Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 485 - Pasukan Serangan Paling Ganas (4)

Chapter 485 - Pasukan Serangan Paling Ganas (4)

Namun begitu, jelingan yang diterimanya sekali-sekala itu tidak membuatkan Ning Xin terfikir untuk menghentikan usahanya. Malah dia menjadi semakin bersemangat pula dan dalam diam, bangga dengan dirinya sendiri.

Ning Xin memang teramat yakin dengan rupa paras serta imej dirinya yang telah dibinanya selama ini. Dia juga sering mendapat kelebihan hasil usahanya. Jadi, dia langsung tidak terfikir yang askar-askar yang tegap dan bersikap kasar ini langsung tidak akan mempedulikan kecantikannya.

Dia menyangkakan mereka ini sama seperti lelaki-lelaki lain yang pernah ditemuinya dan dalam diam-diam sudah terpukau dengannya.

"Tak perlu." Long Qi langsung tidak berpaling dan terus menolak cadangan Ning Xin.

Senyuman manis di wajah Ning Xin kaku seketika, tetapi dia cepat-cepat pulih kembali.

"Kamu tak perlulah terlalu kasar. Kita ditakdirkan bertemu di sini, munkin semuanya sudah ditentukan. Perjalanan ke Tasik Bulan Roh masih agak jauh. Apa kata saya beritahu kamu apa situasi di Tasik Bulan Roh?" tanya Ning Xin. Dia masih tersenyum dan tidak menunjukkan tanda-tanda mahu berundur walaupun sudah ditolak secara terang-terangan oleh Long Qi.

Long Q semakin berkerut. Dia mahu sahaja menolak sekali lagi. Tetapi apabila difikirkan, memang betul mereka tidak pernah sampai ke Tasik Bulan Roh. Apa yang mereka tahu hanyalah apa yang Mu Chen beritahu iaitu herba yang mereka perlukan tumbuh di sekitar tasik itu. Bagus juga kalau mereka dapat mengumpulkan sedikit maklumat tentang tempat itu. Ini mungkin akan membantu mereka dan memudahkan mereka mencari herba tersebut.

"Kalau begitu, nampaknya saya perlu menyusahkan kamu untuk bercerita tentang tasik itu," balas Long Qi selepas dia menilai situasi ini. Dia memendamkan perasaan tidak sabar yang menyeksa hatinya.

Mata Ning Xin memaparkan kegembiraan. Walaupun dia tahu yang orang ini tidak begitu suka berbual dengan orang lain, Ning Xin yakin dia tahu bagaimana untuk menguruskan orang sebegini.

"Tasik Bulan Roh itu luas dan dianggap sebagai sumber air utama di dalam Hutan Roh Pertempuran. Khabarnya air Tasik Bulan Roh ini boleh membekalkan khasiat kepada roh dan menarik sejumlah besar Binatang Roh datang padanya. Banyak Binatang Roh boleh dilihat berdekatan kawasan tasik ini kerana binatang-binatang itu datang untuk minum di tasik tersebut. Kalau binatang-binatang ini mengesan kehadiran yang aneh atau tidak dikenali, kemungkinan besar binatang-binatang roh ini akan menyerang. Jadi, saya cadangkan apabila kamu sampai ke kawasan itu, jangan terus pergi ke arah tasik. Perhatikan kawasan sekeliling dulu dan lihat kalau ada Binatang Roh di situ. Ini akan dapat mengelakkan sebarang nahas daripada berlaku." Ning Xin menyimpan niat mahu bersahabat dengan Long Qi. Oleh itu dia membuat keputusan yang kata-katanya perlu mengandungi sedikit elemen kebenaran.

Sebaliknya Long Qi membalas, "Tak perlu susah-susah begitu. Kalau ada Binatang Roh di kawasan itu, kami cuma perlu membunuhnya."

Ning Xin terkejut mendengar kata-kata tegas Long Qi. Pasti lelaki ini begitu yakin dengan kekuatannya sehingga dia boleh berkata begitu. Pada mulanya, sewaktu pelajar itu membawa berita yang dia ada menyaksikan sekumpulan lelaki ini membunuh Binatang Roh gred tinggi, Ning Xin berasa ragu-ragu. Tetapi setelah melihat keyakinan Long Qi serta merasai aura hebat yang dipancarkannya, Ning Xi mula percaya pada kata-kata pelajar itu tadi.

"Haha, kata-kata orang yang kuat memang benar-benar berbeza. Kemahiran Abang Long pasti sangat hebat. Saya berasa rendah diri." Ning Xin tersenyum lembut. Matanya dikelip-kelipkan sambil dia menjeling Long Qi dengan malu-malu.

Namun begitu, Long Qi langsung tidak memberikan sebarang reaksi. Wajahnya tetap dingin dan tidak mesra.

"Abang Long mesti dah banyak melalui cabaran. Perjalanan kita ini masih jauh. Sudi tak Abang Long berkongsi cerita dengan saya?" Ning Xin tersenyum manis dan kelihatan seperti gadis yang malu-malu.

Kalau lelaki lain dilayan begini baik oleh seorang gadis muda yang cantik dan malu-malu seperti ini, lelaki itu pasti sudah tertawan sepenuhnya. Tetapi wajah Long Qi langsung tidak berubah dan tidak tersentuh.

"Cik Ning." Long Qi tiba-tiba berhenti berjalan.

"Abang Long, tak perlulah terlalu formal. Panggil Ning Xin saja." Wajah Ning Xin kemerah-merahan dan dia menundukkan kepala untuk menyembunyikan kegembiraan yang terpancar di matanya pada ketika itu.

"Kalau kamu tak ada maklumat lain untuk diberitahu tentang Tasik Bulan Roh, maka tak perlulah berkata apa-apa lagi. Saya ada hal-hal lain untuk dibincangkan dengan orang-orang saya. Minta diri dulu." Long Qi memandang Ning Xin dengan dingin. Dia langsung tidak kisah untuk bersikap biadab dan menghalau gadis itu tanpa teragak-agak.