Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 495 - Tamparan Berturut-turut - Bentuk Ketiga (6)

Chapter 495 - Tamparan Berturut-turut - Bentuk Ketiga (6)

Ning Xin baru sahaja mengeluh lega apabila Yin Yan yang berada di sebelahnya tiba-tiba menjerit dengan nyaring.

"Diamlah!" kata Ning Xin sambil merenung dingin. Tetapi Yin Yan mengangkat tangannya, menunjuk ke hadapan dengan wajah yang pucat. Ning Xin berpaling untuk memandang arah yang Yin Yan tunjukkan. Apa yang dia lihat membuatkan dia berasa seperti sudah dipanah petir. Dia berdiri kaku dan tergamam.

Satu lagi susuk tubuh yang tinggi lampai baru sahaja muncul di sisi Long Qi dan orang-orangnya!

"Fan Jin! Itu Fan Jin….. Dia masih hidup….." Yin Yan tidak dapat menahan dirinya daripada menggigil. Dia tiba-tiba mencengkam bahu Ning Xin dan berkata dengan gerun, "Senior Ning, Fan Jin masih hidup! Jun Xie itu satu kumpulan dengan dia!"

Kata-kata itu membuatkan kepala Ning Xin berasa seperti mahu meletup!

Betul tu! Macam mana dia boleh terlepas pandang kemungkinan yang Fan Jin berada bersama-sama Jun Xie selama ini! Dia dengan dungunya tidak mempedulikan hal lain sebaik menerima berita yang Fan Jin telah jatuh ke dalam perangkap yang dibuatnya!

Fan Jin masih hidup! Ini bermakna rancangannya telah gagal sepenuhnya. Fan Jin tiba selepas Jun Xie dan yang lain. Jadi Ning Xin tahu yang selama ini mereka semua bergerak bersama-sama…..

Maksudnya, seluruh rancangan jahatnya telah terdedah!

Ning Xin yang berniat mahu memenangi hati Jun Xie untuk berpihak padanya, tiba-tiba menjadi pucat lesi.

Walaupun dia telah menyerahkan segala-galanya kepada Yin Yan, supaya pemuda itu yang mengaturkan segala yang diperlukan untuk melaksanakan rancangan jahatnya di Hutan Roh Pertempuran, sasaran yang mereka mahu bunuh itu masih lagi anak angkat Guru Besar. Sasaran mereka itu orang yang terkenal, jadi tentulah membuatkan pelajar-pelajar yang mereka libatkan dalam rancangan ini berasa sedikit tidak sedap hati. Demi mengatasi situasi ini, Ning Xin telah membenarkan Yin Yan untuk memberi bayangan yang ayah Ning Xin akan memberikan mereka ganjaran dan kelebihan, sebaik semuanya selesai.

Rancangn itu diatur dengan rapi dan Ning Xin langsung tidak menyangka yang dia akan gagal.

Tetapi Fan Jin tiba-tiba muncul di sini, masih hidup dan tidak apa-apa!

Roh berkontrak yang teramat kuat, empat orang pakar roh ungu!

Apabila menyedari semuanya, kaki Ning Xin dirasakan sudah longlai.

Habislah, kali ini semuanya akan benar-benar berakhir….

Dia tidak risau yang Fan Jin akan membalas dendam setelah mengetahui hal sebenar. Tetapi dia tidak sanggup memikirkan bagaimana dia mahu berhadapan dengan kemarahan Jun Xie yang menggerunkan!

"Mari pergi! Kita perlu balik sekarang!" Ning Xin bersandar lemah pada sebatang pokok, bersusah-payah untuk terus kekal berdiri. Dia tidak boleh menanti di situ sehingga Jun Xie dan ahli kumpulannya mengalahkan Binatang Roh Gred Penjaga tersebut sebelum dia melarikan diri. Kalau mereka menunggu sehingga saat itu, dia tidak akan dapat meninggalkan tempat ini hidup-hidup.

"Apa!?" Yin Yan tidak percaya dengan apa yang didengarnya.

Ning Xin mengangkat tangannya lalu menampar Yin Yan dengan kuat. Dia menjerit, "Kamu ni bodoh ke? Kalau kita tak pergi sekarang, kamu nak tunggu di sini sampai mereka bunuh Binatang Roh Gred Penjaga itu dan ada masa pula untuk bunuh kita? Fan Jin masih hidup dan rancangan kita dah terdedah! Kalu Fan Jin tak buat apa-apa untuk membalas dendam pun, macam mana dengan Jun Xie? Kamu tak nampak ke? Jun Xie tu sudah pun mencapai roh tahap kuning! Kamu tak nampak betapa kuatnya roh berkontrak dia tu? Kalau pakar roh ungu yang ada bersamanya tu langsung tidak menentang kita, Jun Xie seorang saja dah cukup untuk mencabut nyawa kita berdua!"

Yin Yan terus tersedar dan memegang pipinya yang terasa perit. Dia memandang dengan tidak berdaya pada Ning Xin yang sedang meradang dan menggelabah itu.

"Kita pergi sekarang! Balik ke Akademi Zephyr! Ayah saya ada di sana dan kalau Jun Xie mahu membalas dendam pada saya pun, orang-orang ayah saya akan dapat menghentikannya. Kalau kita masih duduk di sini, kita hanya menanti maut." Wajah Ning Xin benar-benar pucat seperti mayat. Tidak pernah dia terfikir budak yang dia gunakan untuk menyerang Fan Jin akan satu hari nanti bertukar menjadi bintang ganas yang mampu mengancam nyawanya.

"Ya….. Ya….." Yin Yan cepat-cepat mengangguk dan badannya terus menggigil.

Mereka berdua saling memapah satu sama lain sambil melarikan diri dari hutan tebal itu. Lu Wei Jie dan ahli kumpulan mereka yang lain, yang selama ini hanya sabar menanti, tiba-tiba terlihat Ning Xin dan Yin Yan kembali dengan wajah yang pucat dan kelihatan cemas.