Menjalankan misi menyelamat ibarat memadamkan api yang marak dan Fan Jin tidak berani untuk berlengah. Dia segera bergerak bersama-sama Jun Xie dan ahli kumpulannya yang lain, menuju bahagian hutan yang dipenuhi bahaya yang tidak diketahui.
Selepas Fei Yan melepasi pelajar yang tercedera itu, dia berhenti seketika. Kemudian dia berpaling memandang pemuda yang keletihan dan tercungap-cungap sambil bersandar di sebatang pokok. Pemuda itu menyedari Fei Yan sedang merenungnya lalu ekspresi wajahnya menjadi kaku.
"Kamu pun dari kampus cawangan juga ya. Kebetulan sungguh," kata Fei Yan sambil tersenyum. Dia menuding jari pada lambang jed yang ada di dada pelajar tersebut. Dia melihat pelajar itu tiba-tiba kembali tenang, tersenyum lemah dan mengangguk.
Fei Yan tidak berkata apa-apa lagi dan bergegas mendapatkan Hua Yao dan yang lain.
"Apa permainan Jun Xie kali ini?" Fei Yan senyap-senyap melompat lalu muncul di sisi Rong Ruo. Kemudian Rong Ruo berpaling sambil meletakkan jari ke bibirnya. Fei Yan tiba-tiba tersenyum.
Selepas melihat Jun Xie dan ahli kumpulannya masuk ke dalam kawasan hutan itu, pelajar yang tadinya tersandar di pokok, mula berdiri. Wajahnya yang pada mulanya kelihatan takut kini sudah kelihatan normal. Dia mencampakkan dua suar amaran yang Fan Jin berikan ke dalam semak-samun tebal yang berdekatan.
Selepas masuk ke kawasan hutan tersebut, bau darah yang menusuk ke hidung mereka menjadi semakin kuat. Ekspresi wajah Fan Jin mula kelihatan gelisah.
Kawasan sekeliling itu kelihatan amat berbeza dengan tempat lain yang telah mereka lalui selama berhari-hari berada di dalam Hutan Roh Pertempuran. Pokok-pokok di sini tumbuh rapat-rapat dan sukar untuk mereka bergerak. Lebih-lebih bagi roh berkontrak yang besar seperti Rolly. Disebabkan dia tidak mempunyai pilihan lain, Jun Wu Xie turun dari bahu Rolly dan menyuruh Qiao Chu menghantar Rolly kembali ke Dunia Roh.
Jun Xie dan ahli kumpulannya mengikut jejak bau darah itu dan masuk lebih dalam ke kawasan hutan tersebut. Raungan Binatang Roh dapat didengari dari pelbagai arah. Kanopi daun yang tebal di atas mereka menghalang cahaya matahari. Walaupun hari masih siang, keadaan di bawah pokok-pokok yang begitu banyak itu agak kelam. Tumbuhan menjalar memenuhi laluan mereka. Fan Jin mengeluarkan pedang pendek yang dibawa bersamanya untuk memotong tumbuhan-tumbuhan ini dan membersihkan laluan untuk ahli-ahli kumpulannya.
Jun Wu Xie dan yang lain mengekorinya dengan sabar.
Selepas menebas lapisan demi lapisan pokok berduri, kumpulan itu akhirnya tiba di satu tempat yang agak terang sedikit. Belukar dan semak-samun di kawasan ini seperti telah dilanda ribut dengan dahan-dahan yang patah berselerakan di atas tanah. Pokok-pokok di kawasan itu ada yang patah, membolehkan kawasan kecil di dalam hutan yang tebal dan padat itu disinari cahaya mentari. Di atas daun-daun yang rumput kawasan itu ada kelihatan jejak-jejak berdarah. Mata mereka mengikut jejak darah itu ke puncanya dan terlihat lebih dua puluh orang pelajar yang memakai pakaian seragam Akademi Zephyr bergelimpangan di atas tanah sambil mengerang kesakitan. Luka-luka kecil dan besar memenuhi badan mereka dan mereka semuanya berlumuran darah.
Jantung Fan Jin tersentak dan dia bergegas masuk ke kawasan kecil itu untuk mendapatkan mereka.
Qiao Chu dan yang lain baru sahaja mahu mengekorinya apabila Jun Wu Xie tiba-tiba mengangkat tangannya dan menghentikan mereka.
"Tunggu dan lihat." Mata dingin Jun Wu Xie memerhatikan para pelajar yang bergelimpangan di sekitar kawasan itu dan dia menarik nafas panjang. Dia seolah-olah dapat merasai bau darah yang tersebar ke udara. Matanya menjadi semakin gelap dan dingin.
Qiao Chu dan yang lain berhenti bergerak dan berdiri di sisi Jun Wu Xie. Mereka memerhatikan sahaja Fan Jin bergegas sendirian mendapatkan para pelajar yang tercedera itu.
Fan Jin sampai di sisi seorang pemuda yang berlumuran darah lalu mengangkatnya sedikit untuk memangkunya. Wajah pemuda itu dipenuhi darah dan Fan Jin tidak dapat memerhatikan raut wajahnya dengan jelas.
"Binatang Roh jenis apa yang kamu temui? Apa yang berlaku di sini?" Fan Jin memandang pemuda itu dengan bimbang. Lebih dua puluh orang yang cedera. Binatang Roh jenis apa yang boleh mengakibatkan kemusnahan sebegini?
"Saya….. Saya tak tahu….. Binatang…..binatang itu bergerak terlalu pantas dan kami tak sempat bertindak-balas. Seketika kemudian kami semua dikalahkan. Senior Fan perlu selamatkan kami," kata pemuda itu. Tangannya mencengkam lengan Fan Jin dengan kuat.