Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 423 - Fakulti Roh Binatang (2)

Chapter 423 - Fakulti Roh Binatang (2)

"Ada beberapa perkara yang saya dah bincangkan pagi tadi dan sepatutnya sudah selesai. Tetapi memandangkan kita ada pelajar baru yang menyertai kita tengah hari ini, saya tak ada pilihan selain bercakap lebih lanjut tentang hal-hal tersebut. Sewaktu kamu semua berada di fakulti Roh Binatang, kami ada peraturan yang perlu kamu patuhi. Sebagai pelajar fakulti Roh Binatang, kamu semua perlu bekerja keras dan berjuang demi kemegahan fakulti Roh Binatang. Jangan membuat kontroversi atau saya tak akan menahan diri saya daripada menghukum pesalah tersebut. Saya hanya seorang tenaga pengajar di sini dan akan memberikan kamu bimbingan. Saya bukannya Tuan Guru kamu. Di Akademi Zephyr, hanya orang yang sanggup memberikan kamu bimbingan tanpa henti sehinggalah kamu meninggalkan Akademi Zephyr ini yang akan menjadi Tuan Guru kamu." Mata Qian Yuan He beberapa kali memandang Jun Xie yang berada di sudut bilik tersebut.

Apabila dia terlihat yang Jun Xie masih lagi tidak menunjukkan sebarang perasaan seperti sebelum ini, wajahnya semakin berkerut.

"Saya tak peduli kalau ada pelajar yang mempunyai hubungan rapat dengan tenaga pengajar lain. Sebaik kamu masuk ke sini, kamu dianggap sebagai pelajar fakulti Roh Binatang. Kalau kamu berfikiran sebaliknya, lebih baik kamu pergi sekarang dan tidak membazirkan masa orang lain. Fakulti Roh Binatang tak memerlukan orang tak berguna seperti itu. Kalau ada yang cuba mendapatkan kelebihan melalui cara yang tak jujur, saya boleh beritahu kamu sekarang ni, lupakan sajalah niat tu."

Qian Yuan He mungkin tidak menyebut nama sesiapa, tetapi kata-katanya itu ditujukan pada Jun Xie. Dia memberikan gambaran yang Jun Xie ini orang yang tidak bermoral.

Sewaktu para pemuda lain mendengar kata-kata Qian Yuan He, mereka bersorak untuk guru mereka ini di dalam hati.

Guru mereka ini memang terkenal sebagai orang yang adil dan tidak mudah tunduk. Dia amat membenci orang yang menggunakan penipuan.

Nampaknya Jun Xie sudah menyinggung perasaan guru ini dan telah disenarai hitam sejak mula lagi.

Dipulaukan oleh pelajar lain dan tidak disukai oleh gurunya. Kehidupan Jun Wu Xie di akademi itu teramat sukar. Orang lain pastinya tidak dapat menanggung khabar angin yang tersebar itu dan meninggalkan saja tempat yang membawa bencana ini. Tetapi Jun Wu Xie tidak menunjukkan sebarang reaksi dan hanya duduk diam saja di sudut kelas itu.

Apa sahaja yang dikatakan oleh orang-orang ini tidak bermakna langsung padanya. Malah boleh dikatakan yang selain kata-kata yang menambah ilmu tentang apa yang dia mahu pelajari, Jun Wu Xie hanya akan memekakkan telinga.

Dia akan menyelubungi dirinya dengan dunia kecilnya sendiri.

Setelah Qian Yuan He membuat keputusan yang dia sudah cukup memberikan amaran terhadap Jun Xie, pengajaran formalnya tentang cara melatih roh berkontrak jenis binatang bermula secara rasmi.

Sebagai seseorang yang memiliki roh berkontrak jenis tumbuhan, kaedah yang diajar untuk roh berkontrak jenis binatang amat tidak sesuai dengan keperluan Jun Xie. Dia hanya duduk di sudut itu sepanjang tengah hari dan mendengar kuliah Qian Yuan He secara bersahaja sebelum dia tersedar.

Di antara spesis roh berkontrak yang berbeza, langsung tak ada bahagian yang saling berkait. Pada mulanya Jun Wu Xie berniat mahu mendapatkan sedikit tunjuk ajar dan pengetahuan mengenai roh berkontrak dan kuasa rohani di Akademi Zephyr. Namun hasilnya amat mengecewakan.

Semua yang mereka ajar ini tidak berguna untuknya.

Setelah bertahan dengan Qian Yuan He sepanjang tengah hari itu, Jun Wu Xie bangun dan terus berlalu pergi. Dia tidak peduli dengan muka Qian Yuan He yang kelihatan marah. Urat-urat berwarna kehijauan mula muncul di pelipis Qian Yuan He akibat kemarahannya yang meluap-luap.

Dia melihat dengan matanya sendiri, pelajar yang paling tidak disukainya itu tiba-tiba berjalan keluar dari kelas, langsung tidak hormat padanya. Qian Yuan He tidak dapat berbuat apa-apa selain keluar dari bilik itu dengan muka yang masam. Esoknya dia berazam untuk mengajar budak kecil itu supaya beradab sedikit dan menghormati gurunya.

Tetapi…..

Kecuali hari pertama itu, Jun Wu Xie tidak pernah lagi menjejakkan kaki ke fakulti Roh Binatang!

Jun Wu Xie pergi bertemu Fan Jin dan Fan Zhuo malam itu juga dan meminta untuk dibenarkan tinggal di salah sebuah kediaman di dalam hutan buluh tersebut. Dia memindahkan semua barang-barangnya dari asrama dan terus tinggal di situ.

Tindakan Jun Wu Xie yang senyap dan pantas itu amat mengejutkan semua orang. Selain memeranjatkan para pelajar dan guru-guru yang menantikan Jun Xie di fakulti Roh Binatang demi menyusahkan dia, Yin Yan juga turut bingung. Lama dia terdiam sambil merenung katil yang kosong di dalam biliknya.

Mereka yang sudah merancang untuk menyusahkan hidup Jun Xie tiba-tiba mendapati diri mereka tidak mempunyai sasaran. Rancangan mereka digagalkan oleh tindakan pantas Jun Xie.