Li Zi Mu mula terketar-ketar setelah direnung pandangan dingin Jun Wu Xie.
'Jun Xie teringin nak belajar teknik Pemulihan Roh? Kelakar betul!'
Kini Li Zi Mu akhirnya sedar tentang kata-kata yang disebutnya tadi sewaktu merayu supaya dilepaskan. Kelakar juga bila diingatkan. Kemahiran Jun XIe dalam teknik Pemulihan Roh ini tidak lemah berbanding kemahiran Gu Li Sheng. Kalau Jun Xie ada kemahiran seperti ini, dia langsung tak perlukan Li Zi Mu untuk merayu pada Gu Li Sheng.
Semua kekuatan Li Zi Mu terus lenyap. Dia menjadi lemah longlai dan hanya kekal berdiri kerana dipegang oleh Hua Yao dan Qiao Chu. Mata Li Zi Mu penuh kekecewaan.
Dia telah berusaha sepenuhnya dalam mengejar impiannya tetapi rupa-rupanya selama ini Jun Xie sudah memiliki kebolehan yang dia impikan. Dia ibarat bahan jenaka sahaja kerana orang yang dia cuba musnahkan dengan apa jua cara, sebenarnya berkali ganda lebih kuat daripadanya. Kenapa dia terlalu memikirkan tentang keinginan untuk berada dalam fakulti Pemulihan Roh? Ada apa kalau dia sudah diterima masuk? Dia masih lagi sampah tak berguna yang langsung tak tahu bagaimana untuk menggunakan teknik Pemulihan Roh!
Semua suara-suara yang memuji dan membodeknya selama ini mula terngiang-ngiang. Suara-suara yang telah membuatkan Li Zi Mu begitu bangga diri selama ini, kini membuatkan dia berasa malu.
Kemahiran yang Jun Xie dalam bidang Pemulihan Roh yang telah dia tunjukkan tadi ibarat satu tamparan ke muka Li Zi Mu dan menghancurkan maruahnya sehingga berkecai.
Li Zi Mu tidak dapat mempelajari apa-apa. Dia dipandang tinggi oleh orang lain hanya kerana telah diterima masuk ke fakulti Pemulih Roh. Malah tunjuk ajar yang teliti dari Gu Li Sheng juga tak mampu membuatkan dia dapat mencapai apa-apa.
Manakala Jun Xie pula, yang sudah pun memiliki kemahiran luar biasa di dalam Pemulihan Roh, diseksa akibat kemarahan orang lain hanya disebabkan salah faham yang berlaku sewaktu kemasukannya ke akademi.
Li Zi Mu menyangkakan dia lebih bagus dari Jun Xie dalam pelbagai aspek, tetapi hal sebenar adalah sebaliknya. Sewaktu dia dengan jahilnya masih diselubungi penipuan sendiri, Jun Xie pasti telah menganggapnya sebagai bahan jenaka paling melucukan.
Jun Wu Xie berjalan perlahan-lahan mendekati Li Zi Mu dan Li Zi Mu tidak dapat menahan dirinya daripada menggeletar seperti daun yang ditiup angin. Wajahnya pucat dan matanya terbeliak, tidak dapat mengalihkan pandangan matanya dari Jun Xie.
"Jangan….. Jangan... datang sini….." Suara Li Zi Mu menggeletar dan dia merasakan perasaan gerun menyelubungi dia sepenuhnya. Tiba-tiba dia memalingkan kepala ke arah Fan Jin dan menjerit, "Senior Fan! Selamatkan saya! Jun Xie nak bunuh saya! Dia akan bunuh saya! Arrrgghhh! Saya ialah pelajar fakulti Pemulih Roh! Kalau saya mati, Tuan Guru saya pasti tak akan diamkan hal ini!"
Niat membunuh di mata Jun Xie amat menakutkan dan Li Zi Mu hanya mampu merayu pada Fan Jin.
Kening Fan Jin berkerut lalu dia mengangkat kepalanya untuk memandang Li Zi Mu.
"Sebenarnya, Gu Li Sheng sudah memilih Jun Xie sejak awal-awal lagi. Atas sebab-sebab tertentu, Jun Xie tak boleh dilihat berada di dalam fakulti Pemulih Roh. Kamu tu cuma seseorang yang Gu Li Sheng pilih secara rawak untuk dijadikan alasan bagi menutup kata-katanya sebelum itu. Kalau kamu tak menyebarkan fitnah jahat tentang Jun Xie, kamu boleh terus berada di fakulti Pemulih Roh dan ini semua tak akan berlaku. Kamu tak sepatutnya sengaja menganiaya orang lain hanya untuk kebanggaan diri kamu sendiri."
Fan Jin mungkin boleh bersimpati dengan Li Zi Mu. Tetapi apabila memikirkan semua yang telah Li Zi Mu lakukan, dia langsung tidak dapat menimbulkan sebarang perasaan simpati dalam dirinya.
Mungkin personaliti Jun Xie kurang mesra, tetapi dia seorang yang tegas dan tak mudah dipengaruhi. Dia amat berdikari, baik dari segi fizikal atau mental.
Kalau hal yang sama berlaku pada pelajar-pelajar lain, mungkin mereka sudah meninggalkan Akademi Zephyr.
Meninggalkan Akademi Zephyr bermaksud mereka akan memusnahkan peluang untuk mereka berjaya. Sewaktu Li Zi Mu dengan begitu kejamnya menyebarkan khabar angin itu ke seluruh akademi, pernahkah dia terfikir yang dia akan memusnahkan masa depan seseorang?
Khabar angin yang diulang berkali-kali akan dianggap benar. Ramai orang yang telah musnah hanya disebabkan khabar angin!
"Ap….. Apa….." Li Zi Mu langsung tak mampu berkata apa-apa. Dia tidak pernah memikirkan yang inilah situasi sebenar yang telah berlaku!