Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 467 - Tamparan Berturut-turut - Bentuk Kedua (1)

Chapter 467 - Tamparan Berturut-turut - Bentuk Kedua (1)

Jun Wu Xie yang berada di bahu Rolly, sedang menikmati bulu beruang itu yang gebu apabila dia tiba-tiba mengecilkan matanya. Tiupan angin yang lembut membawa bersama bau darah yang paling Jun Wu Xie benci!

"Berhenti!" kata Jun Wu Xie secara tiba-tiba.

Kumpulan itu terus berhenti berjalan.

"Ada apa?" Fan Jin berkerut bimbang.

"Saya terhidu bau darah," balas Jun Wu Xie sambil mengerutkan keningnya.

"Darah Binatang Roh?" Qiao Chu berpusing dan cuba menghidu-hidu. Tetapi dia berputus asa setelah tidak menghidu sebarang bau yang luar biasa.

"Darah manusia." Mata Jun Wu Xie semakin mengecil. Bau ini hampir tidak dapat dikesan. Kalau mereka tidak bergerak menentang arah angin, bau ini tidak akan sampai pada mereka. Disebabkan bau ini dibawa angin dan tidak terlalu jelas, Jun Wu Xie dapat meneka yang sumbernya masih jauh dari mereka. Dia mendongak dan merenung arah tiupan angin. Mereka sudah sampai ke pinggir kawasan yang ditandakan pada peta. Jika mereka bergerak lebih jauh ke dalam, mereka akan menjejakkan kaki ke luar kawasan yang telah ditandakan oleh Akademi Zephyr sebagai kawasan yang selamat.

Qiao Chu dan yang lain berpaling merenung kawasan yang sedang dipandang oleh Jun Xie. Bahagian hutan tersebut padat dengan pokok dan tumbuh-tumbuhan, lebih tebal dari mana-mana bahagian hutan yang mereka telah lalui. Setiap pokok kelihatan setinggi lebih sepuluh meter dan kanopi daun-daun menutupi kawasan itu sepenuhnya sehingga terlalu gelap untuk dapat dilihat dengan jelas.

"Datang dari arah situ ke?" tanya Qiao Chu.

Jun Wu Xie mengangguk.

"Patut tak kita pergi tengok?" Qiao Chu begitu teruja kerana telah menemui sesuatu yang boleh dilakukan. Kawasan yang ditandakan oleh Akademi Zephyr kebanyakannya hanya mempunyai Binatang roh gred rendah yang langsung tidak mencabar bagi mereka. Disebabkan adanya Rolly yang bertubuh besar itu, mereka juga sudah tidak lagi menemui mana-mana Binatang Roh bergred rendah. Kalau keadaan ini berterusan, Qiao Chu merasakan dia akan menjadi gila akibat kebosanan.

Jun Wu Xie mengalihkan pandangannya kepada Fan Jin. Dia tidak mempunyai objektif lain untuk masuk ke Hutan Roh Pertempuran, selain membunuh sebarang sasaran yang datang sendiri kepada mereka untuk mencari maut.

Fan Jin diam seketika sebelum berkata, "Kawasan itu berdekatan dengan bahagian tengah Hutan Roh Pertempuran. Di situ bukan sahaja ada Binatang Roh bergred tinggi, malah kamu mungkin bertembung dengan Binatang Roh Gred Pelindung. Kamu pasti yang kamu mahu pergi ke sana?"

"Binatang Roh Gred Pelindung?" tanya Qiao Chu sambil mengangkat sebelah keningnya.

"Khabarnya Binatang Roh Gred Pelindung ini teramat kuat sehinggakan pengguna roh tahap ungu juga lari daripadanya. Sehingga kini, tak ada siapa yang berjaya memburu Binatang Roh Gred Pelindung." Apabila menyebut tentang Binatang Roh Gred Pelindung, Fan Jin tidak dapat menahan dirinya daripada merasa kagum dan gerun.

Binatang Roh Gred Pelindung merupakan binatang roh yang tiada siapa berani cabar.

Qiao Chu mulanya agak teruja untuk menyiasat. Namun setelah mendengar amaran Fan Jin, perasaan terujanya terus berkurangan.

Qiao Chu dan rakan-rakannya mungkin berupaya menggunakan kaedah luar biasa untuk memaksa kuasa rohani di dalam badan mereka untuk mencecah tahap ungu, tetapi ini hanya boleh dilakukan dalam tempoh masa yang singkat dan akan memerlukan penggunaan tenaga rohani yang banyak. Melainkan untuk menyelamatkan nyawa mereka atau rakan-rakan lain, mereka lebih cenderung untuk tidak menggunakan kaedah ini.

"Hmm, saya rasa lebih baik kita menjenguk-jenguk tempat lain," kata Qiao Chu secara praktikal. Walaupun dia tidak tahu jika Binatang Roh Gred Pelindung benar-benar menggerunkan seperti yang Fan Jin katakan, dia tak mahu menggunakan terlalu banyak kuasa rohaninya di tempat sebegini.

Walau bagaimanapun, Jun Xie masih lagi merenung kawasan yang luas dan dipenuhi pokok-pokok yang tinggi itu. Sejurus sebelum dia berpusing, satu susuk tubuh yang berlumuran darah, keluar dari celah-celah pokok tersebut. Mereka menyedari baju berlumuran darah itu merupakan pakaian seragam Akademi Zephyr!

Susuk tubuh itu berlari selaju mungkin. Wajahnya menunjukkan perasaan takut dan dia menjerit sekuat-kuatnya. Dia tersadung dan jatuh beberapa kali, berlari serta merangkak untuk melarikan diri, menuju Fan Jin dan kumpulannya.

Mungkin disebabkan terlalu terkejut, tetapi apabila pelajar itu terlihat Fan Jin yang turut sama memakai pakaian seragam Akademi Zephyr, dia mula menangis dan menjerit meminta tolong. Pelajar itu bergegas mendapatkan Fan Jin.

"Tolong! Tolong!" Seolah-olah telah mendapatkan sinar harapan terakhirnya, pemuda itu jatuh di kaki Fan Jin. Dia merayu dengan kuat sambil memegang hujung baju Fan Jin.