Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 478 - Seorang Oportunis (1)

Chapter 478 - Seorang Oportunis (1)

"Ning Xin, kamu terfikirkan sesuatu?" tanya Lu Wei Jie.

Ning Xin tersenyum manis lalu membalas. "Bukankah Senior Lu mahu mendapatkan tempat pertama dalam Perburuan Roh kali ini? Kalau kita berjaya memburu beberapa Binatang Roh gred tinggi dan mendapatkan batu roh, Senior Lu bukan saja akan mendapat tempat pertama kali ini, tetapi juga akan mencatat sejarah Perburuan Roh Akademi Zephyr sebagai orang pertama yang berjaya membunuh Binatang Roh gred tinggi."

Mata Lu Wei Jie berkilauan memikirkan hal ini. Tak ada orang yang akan menolak cadangan yang begitu menggoda. Tetapi….

"Saya masih belum mampu lagi mengalahkan Binatang Roh gred tinggi." Lu Wei Jie terpaksa mengaku yang dia tidak setanding dengan Binatang Roh gred tinggi.

Ning Xin tersenyum menggoda, "Senior Lu tak perlu bersusah-payah pun. Bukankah ada beberapa orang yang boleh menawarkan bantuan?"

Lu Wei Jie berasa keliru.

"Maksud kamu….."

Ning Xin berpusing ke arah pemuda yang membawakan berita kepada mereka tadi dan tersenyum manis padanya. "Pergi beritahu orang-orang itu yang kita memiliki peta yang menunjukkan sebahagian besar kawasan Hutan Roh Pertempuran. Kita boleh membawa mereka ke mana-mana saja bahagian hutan ini yang mereka mahu pergi, kalau mereka sanggup membunuh beberapa Binatang Roh gred tinggi untuk kita."

Pemuda itu terkejut dan dia hanya mampu berdiri kaku. Dia merenung Ning Xin sebelum mengalihkan matanya untuk memandang Lu Wei Jie dengan perasaan bingung.

Lu Wei Jie berbelah bahagi. Kumpulan mereka berani masuk ke bahagian tengah Hutan Roh Pertempuran pada kali ini kerana Ning Xin memiliki satu salinan peta yang dilukis kasar dan kurang jelas. Namun begitu, peta ini merangkumi bahagian yang lebih besar berbanding peta yang diberikan oleh pihak Akademi Zephyr dan turut menandakan kawasan-kawasan penting di dalam Hutan Roh Pertempuran. Nampaknya Ning Xin berniat untuk menggunakan peta tersebut bagi mendapatkan bantuan orang-orang itu. Sebagai balasannya, mereka akan mendapatkan batu roh gred tinggi tanpa perlu berusaha.

"Cepat pergi. Kamu tunggu apa lagi?" Ning Xin memujuk lembut.

Pemuda itu kemudiannya berpusing dan pantas berlari untuk berbincang dengan lebih lanjut bersama orang-orang tersebut.

Selepas pemuda itu berlalu pergi, Lu Wei Jie membuat keputusan yang cadangan Ning Xin itu memang bijak. Dia memberikan pujian demi pujian sehingga Ning Xin tertawa malu-malu.

Sementara itu, Yin Yan pula menggenggam penumbuknya dengan kuat sambil merenung ganas pada Lu Wei Jie.

Seketika kemudian, pemuda itu berlari kembali sekali lagi. Dia diekori rapat oleh sepuluh orang lelaki.

Sepuluh orang lelaki ini semuanya memakai mantel. Jika diperhatikan dari jauh, wajah mereka langsung tidak dapat dilihat. Tetapi susuk tubuh mereka menunjukkan yang tujuh orang daripada mereka kelihatan besar dan kuat. Jika dibandingkan dengan para pelajar Akademi Zephyr, lelaki-lelaki ini boleh diibaratkan seperti gunung.

"Senior Lu, Senior Ning, inilah orang-orang yang perlu menggunakan peta kita." Pemuda itu tergesa-gesa memperkenalkan mereka.

Ketua kumpulan lelaki itu membuka mantelnya. Susuk tubuhnya yang besar dan tinggi hampir menyesakkan nafas para pelajar ini. Matahari menyinari wajahnya yang tegas dan kacak. Tidak seperti wajah anak-anak muda remaja ini yang masih kelihatan lembut dan menawan, wajah lelaki itu berciri maskulin. Wajah tampan yang disulami kematangan. Apa yang membuatkan seseorang paling tertarik padanya ialah matanya. Tajam seperti pisau dan membuatkan orang lain berasa seperti sedang diperhatikan.

Lelaki itu hanya berdiri sahaja tanpa bergerak, namun aura yang dipancarkannya amat menggerunkan.

Lu Wei Jie yang tadinya berdiri dengan angkuh, tiba-tiba mendapati egonya menjadi lemah dan dirinya mula tunduk di hadapan lelaki ini.

"Saya cuma pengawal peribadi bawahan dalam konvoi ekspedisi perniagaan ini. Kamu boleh panggil saya Pengiring Long," kata lelaki tampan itu dengan bersahaja sambil memandang para pemuda di hadapannya.

Mata Lu Wei Jie terpegun memandang lelaki tersebut seketika sebelum dia kembali sedar. Dia cepat-cepat menyembunyikan perasaan kagumnya terhadap Pengiring Long dan bersusah payah cuba kelihatan tidak terkesan dengan kehadiran lelaki itu. Dia berkata, "Saya Lu Wei Jie, dari fakulti Roh Senjata Akademi Zephyr. Ini pula Ning Xin."