Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 484 - Pasukan Serangan Paling Ganas (3)

Chapter 484 - Pasukan Serangan Paling Ganas (3)

Sewaktu dalam perjalanan ke Tasik Bulan Roh, Ning Xin meminta Lu Wei Jie cuba berbual-bual dengan Long Qi dan orang-orangnya. Namun mereka langsung tidak mempedulikan Lu Wei Jie.

Long Qi diam sahaja dan tidak membalas. Mukanya serius dan dia enggan berkata apa-apa.

Lu Wei Jie yang berasa terhina, kembali kepada Ning Xin dengan muram. Dia sentiasa dipuja-puja dan dikagumi oleh semua orang di Akademi Zephyr. Selalunya akan ada sekumpulan para pelajar akademi itu di sekelilingnya. Lu Wei Jie tidak biasa ditolak dan wajahnya menunjukkan perasaan tidak puas hati ketika dia merajuk di sisi Ning Xin.

Sewaktu Ning Xin melihat yang Lu Wei Jie juga gagal memnangi hati mereka, dia menyuruh Lu Wei Jie mengambil alih tempatnya di depan sementara dia memperlahankan langkah untuk berada di belakang kumpulan itu. Ning Xin tersenyum manis sambil bergerak bersama-sama Long Qi dan orang-orangnya.

"Memandangkan kamu dan orang-orang kamu ini tak biasa dengan Hutan Roh Pertempuran, mesti ini kali pertama kamu ke sini. Saya tertanya-tanya apa yang kamu semua mahu cari di Tasik Bulan Roh? Sebenarnya, ayah saya ialah Naib Pengetua di Akademi Zephyr dan dia sangat biasa dengan kawasan hutan ini. Akademi Zephyr mengadakan dua acara Perburuan roh setiap tahun dan kami selalu ke hutan ini. Kami selalunya membawa balik banyak benda dari hutan ini selepas berakhirnya Perburuan Roh. Kalau kami ada barang yang kamu cari, bukankah itu akan menjimatkan masa dan tenaga?" Ning Xin memiliki raut wajah yang cantik dan senyumannya mampu menawan hati sesiapa sahaja. Nada suaranya direndahkan dan suaranya ibarat air sungai yang mengalir. Tidak mudah bagi sesiapa sahaja untuk tidak menyukainya.

Sebenarnya, jika dia tidak membuat permintaan yang melampau tadi, Long Qi dan orang-orangnya pasti mempunyai tanggapan yang baik terhadapnya.

Long Qi berkerut, wajahnya kelihatan kurang sabar.

Cubaan berulang kali pemuda-pemuda itu untuk berbual dengannya membuatkan Long Qi berasa jengkel.

Memandangkan kedua-dua pihak sudah bersetuju dengan perjanjian yang dibuat, mereka cuma perlu menunaikan apa yang telah dipersetujui. Cubaan terang-terangan untuk kelihatan lebih mesra ini membuatkan Long Qi dan orang-orangnya yang bersikap tegas itu berasa kurang selesa.

Askar-askar yang mengikut Long Qi curi-curi memandang sekilas pada Ning Xin. Mereka memerhatikan wajahnya yang cantik serta senyumannya yang mesra. Tetapi tidak ada sedikit pun perasaan kagum yang terlihat pada wajah lelaki-lelaki ini.

Pada mereka, rupa dan kelembutan di tahap itu langsung tidak setanding dengan Cik Muda mereka!

Berek Tentera Rui Lin dipenuhi sekumpulan lelaki yang tegas dan setia. Mereka biasanya hidup terasing dengan dunia luar dan menumpukan sepenuh perhatian terhadap latihan. Sebab itulah mereka jarang berinteraksi dengan wanita. Satu-satunya wanita atau gadis yang sering muncul di hadapan mereka ialah Cik Muda Istana Lin, Jun Wu Xie.

Pada mulanya, sebelum Jun Wu Xie bertukar roh, askar-askar Tentera Rui Lin amat malu dengan reputasi Cik Muda mereka. Tetapi disebabkan pertalian darahnya dengan Keluarga Jun, mereka tidak ada pilihan selain tunduk dengan akur. Namun selepas roh Jun Wu Xie bertukar, setiap tindakannya memecahkan tanggapan yang sudah lama mereka pegang berkaitan Cik Muda mereka ini. Setiap askar Tentera Rui Lin berubah daripada benci kepada hormat dan tunduk sepenuhnya pada Jun Wu Xie.

Di dalam hati askar-askar yang berani dan bengis ini, gadis paling cantik di seluruh langit dan bumi ini ialah Cik Muda mereka. Gadis yang paling hebat, sehingga tiada siapa dapat menandinginya, juga ialah Cik Muda mereka. 

Dengan adanya Jun Wu Xie sebagai kayu pengukur di hati lelaki-lelaki ini, mana-mana wanita yang cuba menggoda dan menambat hati mereka akhirnya hanya akan berdepan dengan kegagalan.

Wajah Ning Xin tidak cukup cantik, langsung tak layak untuk dibandingkan dengan Cik Muda.

Mata Ning Xin tidak bersemangat, tak setanding Cik Muda.

Dia kurang menawan dan senyumannya kelihatan seperti mengampu. Gadis ini memang lebih rendah berbanding Cik Muda dari segala segi! Cik Muda mereka dingin, angkuh dan menawan! 

Satu lagi, gadis itu butakah? Dia tak nampakkah ekspresi wajah Jeneral Long Qi yang menunjukkan dia tidak mahu diganggu? Mereka masih lagi tidak putus-putus berusaha mahu mendekati jeneral itu dan membebel tanpa henti. Memikirkan syarat-syarat yang gadis itu kenakan sebagai bayaran untuk membawa mereka ke tasik tersebut, tiada siapa yang masih waras akan bersetuju dengan satu lagi tawaran gadis itu supaya mereka mendapatkan herba yang mereka perlukan daripadanya, melainkan mereka ini terlampau kaya.

Ning Xin masih lagi tidak sedar yang dia dibenci oleh semua askar-askar Tentera Rui Lin yang ada di situ. Dia masih lagi tersenyum manis dan mesra di hadapan mereka.