Baju pelajar itu koyak-rabak dan ada luka besar yang terkoyak sehingga ke tulang. Amat mengerikan. Luka-luka dan calar-calar di seluruh badannya juga membuatkan orang tidak sanggup memandangnya kerana berasa gerun. Wajahnya pucat lesi. Melihatkan ekspresi wajahnya, pasti dia amat ketakutan.
Arah dari mana pelajar itu berlari keluar menunjukkan kawasan itu berada di luar sempadan yang ditunjukkan pada peta yang diberikan oleh pihak akademi. Sepatutnya, tak ada pelajar Akademi Zephyr yang berada di situ.
"Apa yang dah berlaku?" Fan Jin membantu pelajar itu berdiri. Dia mendapati pelajar itu sedang menggeletar ketakutan. Kemudian pelajar itu berkata sambil tergagap-gagap, "Binatang Roh….. Ada Binatang Roh….. Ada Binatang Roh di situ! Besar! Macam gergasi!" Pelajar itu mula meraban. Lama kemudian baru dia sedar yang pemuda di hadapannya ini ialah Fan Jin. Tiba-tiba dia kembali waras dan merayu sepenuh hati, "Senior Fan! Selamatkan saya! Tolong selamatkan saya!"
"Ada orang lain di situ?" Fan Jin bertanya dengan bimbang. Bahagian tengah Hutan Pertempuran Roh merupakan kawasan yang orang lain tidak berani jejak masuk sekalipun. Jadi apa yang pelajar-pelajar ini buat di situ?
"Ya….. ada….. Ramai lagi….. Senior Fan, tolong cepat selamatkan mereka….." Pelajar itu menangis, air matanya mengalir deras.
Jun Wu Xie diam sahaja memandang pelajar yang sedang merayu-rayu di kaki Fan Jin. Mata Jun Wu Xie langsung tidak menunjuk sebarang riak emosi.
Pada ketika itu Fan Jin berpaling untuk memandang Jun Xie. Tanpa disedari, dia sudah mula meminta pendapat Jun Xie. Dia tidak tahu Binatang Roh jenis apa yang ditemui oleh pelajar-pelajar itu. Besar kemungkinan, memandangkan mereka berada di bahagian tengah, Binatang Roh itu berada di gred jaguh. Kalau benar begitu, mereka mungkin tidak akan mampu menahannya serta melarikan diri dari situ.
Selamatkan atau abaikan?
"Senior Fan mahu selamatkan mereka?" Jun Wu Xie tiba-tiba bertanya.
Fan Jin teragak-agak seketika sebelum mengangguk kecil, "Lagipun kita datang dari akademi yang sama." Pelajar yang lari tadi masih lagi menggunakan tangan yang berlumuran darah untuk menggenggam Fan Jin dengan erat. Kehangatan darah yang telah meresap pada pakaian Fan Jin itu dapat dirasakan sehingga ke kulitnya.
Jun Wu Xie tidak terus membalas tetapi hanya merenung pelajar itu dari kedudukannya yang lebih tinggi di atas Rolly. Selepas beberapa ketika, Jun Wu Xie perlahan-lahan berkata, "Sewaktu dalam bahaya, kenapa tak lepaskan suar amaran?"
Sebelum masuk ke Hutan Roh Pertempuran, semua pelajar diberikan dua suar amaran untuk dibawa bersama dan digunakan dalam kecemasan seperti ini.
Pelajar itu mengangkat kepalanya, Sebaik tepandang Beruang Yin Yang yang besar itu, dia tiba-tiba tergamam. Kejutan terpancar sekilas di matanya yang dipenuhi perasaan gerun itu, sebelum kembali semula ke asal. "Kanopi daun di sini terlalu tebal dan kamu tak berjaya melepaskan suar amaran kami di situ." Selepas berkata demikian, pelajar itu mengeluarkan dua suar amaran yang telah digunakan dan menunjukkannya pada kumpulan tersebut.
Di bahagian hutan di mana pokok-pokoknya tinggi dan tumbuh rapat-rapat, suar amaran tidak boleh digunakan dengan efektif. Suar amaran yang dibekalkan kepada para pelajar Akademi Zephyr itu ialah untuk kegunaan di dalam kawasan yang telah ditandakan pada peta. Walaupun pokoko-pokok di kawasan ini agak tebal juga, ketinggiannya pokok-pokok tersebut jauh lebih rendah dan tidak akan menghalang cahaya dari suar amaran. Tetapi jika pelajar-pelajar ini meneroka kawasan hutan itu lebih dalam, sehingga masuk ke bahagian tengah Hutan Roh Pertempuran, tak mustahil keadaan yang diceritakan ini akan berlaku.
Jun Wu Xie terus merenung pelajar yang cedera itu. Matanya yang dingin memandang sekilas ke muka pelajar tersebut yang berlumuran darah. Dia akhirnya berpaling dan berkata, "Kalau begitu, marilah."
Kata-kata Jun Wu Xie membuatkan Fan Jin mengeluh lega tetapi Qiao Chu dan rakan-rakannya saling berpandangan. Mereka seolah-olah berkongsi pendapat secara mental, tanpa mengatakan apa-apa.
"Ini suar amaran saya. Kami akan pergi menyelamatkan mereka sekarang. Lepaskan sebentar lagi dan guru-guru akademi akan bergegas datang untuk mendapatkan kamu." Fan Jin menyerahkan ubat-ubatan serta suar amaran yang ada padanya lalu memberikan arahan dengan berhati-hati.
Pelajar itu terus mengangguk tanda berterima kasih.