"Akhirnya kamu faham. Jun Xie yang telah memberikan kamu peluang yang jarang diperoleh itu. Kamu tak ada apa yang mereka mahukan di fakulti Pemulih Roh." Fan Jin memandang Li Zi Mu dengan wajah yang sedih dan kecewa.
Li Zi Mu ternganga, tak mampu berkata apa-apa.
Dia dimasukkan ke fakulti Pemulih Roh disebabkan oleh Jun Xie. Tetapi dia pula telah menyebarkan fitnah terhadap Jun Xie….
"Untuk pengetahuan kamu, botol yang kamu baling pada anjing-anjing liar tadi itu pun milik Jun Xie," kata Qiao Chu sambil tersenyum. Dia tidak dapat menahan diri daripada mengejek pemuda yang kelihatan seperti sudah putus harapan ini.
Li Zi Mu semakin ketakutan.
"Budak tak guna ni memang pandai betul memijak orang lain untuk meningkatkan kedudukannya," kata Fei Yan sambil menjeling Li Zi Mu yang begitu ketakutan sehingga hampir terkencing dalam seluar.
"Saya minta maaf….. Benar-benar minta maaf….. Saya dah sedar kesalahan saya….. Saya merayu pada kamu….. Jangan bunuh saya….. Saya akan buat apa saja yang kamu suruh….." Maruah dan ego Li Zi Mu sudah dilucutkan dan dipijak-pijak. Dia tak pernah berasa gerun seperti ini. Seluruh liang romanya seolah-olah menjerit ketakutan.
Namun begitu…..
Jun Wu Xie tidak akan menerima permohonan maaf itu. Dia merenung Li Zi Mu seperti sedang memandang orang yang sudah mati.
"Seru roh berkontrak kamu," kata Jun Wu Xie.
"Saya minta maaf, saya minta maaf….." Li Zi Mu terus merepek dalam keadaan separa sedar.
Fei Yan begitu jengkel dengan kata-kata yang merewang-rewang itu dan terus menumbuk perut Li Zi Mu dengan kuat!
"Aduh!"
Li Zi Mu serta-merta muntah darah! Darah yang mengalir keluar dari mulutnya itu bercampur dengan bahan lain dari dalam badannya, yang tidak dapat dikenal pasti.
Qiao Chu menelan air liurnya. Sejak kecil lagi Fei Yan memang memiliki kekuatan luar biasa. Tumbukan itu hanya menggunakan satu pertiga kekuatan penuh Fei Yan dan keadaan Li Zi Mu sudah pun begitu teruk.
"Berhenti, jangan pukul saya….. Saya akan lakukannya, saya akan seru roh itu….." Satu tumbukan itu telah membuatkan dia cedera parah. Seketika kemudian Li Zi Mu yang sedang mengerang kesakitan, menyeru roh berkontraknya.
Li Zi Mu mungkin sampah yang tidak berguna, tetapi roh berkontraknya berada pada gred yang agak bagus.
Satu roh berkontrak berbentuk serigala berwarna perak muncul di hadapan mereka. Sebaik Serigala Perak itu muncul, mata Li Zi Mu tiba-tiba bertukar ganas. Sepantas kilat Serigala Perak menerkam Jun Wu Xie, rahangnya yang besar dibuka luas dan disasarkan ke leher Jun Wu Xie!
Tiba-tiba sekilas terpancar cahaya putih suci dari tangan Jun Wu Xie. Cahaya putih itu menerkam dan bertembung dengan Serigala Perak!
Tiba-tiba Serigala Perak melolong kesakitan.
Seorang pemuda yang berpipi kemerah-merahan telah muncul secara tiba-tiba. Wajahnya tampan dan jubah putih sucinya berombak ditiup angin. Sebelah tangannya memegang balang wain manakala sebelah lagi mencengkam leher Serigala Perak. Sepasang mata yang cantik tertutup separuh akibat keadaannya yang sedang mabuk dan mukanya menunjukkan perasaan benci.
"Ish, Saya tertanya-tanya….. Setakat serigala perak gred kelima saja dan kamu berani menyerang Cik? Dah puas hidup ke?" Teratai Mabuk tersenyum mengejek dan matanya yang tertutup separuh itu memancarkan niat membunuh yang menakutkan. Dia menguatkan cengkamannya pada leher Serigala Perak yang sedang meronta-ronta. Usaha Serigala Perak itu sia-sia sahaja dan tak ada satu bunyi pun yang mampu keluar dari kerongkongnya yang telah dicengkam kuat.
Pemuda berjubah putih yang muncul tiba-tiba itu membuatkan wajah Li Zi Mu sekali lagi menjadi pucat kerana terkejut. Dia meletakkan pertaruhan terakhirnya ke atas Serigala Perak dan tidak menyangka roh berkontrak gred kelima miliknya itu serta serangan mengejut yang mereka lakukan, mampu dipatahkan dengan mudah oleh pemuda itu. Dengan satu tangan pula tu!
Harapan terakhirnya musnah sepenuhnya. Li Zi Mu merenung Teratai Mabuk dengan kecewa, pandangan matanya kosong.
"Dah putus asa?" Jun Wu Xie mengangkat kepalanya dan merenung Li Zi Mu.
"Saya….. Saya….. Saya minta maaf….. Saya tak akan berani buat lagi….." Serigala Perak masih lagi dicengkam oleh Teratai Mabuk dan Li Zi Mu sedar hanya bencana yang menantinya.
"Hitam Kecil." Jun Wu Xie memanggil dengan suara yang dingin.
"Bunuh dia."
Sebaik Jun Wu Xie menghabiskan kata-katanya, kucing hitam kecil di atas bahunya itu terjun turun dan bertukar rupa menjadi binatang hitam yang besar. Binatang itu terus menerkam Li Zi Mu yang sedang menjerit!