Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 451 - Hutan Roh Pertempuran (1)

Chapter 451 - Hutan Roh Pertempuran (1)

Waktu sudah lewat malam dan Hutan Roh Pertempuran itu diselubungi kegelapan yang pekat. Jun Wu Xie dan rakan-rakan sepasukannya mengangkat tinggi jamung mereka, sambil berjalan melalui pokok-pokok serta semak-samun yang tebal. Jamung yang mereka pegang itu menerangi jalan yang mereka lalui.

Bunyi raungan Binatang Roh bergema sekali-sekala di dalam kegelapan. Pelbagai bunyi dari hutan itu memecahkan keheningan malam dan menjadikan tempat ini kelihatan lebih menggerunkan.

Jamung di tangan Qiao Chu menyala dengan terang. Dia menghayunkan jamungya untuk menerangi kawasan pokok-pokok secara berkali-kali, sambil meneliti peta di tangannya. Lama dia berbuat begitu sebelum akhirnya berputus-asa.

"Ini peta ke? Siapa yang boleh baca?" Qiao Chu menolak masuk peta itu ke dalam poketnya dengan benci, menyuarakan kekecewaannya dengan kuat.

Fan Jin pernah ke hutan ini beberapa kali. Sewaktu terdengar kata-kata Qiao Chu, dia ketawa lalu berkata, "Peta ini hanya memberikan panduan umum tentang arah yang boleh kita ikuti. Lagipun, hari sudah lewat malam. Penglihatan kita juga tidak terlalu jelas. Kalau ada peta sekalipun, kita tak akan dapat menemui jalannya. Apa kata kita cari tempat untuk tidur dulu dan tunggu saja hari siang. Kita masih ada banyak masa untuk memburu selepas matahari terbit."

Fan Jin lebih tua sedikit berbanding mereka yang lain dan di antara mereka, dia satu-satunya yang pernah datang ke hutan ini. Jadi, tentulah ahli kumpulannya yang lain menerima cadangannya tentang bagaimana untuk bergerak melalui hutan tebal ini.

"Saya rasa, kita patut buat begitu." Qiao Chu mengangguk tanda setuju.

"Hutan ini lebih berbahaya pada waktu malam. Ada beberapa Binatang Roh yang aktif pada waktu malam dan akan keluar mencari makanan. Kalau kita tak mahu menjadi makanan binatang-binatang ini, saya cadangkan kita berehat di atas pokok." Fan Jin memberi amaran dengan serius.

Ahli-ahli kumpulannya mengangguk-angguk dan mula mencari pokok-pokok yang sudah tua. Ini kerana, pokok-pokok ini mempunyai dahan yang lebar serta dedaunan yang lebih lebat. Keadaan ini lebih sesuai untuk membolehkan mereka berehat.

Fan Jin mengeluarkan segulung tali dari pinggangnya. Dia menyambungkan cangkuk pada salah satu hujung tali itu. Dia baru sahaja mahu melemparkan tali itu ke atas apabila dia terlihat Qiao Chu dan yang lain bergerak naik ke pokok-pokok itu dengan satu lompatan pantas!

Pergerakan mereka tangkas dan lincah. Dengan satu lompatan, mereka tiba di dahan-dahan yang rendah. Lompatan mereka diteruskan berturut-turut sehinggalah mereka mencapai kedudukan lebih tinggi.

Mata Fan Jin bersinar-sinar dan hatinya diselubungi kekaguman.

Pada mulanya, dia menyangkakan Jun Xie mengumpulkan ahli kumpulan ini kerana mereka telah bersama-sama datang ke Akademi Zephyr. Kalaupun mereka lemah dan tidak banyak menyumbang, Fan Jin sudah bersedia untuk menjaga keselamatan mereka sewaktu berada di dalam hutan ini. Tapi berdasarkan apa yang dilihatnya, pemuda-pemuda ini tidak lemah mahupun kurang kemahiran.

Di dalam kegelapan malam, di mana penglihatan mereka sepatutnya tidak begitu jelas, ahli-ahli kumpulannya ini masih mampu mencari tempat berpijak dengan tepat. Mereka dapat sampai ke dahan-dahan pokok yang tinggi dalam sekelip mata. Ini menunjukkan betapa mereka ini benar-benar lincah dan tangkas.

Fan Jin sedar bahawa di dalam kampus utama Akademi Zephyr sekalipun, tak ramai yang mampu menandingi kebolehan ahli-ahli kumpulannya ini.

"Campakkan tali itu. Kami akan tarik kamu berdua naik ke atas." Qiao Chu langsung tidak perasan yang kemahiran yang mereka tunjukkan itu sudah jauh melangkaui sebarang standard yang sepatutnya dimiliki oleh para pelajar dari kampus cawangan.

Fan Jin menanggalkan cangkuk dari satu hujung tali itu dan mencampakkan tali tersebut pada Qiao Chu. "Tarik Jun Xie saja. Saya akan panjat sendiri." Fan Jin memberikan satu lagi hujung tali itu pada Jun Xie yang melilitkannya pada pinggangnya. Ini membolehkan Qiao Chu menarik Jun Xie naik ke atas. Fan Jin meniru rakan-rakan sepasukannya dan melompat naik melalui dahan-dahan untuk sampai ke bahagian atas pokok-pokok.

Sambil merebahkan diri di dahan-dahan itu dan tersembunyi dari pandangan, semua orang mula diam. Cahaya bulan masuk dari celah-celah kanopi dedaunan dan menyinari badan ahli-ahli kumpulan ini. Mereka seolah-olah berkilauan seperti bintang.

"Ahh, sudah lama saya tak tidur seperti ini. Mengimbau nostalgia ni." Qiao Chu teringatkan sesuatu sambil menggumam dan ketawa. Dia berpaling ke satu sisi dan terlihat Jun Xie yang berada di dahan bersebelahan dengannya. Qiao Chu menjadi bingung melihatkan apa yang Jun Xie lakukan selepas itu.

Jun Wu Xie tidak terus berehat tetapi mengeluarkan satu botol porselin dari lengan bajunya. Dia menuangkan satu serbuk putih ke tangannya dan menyapu serbuk tersebut ke dahan pokok tempat dia bersandar. Setelah selesai, dia mencampakkan botol itu pada Qiao Chu dan berkata dengan ringkas, "Banyak serangga. Sapulah."