Sebaik binatang hitam itu menerkam, Hua Yao dan Qiao Chu melompat menjauhi Li Zi Mu. Belum pun sempat Li Zi Mu yang sedang menjerit itu dapat melihat binatang hitam tersebut dengan jelas, dia mendapati dirinya sudah tersepit sekali lagi. Kali ini dia terbaring di atas tanah. Rahang binatang hitam itu terbuka lalu menggigit leher Li Zi Mu. Kedengaran bunyi tulang patah dan jeritan nyaring itu tiba-tiba terhenti!
Darah memancut keluar dari celah-celah taring binatang hitam itu dan terpercik ke atas tanah. Kawasan sekeliling menjadi merah dan melekit-lekit.
"Cik masih nak dia ni?" Teratai Mabuk masih mencengkam leher Serigala PErak sewaktu dia berpusing menghadap Jun Wu Xie. Li Zi Mu sudah mati dan tak lama lagi Serigala Perak akan lenyap, kembali ke Dunia Roh. Kalau Jun Wu Xie mahu menggunakan Serigala Perak untuk mencapai perkembangan dalam kuasa rohaninya, dia perlu melakukannya dengan pantas.
Jun Wu Xie menggangguk, lalu Teratai Mabuk menyangkutkan balang wainnya ke pinggang. Dia merangkul tangannya di pinggang Jun Wu Xie dan dengan mudahnya melompat naik ke pokok yang paling tinggi. Seketika mereka hilang dari pandangan, tersembunyi di sebalik dahan yang besar dan daun-daun yang lebat.
Binatang hitam itu melepaskan leher Li Zi Mu lalu duduk di bawah pokok dan menjilat-jilat kakinya dengan lidahnya yang berlumuran darah.
Semuanya berlaku terlalu pantas dan Fan Jin langsung tidak sempat untuk memberikan sebarang reaksi. Dia hanya berdiri merenung kosong pada binatang hitam yang sedang duduk di bawah pokok.
Selama ini dia menyangkakan roh berkontrak Jun Xie hanyalah kucing hitam biasa dan tidak mempunyai sebarang kemahiran bertempur. Sewaktu kucing hitam kecil itu bertukar rupa menjadi binatang hitam tersebut, Fan Jin begitu terkejut sehinggakan dia menjadi kaku!
Roh berkontrak gred apa yang boleh bertukar rupa semudah itu? Fan Jin tidak berani untuk memikirkan hal ini.
Pada ketika itu, Fan Jin sedar yang yang dia tidak tahu apa-apa tentang Jun Xie. Kekuatannya, roh berkontraknya, pengetahuan perubatannya yang hebat dan sukar difahami….
"Jun Xie buat apa tu?" Qiao Chu memanjangkan lehernya untuk menjengah ke atas pokok-pokok itu. Tetapi Teratai Mabuk pasti telah berusaha lebih untuk bersembunyi dari mereka kerana Qiao Chu langsung tak nampak kelibat Teratai Mabuk dan Jun Xie di sebalik pokok-pokok tersebut. Bayang mereka juga tidak kelihatan.
Rakan-rakannya yang lain hanya mengangkat bahu. Mereka tak ambil peduli dengan apa yang Jun Xie mahu lakukan.
"Kamu terkejut?" Hua Yao berjalan mendekati Fan Jin lalu menepuk-nepuk bahu pemuda itu untuk menenangkannya. Dia bercakap sebagai seseorang yang pernah mengalami situasi yang Fan Jin sedang rasai pada ketika ini.
Fan Jin menggelengkan kepalanya dengan kuat sambil dia duduk di satu sisi. Dia tak mampu berkata apa-apa.
Mayat Li Zi Mu masih terbaring di bawah pokok tersebut. Lehernya patah dua disebabkan serangan binatang hitam itu. Kejadian berdarah yang mengerikan ini memenuhi minda Fan Jin. Begitu juga dengan limpahan darah yang semakin banyak, perlahan-lahan menjadikan tanah di sekeliling menjadi warna merah.
"Dia betul-betul terkejut ke?" Qiao Chu berdiri di sebelah Rong Ruo dan berbisik padanya. Dia memperlahankan suaranya supaya tidak didengari oleh Fan Jin.
Rong Ruo ketawa perlahan, "Kalau kamu tiba-tiba melihat arnab kecil bertukar menjadi serigala besar yang jahat, tentulah kamu perlukan masa untuk menerima semuanya."
Umur Jun Xie yang masih muda dan saiz badannya yang kecil membuatkan orang lain beranggapan yang dia tidak berbahaya. Namun hakikatnya, jika kemarahan arnab kecil itu dicetuskan, keganasannya mampu menandingi banyak binatang buas lain yang lebih besar.
Reaksi Fan Jin tepat seperti yang dikatakan. Dia sentiasa bersifat pelindung terhadap Jun Xie dan sememangnya bercadang untuk terus melindunginya sepanjang tempoh masa mereka berada di Hutan Roh Pertempuran. Tetapi…..orang yang dilindunginya itu….nampaknya lebih ganas sedikit daripada dia….
Selain hakikat yang Jun Xie sudah pun mencapai tahap jingga dalam kuasa rohaninya, kebanyakan orang juga tak akan mampu berdepan dengan binatang hitam itu. Ditambah pula dengan kehadiran pemuda berjubah putih itu…..
Hati Fan Jin yang lembut ibarat menerima pukulan pada ketika itu.
Dia sudah berniat untuk mengambil peranan sebagai pelindung Jun Xie!
Jauh di atas pokok, Teratai Mabuk dengan lembutnya meletakkan Jun Wu Xie di atas sebatang dahan yang lebar, bagi membolehkan tuannya itu duduk bersila dalam posisi meditasi. Sementara itu, dia berdiri dengan diam di sisi tuannya sambil memegang Serigala Perak yang sedang meronta-ronta.
Baru semalam Jun Wu Xie telah menyembuhkan Teratai Salji sepenuhnya. Ini membolehkan Teratai Mabuk muncul dengan penuh gemilang hari ini.
"Macam mana Cik nak gunakan roh ni?" Teratai Mabuk menggoncangkan Serigala Perak sedikit sewaktu terlihat binatang tersebut hampir pengsan. Walaupun dia tahu yang Jun Wu Xie perlu membaham roh berkontrak untuk meningkatkan pencapaian kuasa rohaninya, Teratai Mabuk tidak tahu bagaimana proses itu dilakukan.
Jun Wu Xie mengeluarkan Penjara Roh dari beg kosmos dan memulasnya sedikit. Serigala Mabuk di dalam tangan Teratai Mabuk itu tiba-tiba merasakan seolah-olah ada kuasa yang tak dapat dilihat, sedang menariknya. Sedikit demi sedikit Serigala Perak itu ditarik masuk ke dalam sfera kristal tersebut.