Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 454 - Tamparan Berturut-turut - Bentuk Pertama (1)

Chapter 454 - Tamparan Berturut-turut - Bentuk Pertama (1)

Di bawah pokok-pokok itu, Li Zi Mu sedang terdesak untuk mengembalikan reputasinya sedikit. Dia langsung tidak sedar yang setiap tindakannya sedang diperhatikan dengan teliti oleh orang-orang yang berada tinggi di atas pokok-pokok tersebut.

"Qiao Chu! Botol yang budak tu campakkan tadi, bukankah itu botol yang sama Jun Xie berikan pada kita malam tadi?" Mata Fei Yan yang tajam telah terlihat serpihan porselin di atas tanah itu. Dia berpaling untuk bertanyakan pada Qiao Chu.

Qiao Chu mengecilkan matanya lalu berkata, "Selepas menggunakannya malam tadi, saya tanya Jun Xie kalau dia mahukan botol itu semula. Dia kata tak. Jadi saya simpan saja dalam baju. Saya rasa mesti botol itu terjatuh sewaktu saya tidur."

"Oh….. Saya ingatkan pelajar kampus utama tu selalu berlagak bagus depan kita. Nampaknya, mereka tu tak malu juga mencuri hasil usaha orang lain. Sejak bila pula barang Jun Xie jadi milik dia?" tanya Fei Yan. Dia berasa amat tidak puas hati kerana Li Zi Mu dengan tidak malunya telah mendakwa serbuk berubat milik Jun Xie itu sebagai kepunyaannya.

Jun Wu Xie memerhati dalam diam, melihat saja Li Zi Mu mencuri pengiktirafan ahli kumpulannya.

"Jun Xie, kamu kenal dia?" Melihatkan cara Jun XIe merenung Li Zi Mu, mata Fei Yan yang tajam itu nampaknya menyedari sesuatu.

Jun Wu Xie tidak menjawab tetapi Fan Jin pula yang berdehem perlahan dan berkata, "Budak di bawah itu ialah Li Zi Mu. Dia tidak begitu mesra dengan Jun Xie di akademi."

Fan Jin masih berhati-hati dalam pemilihan kata-katanya. Li Zi Mu itu sekadar tidak mesra dengan Jun Xie?

Boleh dikatakan sebab mengapa Jun Xie terpaksa menghadapi segala makian dan cacian pelajar lain dengan begitu teruk adalah bermula dengan Li Zi Mu yang telah mereka-reka cerita sewaktu di dewan makan dulu.

Kalau pada ketika itu Li Zi Mu berkata benar, Jun Xie tak akan dianggap sebagai orang jahat yang keji dan penuh muslihat.

"Oh?" Mata Fei Yan mengecil dan kelihatan berbahaya.

Hua Yao sudah pun berdiri di atas dahannya. Dia berpaling memandang Jun Xie lalu bertanya, "Dia?"

Jun Wu Xie diam seketika sebelum bersuara.

"Kita mulakan dengan dia."

Mata Hua Yao dan yang lain tiba-tiba bersinar-sinar. Hanya Fan Jin saja yang masih keliru. Dia tak faham apa yang Jun Xie mahu lakukan. Sebelum dia dapat membuka mulutnya untuk bertanya apa yang berlaku, Hua Yao dan yang lain sudah pun mula melompat turun dari dahan!

Li Zi Mu sedang sibuk cuba membuatkan ahli kumpulannya bersikap mesra dengannya. Roh berkontrak milik beberapa orang pelajar senior itu mengalami kecederaan dan mereka meminta Li Zi Mu menggunakan teknik Pemulihan Roh untuk merawat roh-roh tersebut.

Walau bagaimanapun, Li Zi Mu berulang kali menolak permintaan mereka. Wajahnya menunjukkan dia berat hati.

"Li Zi Mu! Apa maksud kamu? Roh berkontrak kami cedera kerana kami terpaksa menyelamatkan kamu. Sekarang ni kami minta kamu merawat roh-roh ini sedikit dan kamu berkeras menolak! Apa maksudnya ni!?" Seorang pemuda di dalam kumpulan itu yang lantang bersuara tidak dapat menahan kemarahannya lalu menjerit pada Li Zi Mu.

Li Zi Mu menjadi pucat dan menundukkan kepala tanpa berkata apa-apa.

Dia sudah agak lama berada di fakulti Pemulih Roh dan Gu Li Sheng melayannya dengan sangat baik. Ini membuatkan Li Zi Mu pada mulanya menjadi angkuh. Tetapi keangkuhannya tidak bertahan lama sebaik dia mendapati yang walaupun dia sudah kuat berusaha, dia tetap tidak dapat memahami konsep di sebalik Pemulihan Roh. Sungguhpun dia sudah lama berada di fakulti Pemulih Roh, jangan kata memulihkan roh berkontrak, cara menukarkan kuasa rohaninya menjadi tenaga rohani juga Li Zi Mu tidak tahu. Disebabkan perhatian berlebih-lebihan yang Gu Li Sheng curahkan ke atasnya, semua pelajar senior di fakulti Pemulih Roh benci padanya. Dia hanya boleh menunjuk-nunjuk di hadapan pelajar lain dari fakulti Roh Binatang dan Roh Senjata, pelajar yang tak tahu apa-apa tentang kemahirannya yang tidak cekap.

Kalau ada sesiapa yang tahu apa yang sebenarnya berlaku di sebalik kepuraan-puraan in, dia pasti akan dibenci dan tidak dipedulikan.

Kini ahli-ahli kumpulannya meminta dia merawat roh berkontrak mereka menggunakan teknik Pemulihan Roh. Macam mana dia nak lakukannya? Kalau ahli kumpulannya mendapat tahu betapa tak bergunanya dia, pasti mereka akan menghalaunya tanpa teragak-agak!