata ini berulang-ulang tanpa henti di dalam minda Fan Jin. Dia tidak mampu berfikir pada ketika itu.
'Jun Xie ini perempuan!?'
'Jun Xie PEREMPUAN!!'
'Dia Cik Muda TENTERA RUI LIN!?'
'Istana Lin….. Keluarga Jun….. Jun Xie…..'
Badan Fan Jin menggeletar tanpa sedar sewaktu dia memikirkan pendedahan BESAR yang baru diketahuinya!