Fan Jin teramat lega tapi Qiao Chu dan yang lain sikit pun tak percaya.
Jun Xie sudah pandai bergurau?
Ini lebih susah nak percaya!
Budak itu benar-benar berniat datang ke sini untuk membunuh orang. Itu yang dia maksudkan dan itu yang akan dia lakukan!
Qiao Chu dan Hua Yao sudah pun menyaksikan tindakan Jun Xie sebelum ini dan mereka yakin, tanpa sebarang keraguan yang Jun Xie benar-benar berniat mahu melakukan apa yang dia katakan tadi.
Dia menyertai Perburuan Roh dan datang ke sini hari ini….untuk membunuh orang.
Tapi Hua Yao dan Qiao Chu tidak menyuarakan pendapat mereka tentang pendedahan Jun Xie tadi kerana tidak mahu Fan Jin lebih terkejut. Mereka hanya saling bertukar pandangan sesama sendiri.
Hua Yao merenung Rong Ruo dengan penuh makna dan Rong Ruo terus memahami maksudnya. Dia berjalan mendekati Fan Jin lalu berkata, "Abang Fan, ada beberapa barang kami yang tertinggal di kawasan perkhemahan kampus cawangan tadi. Boleh tak saya susahkan Abang Fan sebentar dan tolong temankan saya mengambilnya? Setiap kali terpandang mata pelajar kampus utama…." Wajah tampan Rong Ruo tiba-tiba kelihatan risau dan dia memandang mata-mata penuh ancaman dan tidak mesra yang merenung kumpulan mereka.
Fan Jin terus mendabik dada dengan yakin dan membawa Rong Ruo kembali ke kawasan perkhemahan kampus cawangan untuk mengambil barang.
Sebaik Fan Jin berlalu pergi, Qiao Chu terus melompat lalu berdiri di hadapan Jun Xie untuk bertanya, "Kamu nak bunuh siapa?"
Mata Qiao Chu bersinar-sinar penuh teruja. Selepas pembunuhan besar-besaran Kumpulan Qing Yun sebelum ini, Qiao Chu sudah jatuh cinta dengan perasaan teruja yang muncul kerana dia berdampingan dengan Jun Xie.
Sewaktu Fan Jin ada tadi, mereka tidak dapat berterus-terang dengan Jun XIe. Jelas sekali yang Fan Jin menganggap Jun XIe ini seperti arnab yang penakut dan tidak berbahaya. Tapi dia tidak tahu arnab ini mampu menelan orang sepenuhnya tanpa bersisa tulang sekalipun. Ramai yang telah menjadi mangsa dan menemui ajal sebelum sempat menyedari apa yang telah berlaku.
"Entah," balas Jun Xie.
"Hah?" Entah….. Apa maksudnya tu?
Jun Wu Xie mengangkat tangannya dan bermain-main dengan jari kelengkengnya. "Sesiapa yang datang, dialah yang akan mati."
Tidak mudah untuk dia bertindak di dalam kawasan akademi. Tetapi setelah mereka masuk ke Hutan Roh Pertempuran, situasinya berbeza. Dia tak perlu berhati-hati seperti di akademi dan niat membunuh di matanya terpancar dengan dingin. Seperti yang dia katakan, harapnya sesiapa yang berusaha keras untuk membawa dia ke sini tidak akan menyesal nanti.
Jun Wu Xie tidak banyak memikirkan siapa di sebalik hasutan-hasutan itu. Dia cuma tahu satu perkara sahaja. Siapa yang menentangnya tidak penting, apa yang penting ialah mereka mesti bersedia untuk menghadapi kemarahannya yang tidak berbelas kasihan!
Wajah Qiao Chu dan Hua Yao menguntum senyuman sebaik terlihat kemunculan semula wajah kejam yang telah mereka saksikan pada hari seluruh Kumpulan Qing Yun dimusnahkan.
"Tak ada masalah. Siapa yang berani menempah maut, kita tunaikan permintaan mereka." Qiao Chu menggosok-gosok tangannya dengan gembira.
Maklumat yang Fei Yan kumpulkan telah menyalakan api kemarahan di hati rakan-rakan Jun Xie sewaktu mereka mendengarnya. Mereka kenal dengan Jun Xie. Kebolehannya begitu luar biasa dan tak banyak perkara di dunia ini yang dapat menimbulkan minatnya. Budak-budak tak guna itu menuduh Jun Xie cuba mencuri satu tempat di fakulti Pemulih Roh dengan menggunakan cara yang keji? Kelakar betul!
Tapi kalau ada begitu ramai orang yang begitu inginkan kematian, mereka tak akan menolak untuk menunaikan "impian" ini.
Jun Xie memang sudah berniat mahu membunuh. Tambahan beberapa orang lagi tak akan mengubah keadaan pun.
Jun Wu Xie merenung Qiao Chu dan rakan-rakannya lalu mengangguk kecil pada mereka.
Apabila Fan Jin dan Rong Ruo kembali, Qiao Chu dan yang lain sudah pun menukar perwatakan mereka menjadi normal. Setelah berbual-bual seketika, kedengaran bunyi gendang yang membingitkan telinga. Para pelajar Akademi Zephyr bersedia untuk masuk ke Hutan Roh Pertempuran.
Setiap kumpulan mengumpulkan ahli-ahli mereka sambil mendengar paluan gendang. Bendera-bendera Akademi Zephyr dinaikkan, berkibaran ditiup angin.
Para pelajar kampus utama berdiri dengan yakin. Mereka kelihatan bangga. Sebaliknya, para pelajar kampus cawangan semuanya kelihatan tidak bersemangat, mengecilkan badan akibat ketakutan.
Sewaktu paluan terakhir gendang itu dibunyikan, setiap kumpulan bergegas masuk ke dalam Hutan Roh Pertempuran.
Mereka memegang jamung dengan tinggi. Tidak lama kemudian, para pelajar ini hilang ditelan kegelapan hutan tebal.
Kebanyakan daripada mereka meluru masuk dengan perasaan teruja dan penuh semangat. Siapa tahu berapa ramai yang akhirnya akan terkubur di dalam hutan tebal itu kali ini.