"Saya….. Saya benar-benar tak mampu melangkah lagi." Li Zi Mu berteriak dengan muka yang muram. Kakinya dirasakan seperti sudah hendak tercabut.
Semua pemuda lain juga keletihan. Anjing-anjing liar ini tak henti-henti mengejar mereka selama separuh malam. Mereka terpaksa berlari melalui kawasan hutan dalam gelap untuk mencari jalan keluar sambil turut mengelakkan serangan anjing-anjing liar yang mengejar mereka. Para pelajar ini semuanya sudah kelesuan dari segi fizikal dan mental.
Seekor anjing liar menerkam Li Zi Mu yang masih tercungap-cungap itu. Wajah Li Zi Mu menjadi pucat dan dia jatuh terduduk di atas tanah kerana ketakutan. Tangannya mencapai seketul batu yang dapat dirasainya sewaktu jatuh tadi. Batu itu kemudiannya dilemparkan pada anjing liar yang sedang menerkamnya.
Anjing liar itu amat lincah dan berjaya mengelak apa yang Li Zi Mu campakkan. Mata anjing liar itu tertumpu pada pemuda yang hendak diterkamnya ini.
Li Zi Mu menjerit nyaring dan tergapai-gapai mencari apa-apa di atas tanah yang boleh dicampakkannya. Tangannya terpegang sesuatu yang berbentuk bulat dan dingin. Secara refleks, Li Zi Mu terus mencampakkan objek ini ke arah anjing liar itu!
Anjing liar yang lincah itu mengelak objek ini juga. Objek berwarna putih yang tidak dapat dikenal pasti itu jatuh ke atas tanah lalu pecah berderai. Kepulan awan putih terhembus keluar dan tersebar dibawa angin!
Anjing liar yang amat agresif itu terhidu bau yang datang dari kepulan awan putih tersebut lalu tiba-tiba melolong dengan nyaring. Anjing liar itu berhenti bergerak dan berpusing untuk lari dari situ. Apabila bau tersebut sampai ke anjing-anjing liar lain, semuanya terus berpusing dan lari dari situ sambil melolong. Tak lama kemudian kawanan tersebut hilang dari pandangan.
Sebentar tadi pelajar-pelajar ini hampir dimakan anjing liar dan seketika kemudian, anjing-anjing liar itu pula berpusing dan melarikan diri.
Kejadian yang tidak disangka-sangka ini membuatkan semua pelajar-pelajar yang keletihan ini terperanjat dan tergamam. Termasuklah Li Zi Mu.
"Zi Mu, apa yang kamu campakkan tadi?" Pelajar senior yang merupakan mentor Li Zi Mu bertanya dengan nada terkejut.
"Saya….. " Li Zi Mu terlopong seperti ikan emas. Matanya akhirnya terpandang objek yang dicampaknya tadi.
Serpihan porselin putih berselerakan dan serbuk putih dapat dilihat di atas tanah.
Li Zi Mu menelan air liurnya dan memandang para pelajar lain yang sedang merenungnya.
Sebenarnya, dialah orangnya yang mula-mula menarik perhatian anjing-anjing liar itu. Dia telah tersesat dan termasuk ke kawasan anjing-anjing liar tersebut. Dialah yang telah membawa bencana yang hampir membunuh mereka semua. Malah pelajar senior yang menjadi mentornya juga telah digigit anjing liar demi menyelamatkan Li Zi Mu. Sewaktu anjing-anjing liar itu menyerang mereka, semua pemuda itu menyeru roh berkontrak mereka dan menyuruh Li Zi Mu melakukan tindakan yang sama. Tetapi Li Zi Mu terlalu ketakutan apabila terlihat kawanan yang besar itu sehinggakan dia kaku dan tak mampu melakukan apa-apa.
Sewaktu mereka sedang melarikan diri, Li Zi Mu asyik tertinggal di belakang dan melambatkan seluruh kumpulan. Kalaulah dia bukan pelajar dari fakulti Pemulih Roh, pasti para pelajar lain di dalam kumpulan itu sudah lama meninggalkan dia.
Pada ketika itu, Li Zi Mu tahu yang seluruh kumpulan itu berasa sakit hati dengannya, termasuklah mentornya sendiri. Dia terdesak untuk melakukan sesuatu untuk meningkatkan kedudukan dan imejnya di dalam kumpulan ini. Lebih-lebih lagi memandangkan mereka masih mempunyai tempoh masa enam hari di dalam hutan yang dipenuhi bahaya yang tidak diketahui dan tidak berkesudahan. Dia memerlukan perlindungan kumpulan ini untuk terus selamat.
"Itu…. Itu sesuatu yang ayah saya berikan. Bahan itu boleh menghalau Binatang Roh. Saya tak sempat keluarkan lebih awal tadi. Saya minta maaf kerana menyebabkan senior tercedera." Li Zi Mu memandang pelajar-pelajar lain dengan perasaan bersalah. Dengan tidak tahu malunya dia mendakwa barang berharga yang telah menyelamatkan nyawa mereka tadi, barang yang dikutipnya dari tanah tanpa sengaja, adalah miliknya.
Para pemuda lain masih agak tidak berpuas hati dengan Li Zi Mu. Apabila mendengar yang Li Zi Mu yang telah menghalau anjing-anjing liar itu, mereka membuat keputusan untuk tidak menyebut hal ini lagi. Mereka masih lagi berasa tidak puas hati, tetapi hakikatnya Li Zi Mu merupakan pelajar dari fakulti Pemulih Roh dan mereka akhirnya mengalah.
Mereka tak mahu berpatah arang dengan seseorang yang bakal menjadi Pemulih Roh. Jadi pelajar-pelajar lain memaksa diri mereka untuk menerima permohonan maaf Li Zi Mu.