Jun Wu Xie mengekori Ye Sha untuk supaya dia dapat sampai pada Long Qi dan orang-orangnya. Selepas mengembara melalui kawasan hutan tebal yang luas, mereka akhirnya sampai ke sebuah tasik yang tersembunyi di celah-celah pokok.
Permukaan tasik itu kelihatan seperti kolam perak yang memantulkan cahaya matahari. Riak-riak airnya seperti bintang-bintang yang bergemerlapan, sangat indah apabila dipandang. Di pinggir Tasik Bulan Roh itu terdapat beberapa Binatang Roh yang sedang tunduk menikmati air tasik tersebut. Sebaik kehadiran Jun Wu Xie dan kumpulannya dapat dikesan, binatang-binatang ini bertempiaran ke semua arah, berlari ke kawasan gelap di sebalik pokok-pokok lalu hilang tanpa kesan.
"Ini Tasik Bulan Roh? Tapi….di mana Ning Xin dan orang-orang Tentera Rui Lin?" Qiao Chu meninjau-ninjau keadaan sekeliling, tetapi tidak terlihat kelibat lain selain Binatang-binatang Roh yang lari bertempiaran tadi.
Jun Wu Xie berpaling ke arah Ye Sha dan Ye Sha tiba-tiba berkerut.
"Ada apa?" tanya Jun Wu Xie.
"Ular Dakwat itu tiba-tiba mati. Tetapi sebelum mati, ular itu telah mengekori kumpulan tersebut melepasi kawasan Tasik Bulan Roh. Nampaknya destinasi mereka bukan hanya di sini." Ye Sha pantas melaporkan segalanya pada Jun Wu Xie.
Sedang mereka memikirkan kata-kata Ye She, bunyi deram-derum tiba-tiba menggegarkan tanah di bawah kaki mereka!
Pokok-pokok besar yang mengelilingi tasik tersebut bergoyang dan berkersik. Semua Binatang Roh yang telah bersembunyi di dalam hutan itu dapat mengesan ancaman menggerunkan yang menghampiri kawasan itu. Binatang-binatang ini sekali lagi bertempiaran lari, memecahkan kesunyian suasana!
"Apa yang sedang berlaku ni!?" Gegaran demi gegaran yang tidak dapat dipastikan itu membuatkan Fei Yan tidak sedap hati.
Mata Jun Wu Xie mengecil dan dia berkata dengan tegas, "Bawa kami ke tempat Ular Dakwat itu mati."
"Baik!"
Kumpulan itu segera bergerak. Sedang mereka meluru ke destinasi mereka, tiba-tiba terdengar satu raungan yang membingitkan telinga!
Bunyi tempikan seperti guruh itu semakin kuat dan lebih megah dari apa yang mereka pernah dengar sebelum ini!
Bunyi itu sahaja sudah cukup untuk membuatkan darah mereka berderau!
Raungan itu terus bergema menembusi pokok-pokok di sekeliling mereka. Daun-daun mula berkersik dengan ganas apabila gelombang bunyi itu menjadi semakin kuat!
"Binatang Roh….Gred Penjaga…." Wajah Fan Jin menjadi pucat lesi. Kekuatan bunyi raungan itu membuatkan hatinya dicengkam perasaan gerun.
Dia pernah sekali terlihat Binatang Roh Gred Penjaga sewaktu bersama-sama ayahnya. Pengalaman itu terpahat kemas di dalam hatinya dan dia tidak dapat melupakan kejadian tersebut.
"Apa kata kamu?" Qiao Chu berpaling lalu merenung Fan Jin dengan mata terbeliak.
Fan Jin membalas dengan wajah yang pucat lesi, "Itu tidak syak lagi ialah Binatang Roh Gred Penjaga…. Tasik Bulan Roh terletak di tengah-tengah kawasan Hutan Roh Pertempuran. Air dari tasik ini memberikan khasiat terbaik pada Binatang Roh. Sebab itulah banyak Binatang Roh gred tinggi selalu merayau-rayau di sekitar kawasan tasik ini, termasuklah Binatang Roh Gred Penjaga yang jarang dapat dilihat."
Tiada siapa di dalam Akademi Zephyr yang berani mengimpikan untuk memburu Binatang Roh Gred Penjaga. Khabar angin banyak mengatakan yang kuasa Binatang Roh Gred Penjaga itu melebihi kuasa roh tahap ungu! Bukan sahaja para pelajar yang mengambil bahagian dalam Perburuan Roh, malah kalau semua tenaga pengajar serta Tuan Guru di akademi itu berdepan dengan Binatang Roh Gred Penjaga, mereka juga tiada pilihan selain melarikan diri!
Fan Jin tidak pernah bermimpi yang dia sekali lagi akan berhadapan dengan Binatang Roh Gred Penjaga!
"Arah raungan itu sama tempatnya di mana Ular Dakwat telah dibunuh." Ye Sha memperlahankan langkahnya sedikit untuk berkongsi berita yang mengejutkan itu!
Ular Dakwat Ye Sha telah mengekori Long Qi dan orang-orangnya secara sembunyi, sejak dari mula lagi. Kematian ular ini yang berlaku secara tiba-tiba sudah pun mencurigakan. Kini mereka mendapat tahu pula yang ada Binatang Roh Gred Penjaga di tempat ular itu mati. Masalah apa yang menanti mereka di sini?
Adakah ini bermakna Long Qi dan orang-orangnya yang mereka jejaki selama ini, telah bertembung dengan Binatang Roh Gred Penjaga!?