Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 490 - Tamparan Berturut-turut - Bentuk Ketiga (1)

Chapter 490 - Tamparan Berturut-turut - Bentuk Ketiga (1)

Tiada siapa berani mengganggu Binatang Roh Gred Penjaga. Pada mulanya Long Qi sudah bersetuju untuk memburu lima Binatang Roh gred tinggi untuk Ning Xin dan kumpulannya. Sebaik mereka tiba di Tasik Bulan Roh, dia mahu menunaikan janjinya dan pergi mencari jejak Binatang Roh gred tinggi. Dia langsung tidak menyangka yang Ning Xin dan ahli kumpulannya akan membawa Binatang Roh Gred Penjaga yang sedang meradang, terus kepada mereka! Selepas pemuda-pemuda itu membawa Binatang Roh tersebut ke sisi Long Qi dan orang-orangnya, mereka terus mengambil peluang untuk melarikan diri lalu meninggalkan Long Qi di dalam jurang kemusnahan!

Sewaktu kejadian ini bermain semula di fikirannya, Long Qi menjadi berang. Namun situasi mereka ketika ini tidak memberikan dia masa untuk terus memikirkannya!

Lima orang askar Tentera Rui Lin masih bertarung dengan Binatang Roh Gred itu dan kuasa mereka langsung tidak setanding dengan Binatang Roh berkenaan. Namun, demi mencuri sedikit masa supaya Rong Heng dan pengikut-pengikut lain dapat melarikan diri, mereka terus bertempur dengan berani dan sanggup bergadai nyawa. Pengalaman bertempur selama bertahun-tahun membolehkan askar-askar ini bertahan lebih lama sedikit, tetapi mereka semuanya sudah cedera parah dan berlumuran darah. Setiap pergerakan mereka membuatkan darah mereka menitis dan tersebar merata-rata. Tidak lama kemudian, tanah di kawasan itu mula dipenuhi percikan berwarna merah!

"Saya terpaksa susahkan kamu untuk bawa saudara saya ini pergi bersama-sama kamu. Kami semua akan terus cuba mencuri sedikit masa untuk kamu." Long Qi menyerahkan askar yang cedera parah itu kepada Rong Heng dan pengikut-pengikut lain, sebelum dia meluru kembali menyertai pertempuran yang sedang menggila itu. Dia tidak berpaling walau sekali!

"Jeneral !" Askar itu berputus harap sambil dia merenung Long Qi yang berlalu pergi dengan tegas! 

Di satu tempat yang agak jauh sedikit dari kawasan pertempuran itu, Ning Xin sedang bersembunyi di sebalik pokok-pokok yang tebal. Matanya yang kejam merenung pertempuran berdarah tersebut, lalu bibirnya menguntum senyuman.

"Senior Ning, mereka tak setanding dengan Binatang Roh Gred Penjaga itu," kata Yin Yan. Dia berdiri di sebelah Ning Xin sambil memerhatikan askar-askar Tentera Rui LIn itu bergelut dengan Binatang Roh Gred Penjaga tersebut.

"Saya dah agak yang mereka tak akan mampu menanganinya. Binatang Roh Gred Penjaga tak makan manusia dan akan berlalu pergi selepas orang-orang itu mati. Mereka dah bunuh Binatang Roh gred tinggi sebelum ini. Pasti mereka ada menyimpan batu-batu roh gred tinggi," kata Ning Xin dengan gembira. Matanya bersinar dengan kepuasan.

Sesiapa yang berani memalukan dia tidak akan terlepas!

Pengiring Long itu berani menolak tawarannya sebelum ini dan memijak-mijak maruahnya. Orang seperti itu memang layak mati!

Yin Yan menundukkan kepalanya dan diam sahaja. Dia risau dengan kekejaman Ning Xin yang tidak disangka-sangka. Kumpulan lelaki itu amat hebat daripada segi kekuatan dan kemahiran. Hanya kerana mereka menimbulkan kemarahan Ning Xin, mereka terlibat di dalam situasi di mana mereka perlu membayar harganya dengan nyawa mereka sendiri. Di sebalik topeng gadis muda yang cantik manis, Ning Xin menyembunyikan minda yang kejam. Yin Yan berasa amat gerun dengannya.

Namun pada ketika itu, satu kekecohan yang kedengaran dari arah lain telah menarik perhatian Ning Xin dan ahli kumpulannya!

Mereka terlihat dua bayang hitam bergegas keluar dari celah-celah pokok dan meluru ke arah Binatang Roh Gred Penjaga yang sedang meradang itu!

"Apa tu?" tanya Ning Xin yang amat terkejut. Bayang-bayang hitam itu bergerak terlalu pantas dan dia tidak dapat melihat rupa sebenar kedua-duanya!

Long Qi masih bergelut dengan berani. Bahagian belakang badannya sudah robek hasil satu cakaran Binatang Roh Gred Penjaga itu. Perisai di belakang badannya turut sama musnah. Seluruh badannya kini berlumuran darah. Seorang lagi askar Tentera Rui Lin cepat-cepat menahan Binatang Roh itu sementara dua orang askar yang lain menarik Long Qi keluar dari pertempuran itu!

Pergerakan secara tiba-tiba itu begitu menyakitkan sehingga mata Long Qi berpinar-pinar!

Binatang Roh Gred Penjaga itu mampu memusnahkan perisai teguh roh berkontraknya! Kuasa yang teramat hebat ini bukanlah sesuatu yang mampu mereka tandingi!

Sewaktu dia memandang medan pertempuran itu dengan kecewa, Long Qi mengetap giginya supaya dia boleh kekal sedar. Namun ketika itu dia sudah yakin yang mereka semua tidak akan dapat meninggalkan hutan ini hidup-hidup!

Sebaik Binatang Roh Gred Penjaga itu mencampakkan askar-askar di laluannya ke merata-rata tempat dan mahu menerkam Long Qi, satu bayang hitam tiba-tiba menghentam Binatang Roh tersebut!

Terdengar satu bunyi hentakan yang kuat!

Gelombang kejut akibat kuasa hentakan tadi membuatkan semua orang tercampak!

Long Qi melayang di udara. Seketika kemudian, dia tiba-tiba mendapati dirinya disambut satu kuasa yang kuat sebelum dia jatuh terhempas ke tanah!