Pengiring Long mengangguk sedikit sebagai balasan. Renungan matanya yang tenang tetapi tajam itu membuatkan para pemuda tersebut sedikit tertekan.
Memang wajahnya kelihatan tampan, tetapi entah mengapa, dia juga membuatkan pemuda-pemuda ini berundur sebagai tanda hormat.
"Berkaitan dengan cadangan kamu itu, saya dah dengar semuanya. Berapa banyak Roh Binatang gred tinggi yang kamu perlukan?" Pengiring Long bertanya dengan ringkas dan jelas tanpa berkias-kias.
Hati Lu Wei Jie seolah-olah mahu melompat mendengarkan kata-kata itu. Berdasarkan nada lelaki tersebut, nampaknya syarat-syarat mereka telah diterima. Dia baru sahaja mahu bersuara apabila Ning Xin memandang tajam padanya. Lu Wei Jie terus terdiam.
Ning Xin melangkah ke hadapan lalu tersenyum berseri-seri ibarat bunga yang mekar. Dia berkata, "Itu bergantung kepada bahagian hutan yang mana kamu mahu pergi. Sejujurnya, peta itu amat penting buat kami dan kami minta maaf kerana tak dapat menunjukkannya kepada kamu. Ke mana sahaja kamu mahu pergi, kami boleh bawa. Berkenaan hal ganjaran itu pula, semuanya bergantung pada destinasi kamu."
Pengiring Long merenung dingin pada Ning Xin dan teragak-agak seketika sebelum berkata, "Kami mahu pergi ke Tasik Bulan Roh.
Herba yang mereka perlukan hanya tumbuh berdekatan Tasik Bulan Roh.
Ning Xin tersenyum.
"Lima Binatang Roh gred tinggi."
Kening Pengiring Long berkerut. Gadis muda ini terlalu tamak. Dia cuma meminta untuk dibawa ke destinasinya dan gadis muda ini ragu-ragu terus meminta lima Binatang Roh gred tinggi. Pengiring Long tahu yang satu batu roh dari mana-mana Binatang Roh gred tinggi sahaja dengan mudah dapat dijual dengan harga yang lumayan di pasaran.
Selepas memikirkan hal ini seketika lagi, akhirnya Pengiring Long berkata, "Baiklah."
Ning Xin mengangguk sambil tersenyum dan dia memandang sekilas pada Lu Wei Jie. Kemudiannya Lu Wei Jie menyusun kembali pasukannya dan meletakkan Ning Xin sebagai ketua untuk membawa Pengiring Long serta orang-orangnya ke tasik itu.
Pengiring Long berada di bahagian belakang kumpulan itu dan diam sahaja. Beberapa orang dari pasukannya telah mendengar apa permintaan tidak tahu malu Ning Xin sebagai balasan kepada mereka menunjukkan jalan. Mereka berasa agak jengkel.
"Jeneral Long, budak-budak kecil ini terlalu ganas. Mereka meminta lima Binatang Roh gred tinggi sebagai ganjaran menunjukkan jalan. Ini namanya nak merompak!" Salah seorang lelaki itu membisikkan rungutannya.
Pengiring Long berkerut. Kalau tidak kerana herba yang mereka perlukan itu sangat jarang ditemui dan hanya terdapat di kawasan sekitar Tasik Bulan Roh, dia langsung tidak akan bersetuju dengan permintaan yang tidak munasabah ini.
"Tuan Guru Mu yang minta herba itu. Lagipun dia kata herba ini akan meningkatkan tahap kekuatan Tentera Rui Lin. Tak apalah kalau sekali ini kita biarkan budak-budak ini mendapat ganjaran lumayan." Pengiring Long, atau lebih tepat lagi Long Qi yang menyamar sebagai pengawal konvoi perniagaan, berkata sambil mengeluh.
Tidak lama dahulu, Mu Chen datang ke Istana Lin bersama-sama sekumpulan pengikut dari Puncak Menjejak Awan. Kejadian ini amat mengejutkan Jun Xian dan Jun Qing. Mereka baru sahaja menerima berita yang Kumpulan Qing Yun sudah dihapuskan. Tidak pernah mereka bayangkan yang Mu Chen akan membawa pengikut-pengikutnya untuk memohon perlindungan dari Istana Lin. Apa yang lebih memeranjatkan ialah apabila mereka mendengar dari Mu Chen yang semua ini telah diatur oleh Jun Xie.
Sepanjang tempoh Mu Chen menyertai Istana Lin, dia dan para pengikutnya tidak putus-putus berusaha mencipta dan menghasilkan ubat-ubatan yang dapat menambah baik keadaan urat darah dan arteri anggota tentera Rui Lin. Disebabkan eliksir yang Jun Wu Xie berikan kepada Tentera Rui Lin sebelum ini telah mengubah keadaan tubuh badan mereka sepenuhnya, Mu Chen berdepan dengan tugas yang sukar untuk mempertingkatkan lagi kekuatan tubuh badan askar-askar ini.
Tetapi Mu Chen tetap ingin menunaikan janjinya. Memandangkan dia telah berjanji pada Jun Xie yang dia akan berusaha sebaik mungkin, dia telah menghabiskan masa berbulan-bulan melakukan kajian. Akhirnya dia berjaya menghasilkan eliksir yang akan menambah baik lagi urat darah dan arteri askar-askar tersebut. Namun begitu, eliksir itu memerlukan herba yang unik serta jarang ditemui. Walaupun Kumpulan Qing Yun memiliki herba ini, Mu Chen sudah membawa keseluruhan stok herba ini ke Istana Lin. Tentera Rui Lin mempunyai bilangan askar yang terlalu ramai. Mu Chen tidak mempunyai herba yang cukup untuk menghasilkan seratus ribu eliksir untuk kegunaan setiap seorang daripada mereka.
Selain tumbuh di dalam kawasan Kumpulan Qing Yun, herba ini hanya boleh ditemui di kawasan berdekatan Tasik Bulan Roh yang berada di dalam Hutan Roh Pertempuran. Demi mencarinya, Mu Chen menghantar tiga orang pengikutnya ke hutan tersebut untuk mencari herba itu. Bagi memastikan keselamatan pengikut-pengikut ini, Jun Xian menghantar Long Qi serta enam orang askar dari Tentera Rui Lin bersama-sama mereka sebagai pengawal peribadi.