Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 491 - Tamparan Berturut-turut - Bentuk Ketiga (2)

Chapter 491 - Tamparan Berturut-turut - Bentuk Ketiga (2)

Apa yang menyelamatkan Long Qi ialah satu binatang hitam yang besar. Binatang hitam itu menggunakan kepalanya untuk menolak badan Long Qi yang hampir terhempas ke tanah. Kemudian ekornya yang besar dililitkan pada badan Long Qi dan Long Qi dipindahkan ke belakang binatang tersebut. Binatang yang lincah ini kemudiannya berpusing di udara dan mendarat di atas kakinya, sebelum perlahan-lahan meletakkan Lonq Qi di satu kawasan lapang.

Long Qi merasakan belakangnya seperti terbakar. Dia menahan kesakitan tidak terbayang ini dan bergelut untuk berdiri. Long Qi merenung binatang yang telah menyelamatkannya itu. Binatang tersebut meluru kembali ke medan peperangan dengan sangat pantas, mengelak dengan lincah dan membawa kembali askar-askar Tentera Rui Lin ke kawasan lapang tersebut.

Sewaktu Long Qi akhirnya dapat melihat binatang tersebut dengan lebih jelas, dia terus menjadi kaku!

Binatang hitam itu sangat dikenalinya! Sudah berapa kali dia mengekori binatang hitam yang sama, dengan matanya tertumpu pada susuk tubuh kecil yang sentiasa menunggang binatang tersebut. Susuk tubuh yang berdiri teguh dan tidak mudah tunduk!

"Kalau kamu tak mahu mati, jaga diri kamu dan jangan cuba masuk campur." Dia terdengar satu suara yang amat dikenalinya. Suara itu dingin, tetapi Long Qi merasakan kehangatan seperti air sungai yang mengalir, mula tersebar ke seluruh tubuhnya!

Long Qi cepat-cepat berpusing setelah mendengar suara itu. Dia tidak mempedulikan kesakitan yang dirasainya dan cepat-cepat melutut sebelah kaki, menghadap punca suara tersebut. Kepalanya ditundukkan dan suaranya dipenuhi perasaan hormat sewaktu dia berkata, "Long Qi mengalu-alukan kedatangan Cik Muda!"

Suaranya menggeletar sedikit!

Ini disebabkan perasaannya yang bergolak, ditambah pula dengan kerinduan yang mendalam!

Satu susuk tubuh kecil molek berdiri di hadapan Long Qi. Walaupun orang itu tidak begitu tinggi dan nampak lemah, penampilannya membuatkan Long Qi berasa lebih selamat!

Pemilik tubuh itu memiliki raut wajah yang lembut dan tidak berperasaan. Tetapi penampilannya yang dingin dan menggerunkan itu mampu membuatkan orang lain berasa kagum!

Sebaik suara Long Qi beransur-ansur hilang, binatang hitam itu kembali ke situ setelah mendapatkan semua askar Tentera Rui Lin. Binatang itu meletakkan askar-askar ini di atas tanah sebelum pergi berdiri di sebelah orang bertubuh kecil itu.

Askar-askar Tentera Rui Lin yang lain, yang tiba-tiba ditarik keluar dari satu pertempuran sengit, masih belum pulih daripada perasaan terkejut akibat kemunculan binatang hitam itu. Binatang hitam yang telah menyelamatkan mereka itu membuatkan mereka tidak mampu berkata apa-apa akibat terlalu terperanjat!

Sebagai anggota Tentera Rui Lin, mereka sering ditempatkan di Istana Lin untuk menjaga keselamatan tiga generasi Keluarga Jun. Sewaktu berlakunya pembunuhan beramai-ramai di Bandar Diraja, askar-askar ini telah mengikut Long Qi dan mengambil bahagian dalam penangkapan para pegawai. Mereka juga menyaksikan tindakan tegas seorang gadis muda yang telah membawa kemenangan!

Binatang hitam itu turut hadir dalam memori mereka, kelihatan sama seperti apa yang berada di hadapan mereka ini!

Pada ketika itu juga, jeneral mereka sedang melutut di hadapan seseorang yang bertubuh kecil. Mereka merasakan orang ini kelihatan asing, tetapi pada masa yang sama seolah-olah seperti seseorang yang mereka kenali.

Mereka tidak pernah melihat wajah orang itu sebelum ini, tetapi berlainan pula dengan matanya. Askar-askar ini tiba-tiba dapat merasakan penampilan dingin dan menggerunkan yang orang itu pancarkan. Mereka tiba-tiba menyedari apa yang berlaku!

"Cik Muda!" Askar-askar Tentera Rui Lin ini tidak mempedulikan kesakitan akibat kecederaan mereka dan terus melutut sebelah kaki di hadapan orang itu. Suara mereka menggeletar kerana teruja!

Di dalam dunia ini hanya ada tiga orang sahaja yang mampu membuatkan askar Tentera Rui Lin melutut dengan hormat!

Duke Jun Xian, Tuan Jun Qing dan seorang lagi, Cik Muda Istana Lin, Jun Wu Xie!

Cik Muda mereka itu satu-satunya orang yang boleh mengawal binatang hitam yang besar dan menakutkan itu!

Rupa parasnya mungkin sudah berubah, begitu juga dengan pakaiannya. Tetapi tak mungkin mereka tersalah teka tentang orang ini. Berdiri di hadapan mereka kini, sambil ditemani binatang hitam itu, tak lain tak bukan ialah dewi di hati mereka. Jun Wu Xie!

Orang yang mencipta keajaiban untuk Istana Lin dan Tentera Rui Lin!

Walau bagaimanapun, pemilik susuk tubuh kecil ini tidak mengiktiraf penghormatan yang diterimanya ini, mahupun membalas kata-kata mereka. Di hadapan mata semua askar-askar Tentera Rui Lin, dia melompat ke belakang binatang hitam itu kemudian mencampakkan lebih sepuluh botol ubat-ubatan dan eliksir. Dia kemudiannya meluru ke arah Binatang Roh Gred Penjaga yang hampir mencabut nyawa Long Qi serta orang-orangnya sebentar tadi!