Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 408 - Kejutan yang Tak Dijangka (3)

Chapter 408 - Kejutan yang Tak Dijangka (3)

Yin Yan tak terkata apa-apa kerana dia tidak terfikirkan hal itu.

Sewaktu mereka berdua masih berbual, satu kekecohan tercetus di di tingkat pertama dewan makan itu.

Seorang pelajar berkulit cerah yang dikelilingi kerumunan pelajar lain, berjalan masuk ke dalam dewan makan itu. Dapat dilihat dari paras rupanya yang pelajar ini masih muda, dalam lima belas ke enam belas tahun.

"Zi Mu, selepas segala kekecohan itu sebenarnya kamulah pelajar yang dipilih untuk ke fakulti Pemulih Roh? Kamu dah pun pergi ke fakulti Roh Binatang bersama-sama kami pagi tadi. Saya fikirkan kita akan berlatih bersama-sama nanti. Siapa tahu yang kamu sebenarnya begitu kejam, membuang kami di sana dan kemudian pergi pula ke fakulti Pemulih Roh seorang diri." Kerumunan pemuda di sekeliling Li Zi Mu itu berseloroh dan ketawa.

Pemuda di tengah-tengah itu sedikit malu tetapi dia tetap mengangkat dagu dan tersenyum sedikit. Nampaknya dia amat bangga dengan dirinya sendiri.

"Saya tak tahu yang Tuan Guru berselisih bahu dengan saya itu sebenarnya tanda yang saya telah dipilih. Hal ini dah jadi begitu kecoh." Li Zi Mu menggelengkan kepala dan berpura-pura kesal tetapi matanya penuh kegembiraan.

"Bukan kamu yang bertanggungjawab ke atas kekecohan tu, tapi si penyamar tu." Seorang pemuda di dalam kerumunan itu memberi bayangan sambil menunjuk dengan mulutnya ke arah sudut di mana Jun Wu Xie sedang duduk sendirian. Melihatkan tidak ada reaksi dari Jun Wu Xie, dia menguatkan suaranya supaya jelas kedengaran di seluruh dewan makan itu.

"Orang yang tak ada bakat tu tak perlulah berangan-angan. Cukup bertuahlah dapat bertemu Tuan Guru Gu sekali semasa pendaftaran. Kemudian orang itu ingat dia dapat masuk ke fakulti Pemulih Roh!? Sepatutnya orang tu cerminlah diri, tengok diri sendiri tu sebelum berlagak. Sampai dengan tak malunya pergi ke fakulti Pemulih Roh tu dan dihalau keluar oleh Tuan Guru Gu. Semua tu menyebabkan Tuan Guru Gu terpaksa menguruskan untuk mengambil kembali Zi Mu ke fakulti Pemulih Roh. Orang macam ni memang kelakar."

Suara pemuda itu kuat dan semua orang di dalam dewan makan itu terdengar setiap patah perkataannya.

Kata-kata itu menyebabkan para pelajar yang masih tertanya-tanya mengapa Jun Xie telah dihalau keluar dari fakulti Pemulih Roh pada hari pertama, tiba-tiba menganggap apa yang mereka dengar ini sebagai perkara yang benar.

Mestilah benar. Pelajar pilihan Gu Li Sheng untuk fakulti Pemulih Roh bukanlah Jun Xie tetapi sebenarnya pelajar lain. Jun Xie itu yang terlalu angkuh dan menganggap dialah pelajar terpilih itu lalu berlari ke fakulti Pemulih Roh untuk cuba mencuri tempat Li Zi Mu. Malangnya, sebaik Gu Li Sheng terlihat Jun Xie, dia sedar tentang kesalahan yang berlaku lalu terus menghalau Jun Xie keluar dari fakulti Pemulih Roh.

Pada ketika itu, semua orang yang teruja mahu melihat Jun Xie gelisah dalam masalah yang dihadapinya, tiba-tiba merasakan kebencian muncul dan merebak di dalam hati mereka. Budak yang masih muda ini sudah pun begitu licik dan tidak bermaruah, cuba menangguk di air keruh. Ini amat memalukan.

Di dalam hati, ramai yang memaki Jun Xie kerana sikap buruknya ini dan menganggap dia tidak layak untuk terus berada di Akademi Zephyr. Mereka amat berharap yang Jun Xie akan terus berkemas-kemas dan pergi dari situ secepat mungkin.

Li Zi Mu sedang menikmati segala perhatian dan kekaguman yang diberikan padanya. Dia mahu menyuruh rakan-rakannya berhenti memuji-mujinya, tetapi dia tiba-tiba tidak mahu berbuat begitu setelah melihat mereka begitu mengidolakan dia.

Sebenarnya, keadaan yang berlaku bukanlah seperti yang telah diteka oleh orang lain. Sewaktu Gu Li Sheng menyuruh Li Zi Mu bertemu dengannya, dia sendiri menyatakan yang ini adalah silapnya sendiri kerana tidak memberikan gambaran yang tepat tentang pelajar terpilih itu pada Guru yang mengajar kuliah pada malam pertama. Inilah yang menyebabkan salah faham ini berlaku dan Jun Xie tidak bersalah dalam hal ini.

Tetapi Gu Li Sheng hanya memberitahu perkara ini pada Li Zi Mu yang berasa amat cemburu sewaktu Guru kuliah pertama itu mengumumkan yang Jun Xie ialah satu-satunya pelajar yang layak masuk ke fakulti Pemulih Roh. Kini nasib mereka telah berubah dan dia yang kini menjadi perhatian. Dia tak mahu ambil peduli sama ada Jun Xie bersalah atau tak. Daripada apa yang dilihatnya, masalah Jun Xie ini semuanya sebab dia tak sedar diri dengan kebolehannya sendiri.

Mentaliti seperti inilah yang menyebabkan Li Zi Mu mengada-adakan cerita supaya menjadi lebih sensasi, ibarat mencurah minyak ke atas api.