Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 486 - Pasukan Serangan Paling Ganas (5)

Chapter 486 - Pasukan Serangan Paling Ganas (5)

Ketika itu, wajah Ning Xin berubah. Senyumannya yang cantik kelihatan seperti dipaksa sewaktu dia menahan kemarahan yang meluap-luap di dalam dadanya. Senyuman terpaksa itu masih kaku di wajahnya sewaktu dia berpaling untuk pergi dari situ.

Hanya selepas Ning Xin meninggalkan mereka barulah askar-askar Rui Lin itu mengeluh lega.

"Bau apa yang ada pada dia tu? Kuat betul bau tu sampai saya nak muntah." Salah seorang askar itu menggosok-gosok hidungnya dengan kuat. Satu-satunya yang dia ingat tentang Ning Xin ialah haruman kuat yang menyerang hidungnya sehingga hampir membuatkan dia mengalirkan air mata sewaktu gadis itu berada berdekatan mereka.

"Bos rasa gadis itu dah terpikat dengan Bos ke? Beberapa kali dia bermain mata, malah pipinya kemerah-merahan." Salah seorang askar itu bermain mata dengan Long Qi, mengusik jeneral mereka itu.

"Betul ke kemerah-merahan? Bukan pucat lesi? Saya pandang dia sebelum dia pergi dari sini tadi. Bibir dia pun langsung tidak berwarna!"

"Sudah-sudahlah merepek." Long Qi merenung askar-askar itu. "Sampai saja di Tasik Bulan Roh itu nanti, cepat-cepat pergi cari Binatang Roh. Bayar pemuda-pemuda ini dan suruh mereka pergi."

Walaupun Long Qi yang banyak pengalaman bertempur itu tidak begitu arif tentang hubungan yang rumit di antara lelaki dan wanita, namun akalnya cukup tajam. Dia sedar yang walaupun Ning Xin hanyalah seorang gadis muda, niat di sebalik tindakannya tidaklah begitu mudah. Cara dia berterusan cuba mengorek rahsia situasi mereka dianggap melanggar pantang seorang anggota tentera yang sedang menjalankan misinya.

"Baik Tuan!"

…..

"Senior Ning, kenapa ni?" Yin Yan bergegas datang untuk bertanya sambil merenung wajah Ning Xin yang pucat. Gadis itu kembali menyertai kumpulannya dengan muka yang kelihatan marah. Malah Lu Wei Jie juga menyedari ada yang tidak kena dengan Ning Xin dan memalingkan kepalanya untuk memandang gadis itu.

Ning Xin mengambil nafas dalam-dalam dan menahan kemarahan di dalam dirinya.

[Orang-orang bedebah itu fikir mereka siapa? Saya berbaik-baik dengan mereka sikit dan mereka sangka diri mereka itu hebat sangat? Berani mereka tolak saya seperti itu!?]

Ning Xin, yang sudah terbiasa dipuja-puja dan dikagumi, begitu marah dengan layanan dingin Long Qi.

Dia tidak pernah lagi "ditampar" dengan sikap acuh tak acuh dan bertemu dengan orang yang tidak ambil peduli tentang dirinya!

"Ada perubahan rancangan. Mereka ini hanyalah orang-orang yang degil, kasar dan tak beradab. Mereka tak tahu mengenang budi!" kata Ning Xin dengan marah sambil mengibas-ngibas lengan bajunya dengan marah. Senyumannya lenyap tanpa kesan.

"Apa yang dah jadi sebenarnya? Kenapa kamu begitu marah?" Lu Wu Jie bergegas datang untuk memujuk gadis cantik itu. "Saya pun sedar lelaki-lelaki ini cuma orang-orang ganas yang mempunyai kuasa yang kuat. Saya memang tak berkenan lihat kamu bermesra dengan orang-orang tak beradab ini tadi. Kalau mereka tak mahu terima niat baik kita, biarkan saja mereka. Kita, sebagai pelajar terhormat dari Akademi Zephyr, tak perlukan kekuatan mereka."

Pada mulanya Lu Wei Jie bersetuju dengan rancangan Ning Xin. Tetapi setelah dia ditolak dengan Long Qi yang berperwatakan dingin sepanjang perjalanan mereka ini, personaliti Lu Wei Jie yang angkuh dan ego tidak dapat menerima penolakan tersebut. Kini Ning Xi yang cantik manis ini juga sama dicemuh dan ditolak dengan angkuh. Perasaan tidak puas hati Lu Wei Jie semakin meningkat.

"Hmph! Kalau mereka tolak wain yang kita tawarkan, mari kita berikan racun pula! Biar padan dengan muka mereka! Mereka mahu saya bawa mereka sejauh ini dan mereka fikir boleh singkirkan saya dengan hanya beberapa Binatang Roh gred tinggi? Nilai Ning Xin lebih tinggi dari itu!" Mata Ning Xin mengecil. Kelembutan pada matanya telah lenyap, tiba-tiba digantikan dengan kekejaman berbisa.

Yin Yan yang berdiri di sisi menjadi kaku dan tidak berani menjawab apa-apa. Sebaliknya, Lu Wei Jie pula yang tiba-tiba bersuara, "Kamu nak buat apa? Kalau kita bertempur dengan mereka, saya tak rasa kita setanding dengan kekuatan mereka."

Kalau lelaki-lelaki itu tidak begitu berkuasa, Lu Wei Jie pasti sudah membelasah mereka begitu teruk sehingga gigi mereka berterabur. Tetapi mereka berhadapan dengan Long Qi, jadi dia hanya boleh menelan kemarahannya dan menyimpan perasaan geram di dalam hatinya.

Ning Xin ketawa dingin lalu berkata, "Kenapa kita perlu bersusah payah? Hutan Roh Pertempuran ini penuh dengan Binatang Roh."

"Tapi mereka mampu mengalahkan Binatang Roh gred tinggi…"

"Macam mana pula dengan binatang roh yang bergred lebih tinggi dari itu?" Mulut Ning Xin menguntum senyuman sinis. Dia berpaling untuk memandang kumpulan lelaki tersebut dengan mata yang penuh kejam.

Related Books

Popular novel hashtag