Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 422 - Fakulti Roh Binatang (1)

Chapter 422 - Fakulti Roh Binatang (1)

Tengah hari itu, Jun Wu Xie memakai lambang jed fakulti Roh Binatang dan sambil ditemani Fan Jin, berjalan menuju kampus fakulti Roh Binatang. Disebabkan kehadiran Fan Jin, para pelajar lain tak berani bertindak terlalu berani. Mereka hanya berkumpul beramai-ramai, berbisik sesama sendiri sambil berkali-kali menunjuk ke arah Jun Xie yang berada di sebelah Fan Jin. Namun begitu, apa yang mereka katakan itu tidak dapat didengari.

Pelajar junior dan senior di fakulti Roh Binatang diajar berasingan dan selepas Fan Jin membawa Jun Xie ke kelas pelajar baru, wajahnya kelihatan bimbang.

"Jun Xie, saya pergi dulu. Kalau ada sesiapa yang berkata apa-apa yang melampau pada kamu, jangan ambil hati sangat. Kalau ada yang membuli kamu, beritahu saja saya dan saya akan mengajar mereka." Fan Jin berkata sambil menggoyangkan penumbuknya ke arah pelajar lain di dalam kelas itu. Dia biasanya tidak sukakan keganasan, namun kesusahan yang dialami oleh Jun Xie itu membuatkan dia bersedia mempertahankan Jun Xie, walaupun ini akan memusnahkan reputasinya.

Dia hanya perlu menanti tiba harinya Jun Xie mencapai kejayaan dan perasaan tidak kesukaran yang mereka alami ini akan terbalas.

Jun Wu Xie memandang Fan Jin sambil terfikir yang pemuda ini sama seperti Qiao Chu. Kemudian Jun Wu Xie mengangguk sedikit.

Fan Jin berbual seketika sebelum dia pergi. Keningnya masih berkerut kerana bimbang.

Fan Jin baru sahaja berlalu apabila seluruh kelas itu yang berwaspada dengan Fan Jin dan diam sahaja tadi, terdengar satu suara yang berkata dengan kuat.

"Saya baru saja terfikir, siapa dia agaknya. Rupa-rupanya pelajar paling tak tahu malu di Akademi Zephyr. Jadi kamu tak dapat masuk ke fakulti Pemulih Roh dan merendahkan darjat datang ke fakulti Roh Binatang? Saya ingatkan sesiapa yang dibuang dari fakulti Pemulih Roh serta-merta akan disingkirkan terus dari Akademi Zephyr. Salah anggapan saya ni rupanya." Seorang pemuda yang tersenyum sinis memandang Jun Wu Xie. Dia mengenali pemuda ini sebagai salah seorang ahli kumpulan yang berdepan dengannya di dewan makan, bersama-sama Li Zi Mu.

"Itu bergantung kepada siapa yang kamu maksudkan. Kalau kamu berjaya membina hubungan yang betul, tak ada apa yang mustahil. Lagipun kamu bercakap tentang anak Guru Besar. Dia hanya perlu membuka mulutnya dan merayu sedikit kemudian dapatlah dia membiarkan sesiapa saja yang dia mahukan terus berada di Akademi Zephyr. Kamu tak dengar ke apa yang Senior Fan katakan pada kita tadi? Kalau ada di antara kita yang berani membuli Jun Xie, dia akan mengajar kita, tahu?" Seorang lagi pemuda bersuara. Walaupun tak seorang di antara mereka yang berniat untuk memukul Jun Xie kali ini, pandangan tajam mereka cukup ketara.

Mereka juga tidak takut Jun Xie akan terdengar apa yang mereka cakapkan.

"Saya nasihatkan kamu berdua janganlah terlalu banyak bercakap tentang hal tu. Ingat, orang tu ada sokongan seseorang yang berkuasa. Mereka dengan mudahnya dapat mengekalkan seseorang yang sepatutnya dibuang dari Akademi Zephyr. Mungkin mereka juga boleh membuatkan kita pula dibuang! Lebih baik kita diam saja."

Para pemuda itu ketawa sambil menghamburkan kata-kata kiasan berbisa tersebut. Suasana di dalam kelas itu semakin menyesakkan.

Ada berpuluh-puluh pelajar baru yang diterima masuk dan dibahagikan kepada dua fakulti, Roh Binatang dan Roh Senjata. Semua sekali ada lebih tiga puluh orang pelajar di dalam kelas itu yang mendaftar masuk bersama-sama dengan Jun Wu Xie.

Dalam kalangan mereka ini, tak ada seorang pun yang berniat baik pada Jun Wu Xie yang sedang berseorangan itu.

Kucing hitam kecil di atas bahu Jun Wu Xie itu merenung pemuda-pemuda jahil itu dengan jelingan malas.

[Perangai macam budak-budak…..]

Jun Wu Xie langsung tidak terkesan dengan penghinaan dan tuduhan tersebut. Dia berjalan perlahan-lahan menuju satu sudut bilik itu lalu duduk menantikan kehadiran Tuan Guru kelas itu.

Tiga orang pemuda bermulut becok itu tiba-tiba berasa jengkel kerana tidak berjaya menimbulkan sebarang balasan dari Jun Xie. Tetapi disebabkan amaran Fan Jin, mereka tak berani menyentuh Jun Xie dan hanya mampu menarik seluruh kelas itu untuk sama-sama memulaukan Jun Xie.

Guru bagi kelas pelajar yang baru di fakulti Roh Binatang berjalan masuk ke dalam kelas. Seketika kemudian keadaan yang riuh di dalam kelas itu menjadi reda. Semua pelajar baru itu duduk tegak dan berhenti bermain-main.

Qian Yuan He merenung tegas ke seluruh kelas dan akhirnya terlihat satu susuk tubuh kecil yang bersendirian di satu sudut, dipulaukan oleh semua pelajar lain di dalam kelas. Keningnya mula berkerut.