Qiao Chu melakukan apa yang Jun Wu Xie suruh. Selepas dia selesai menyapukan serbuk itu, botol tersebut diberikan pada yang lain, seorang demi seorang, dan semua orang melakukan perkara yang sama.
Jun Wu Xie baring di dahan pokok selepas itu. Kucing hitam kecilnya baring berdekatan kepala Jun Wu Xie. Ekornya diayun-ayunkan, terjuntai di tepi dahan.
"Meow."
[Hutan ini macam sama dengan tempat itu.]
Mata Jun Wu Xie mengecil ketika dia terkenangkan memori tersebut. Sepuluh tahun pertama dalam kehidupannya yang lalu dihabiskan di sarang si syaitan itu. Tempatnya juga terletak di dalam hutan tebal seperti ini, di kawasan terpencil yang senyap sunyi.
Jun Wu Xie perlahan-lahan menutup matanya, enggan memikirkan perkara lalu.
Sewaktu cahaya mentari pagi mula-mula memancar dari celahan daun-daun pokok, satu jeritan yang kuat memecah kesunyian. Rakan-rakan sekumpulan Jun Wu Xie yang sedang nyenyak tidur ini terkejut lalu terjaga.
Jeritan itu semakin hampir dan daun-daun pokok mula berbunyi berkersik-kersik.
"Binatang Roh?" Fei Yan bingkas duduk. Satu raungan binatang yang membingitkan telinga mula bergema.
Fan Jin sudah pun duduk tegak di dahannya dan wajahnya berkerut. "Kita masih lagi berada di pinggir hutan. Sepatutnya tak ada Binatang Roh gred tinggi di kawasan ni."
Sebaik Fan Jin selesai berkata-kata, beberapa susuk tubuh yang kusut-masai meluru keluar dari semak-samun berdekatan. Ada tujuh belas orang semuanya dan mereka memakai pakaian seragam Akademi Zephyr. Pada ketika itu, mereka langsung tidak menunjukkan kemegahan sebagai pelajar Akademi Zephyr yang terhormat. Muka mereka comot dan pakaian mereka habis koyak-rabak. Beberapa orang daripada mereka mengalami kecederaan dan pakaian mereka dicemari darah merah. Tetapi mereka seolah-olah tidak menyedari luka mereka dan hanya berlari untuk menyelamatkan nyawa.
Para pemuda ini sudah tercungap-cungap akibat berlari dengan laju tadi. Mereka semua bersembunyi sambil bersandar pada pokok-pokok, terlalu letih untuk bergerak walau selangkah lagi.
Seketika kemudian, satu kawanan anjing liar muncul, jelas mengikut bau darah. Setelah dikira-kira, terdapat lebih daripada tiga puluh ekor anjing liar di dalam kawanan itu!
Anjing liar ialah Binatang Roh yang berada di gred paling rendah. Saiznya lebih kecil daripada serigala dan kuasa serangannya tidak kuat. Apabila berdepan dengan seekor anjing liar, selagi roh berkontrak seseorang itu sudah dibangkitkan, binatang ini boleh dikalahkan dengan agak mudah. Tetapi anjing liar merupakan Binatang Roh yang bergerak dalam kawanan, sekurang-kurangnya sebanyak tiga atau empat ekor setiap kawanan dan boleh mencapai jumlah beratus-ratus ekor dalam kawanan yang besar. Setiap kawanan mempunyai seekor ketua yang memimpin perburuan makanan.
Seekor anjing liar mudah ditumpaskan. Tetapi apabila jumlah dalam kawanan itu meningkat, kuasa serangannya juga meningkat berkali ganda.
Badan anjing liar yang kecil bermaksud binatang ini dapat bergerak lebih lincah. Anjing-anjing liar ini secara semulajadinya amat licik dan mampu bekerjasama dalam serangan sewaktu berburu.
Kumpulan pelajar yang dikejar sehingga ke sini memang benar-benar bernasib malang. Mereka meraba-raba mencari jalan di dalam hutan yang diselubungi kegelapan malam. Disebabkan penglihatan yang tidak begitu baik, mereka telah tersesat dan melencong ke kawasan lain. Akibat keletihan kerana sudah berjalan jauh di kawasan berbahaya dan hutan tebal ini sepanjang malam, kumpulan pelajar-pelajar ini dengan cuainya telah bertembung dengan kawanan anjing liar ini. Sewaktu diserang secara tiba-tiba, pelajar-pelajar ini kebanyakannya panik dan lari menyelamatkan diri. Mujurlah masih ada beberapa orang pelajar senior di dalam kumpulan itu yang berfikiran agak rasional. Sebab itulah mereka mampu sampai ke kawasan ini.
Tetapi pelajar-pelajar senior itu kebanyakannya kini sudah cedera. Namun begitu, anjing-anjing liar ini masih tidak henti-henti mengejar mangsanya dengan agresif.
"Jahanam. Tak sangka kita begitu terdesak hanya disebabkan satu kawanan anjing liar," kata seorang pelajar senior yang tangannya sudah cedera akibat digigit. Darah mengalir keluar dari empat luka yang dalam akibat ditembusi taring anjing liar. Luka itu telah dibalut secara tergesa-gesa menggunakan kain yang dicarik dari bajunya.
"Saya….. Saya dah tak boleh lari lagi," kata salah seorang pemuda itu yang sedang tercungap-cungap, sambil bersandar pada sebatang pokok.
"Zi Mu! Kita tak boleh berhenti!" Pelajar senior yang cedera itu menjerit sambil mengetap gigi menahan sakit.
Fikiran Li Zi Mu terus menjadi kosong. Kakinya mula berasa kejang kerana telah berlari selaju boleh untuk menyelamatkan nyawanya tadi. Wajahnya menunjukkan seperti dia sudah putus harapan.