Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 446 - Perburuan Roh (2)

Chapter 446 - Perburuan Roh (2)

"Entahlah" Para pemuda ini nampak seolah-olah bercakap dengan nada benci, tetapi jauh di sudut hati mereka, ramai yang sebenarnya cemburu dan iri hati dengan Jun Xie kerana mendapat perlindungan Fan Jin yang amat dihormati itu.

Sewaktu turun dari kereta kuda, renungan mata dari pelbagai arah tertumpu pada mereka. Tidak ada satu pun yang kelihatan mesra. Jun Wu Xie langsung tidak terganggu dan mengekori Fan Jin untuk duduk di sebelah unggun api.

Beberapa orang pelajar sedang duduk di sisi unggun api tersebut. Sebaik terpandang Jun Xie, mereka memuncungkan bibir dan menunjukkan raut wajah yang jelas penuh kebencian.

Fan Jin menahan kemarahannya yang sedang memuncak. Kalau tidak, pasti dia sudah membelasah para pelajar ini.

"Jauh perjalanan kita tadi. Makanlah ni." Fan Jin menghulurkan satu bungkus daging kering. Jun Wu Xie mengunyah sambil diam dan mendengarkan kata-kata serta cemuhan tidak putus-putus kedengaran di telinganya.

"Meow~" 

[Orang-orang ini menjelikkan betul.]

Jun Wu Xie tidak berkata apa-apa. Dia menghabiskan makanannya dan minum sedikit sebelum kembali ke kereta kuda untuk berehat.

Sewaktu terlihat yang Jun Wu Xie sudah beredar, suara-suara cemburu dan marah itu menjadi semakin kuat.

Raut wajah Fan Jin kelihatan semakin marah. Dia sendiri sebagai pemerhati tidak dapat bertahan mendengarkan cacian dan kata-kata yang jahat ini. Fan Jin tak tahu bagaimana Jun Xie boleh begitu tidak terkesan. Dia tak mahu terus duduk di situ dan cepat-cepat makan sebelum turut kembali ke kereta kuda.

Dia mahu memujuk Jun Xie sedikit tetapi mendapati Jun Xie sudah pun tidur nyenyak sambil bersandar di dinding kereta kuda. Fan Jin mengeluh perlahan lalu membuka kot yang dipakainya untuk menyelimutkan badan kecil Jun Xie. Dia duduk berhadapan dengan Jun Xie sambil menopang dagu dan memerhatikan susuk tubuh kecil molek ini.

Sejujurnya, rupa paras Jun Xie tidaklah begitu menawan. Tapi entah mengapa, Fan Jin mula mendapati wajah itu kelihatan semakin menarik. Dia meneliti hidung yang mancung, bibir kemerahan dan bulu mata yang lentik.

Semakin lama dia merenung wajah itu, semakin Fan Jin merasakan udara di dalam kereta kuda itu menjadi panas dan menyesakkan. Dia meneguk sedikit air lalu keluar dari kereta kuda itu supaya angin malam yang dingin dapat menyejukkan badannya yang semakin hangat.

Kucing hitam kecil yang sedang baring di sisi Jun Wu Xie membuka matanya sedikit untuk mengintai Fan Jin yang bergegas keluar dari kereta kuda itu dalam keadaan menggelabah.

Kalau si syaitan yang teramat kuat itu tahu ada orang lain di sini yang sukakan Cik, adakah dia akan melumat-lumatkan Fan Jin?

Setelah berehat sepanjang malam, konvoi Akademi Zephyr meneruskan perjalanan. Selepas dua hari tak henti-henti bergolek dan bergoyang di dalam kereta kuda, mereka akhirnya tiba di pinggir Hutan Roh Pertempuran pada waktu tengah malam hari kedua.

Kawasan Hutan Roh Pertempuran begitu luas, lebih besar daripada apa yang dapat dilihat. Hutan ini juga menjadi sempadan beberapa buah negara. Binatang Roh yang ada di sini mengumpan perhatian ramai orang yang datang ke sini untuk berburu dan mendapatkan lebih banyak batu rohani.

Batu rohani berkualiti tinggi mampu meningkatkan kuasa roh berkontrak dan permintaannya amat tinggi. Binatang Roh yang biasa hanya memberikan batu-batu rohani bersaiz kecil, terlalu kecil sehingga tidak dapat diletakkan pada cincin yang dihubungkan dengan roh berkontrak. Jadi, orang ramai memburu Binatang Roh bergred tinggi untuk mendapatkan batu rohani yang boleh diletakkan pada cincin mereka.

Walaupun waktu sudah tengah malam, pinggir Hutan Roh Pertempuran itu terang seperti di waktu siang.

Khemah-khemah bersaiz kecil dan besar didirikan di seluruh kawasan pinggiran hutan itu. Ada banyak kumpulan dari pelbagai kuasa dunia ini sedang menyiapkan diri untuk berburu di dalam Hutan Roh Pertempuran pada awal pagi keesokan harinya.

Sewaktu konvoi Akademi Zephyr tiba di pinggir Hutan Roh Bertempur tersebut, mereka tanpa sengaja menarik perhatian kumpulan-kumpulan pemburu ini. Panji berwarna putih perak yang ada pada setiap kereta kuda itu amat dikenali oleh pemburu-pemburu ini. Akademi Zephyr, salah satu daripada tiga akademi terbaik. Akademi ini amat terkenal sebagai tempat yang menghasilkan pejuang elit dan memiliki sesuatu yang paling menarik perhatian, satu-satunya fakulti Pemulih Roh!

Semua kumpulan-kumpulan pemburu ini mengintai peluang untuk menawan hati mana-mana pelajar dari fakulti Pemulih Roh!