Yin Yan berasa tidak sedap hati sewaktu dia mundar-mandir di dalam bangunan fakulti. Perasaan tidak senang ini muncul selepas Jun Wu Xie masuk ke pejabat Gu Li Sheng. Beberapa tempoh waktu berlalu dan mereka berdua masih tidak muncul kembali. Ini hanya meningkatkan lagi perasaan bimbang Yin Yan.
Hakikatnya Jun Xie telah menyebabkan Gu Li Sheng membuat pengecualian dan secara peribadi telah menerima budak itu masuk ke fakulti Pemulih Roh lebih awal sewaktu hari pendaftaran. Dia juga membuat keputusan untuk hanya menerima seorang pelajar saja tahun itu. Ini membuatkan Yin Yan amat gelisah.
Sedang Yin Yan masih lagi mundar-mandir dengan bimbang, pintu pejabat itu tiba-tiba ditolak sehingga terbuka dan Yin Yan cepat-cepat bersembunyi di satu sudut.
Dia hanya melihat Gu Li Sheng keluar sendirian, bergegas meninggalkan pejabatnya sambil menghempas pintu pejabat itu tertutup dengan bunyi yang kuat.
Wajah Yin Yan berkerut. Berdasarkan pemerhatiannya sewaktu Gu Li Sheng meninggalkan pejabat, naluri Yin Yan merasakan keadaan tidaklah begitu teruk.
Gu Li Sheng sentiasa mesra dengan orang lain, sama ada pada pelajar fakulti Pemulih Roh sendiri mahupun pada pelajar dari fakulti lain. Dia sentiasa bersikap baik dan tenang. Gu Li Sheng tidak pernah hilang ketenangannya. Sebaliknya hari ini, dia telah keluar dari pejabatnya dalam keadaan gelisah dan berjalan pergi dengan begitu pantas.
"Budak Jun Xie tak guna tu membuatkan Tuan Guru menjadi begitu resah?" Yin Yan berbisik dengan perlahan pada dirinya sendiri.
Tak lama kemudian Yin Yan mendapat jawapan untuk pertanyaannya.
Kurang daripada dua jam kemudian, Gu Li Sheng bergegas datang kembali. Dia terus masuk ke pejabatnya dan seketika kemudian Jun Xie melangkah keluar. Yin Yan menyedari sesuatu. Sewaktu Jun Xie keluar dari pejabat itu, lencana jed yang tergantung di dadanya sudah hilang. Lencana jed itu merupakan bukti seseorang itu datang dari fakulti Pemulih Roh.
Hati Yin Yan melonjak sebaik terlihat keadaan itu.
Selepas Jun Wu Xie keluar dari pejabat tersebut, dia terus berlalu pergi dari fakulti Pemulih Roh tanpa menoleh walau sekali.
Tindak-tanduk Jun Xie yang diperhatikan oleh Yin Yan secara senyap-senyap ini memberitahunya yang Jun Xie telah disingkirkan dari fakulti Pemulih Roh!
Dalam masa satu hari yang singkat, berita Jun Xie disingkirkan dari fakulti Pemulih Roh tersebar dengan cepat ke seluruh Akademi Zephyr.
Kalau berita ini mengenai orang lain, mungkin tidak akan terlalu menarik perhatian. Tetapi Jun Xie sudah pun mengakibatkan kekecohan besar sejak hari pertama kemasukannya ke akademi. Pada saat ini, tak ada seorang pun di dalam Akademi Zephyr yang tidak pernah mendengar nama Jun Xie.
Dia dianggap telah diterima masuk ke akademi itu dengan penuh gemilang dan masa depannya tidak terbatas. Seorang budak yang begitu bertuah sehingga diterima masuk ke fakulti Pemulih Roh. Tetapi tanpa disangka-sangka dia telah disingkirkan dari fakulti itu beberapa jam selepas melangkah masuk ke situ! Kejatuhannya datang begitu pantas dan tanpa dijangka sehingga membuatkan semua orang terkejut besar!
Fakulti Pemulih Roh pernah menyingkirkan para pelajar yang tidak sesuai sebelum ini, tapi itu hanya diputuskan selepas pemerhatian selama satu tahun pembelajaran. Tetapi di dalam kes Jun Xie pula, dia baru pergi ke fakulti Pemulih Roh itu beberapa jam pada hari pertamanya di situ dan sudah pun disingkirkan! Pasti ini kali pertama fakulti Pemulih Roh melakukan hal sedemikian!
Berita ini tersebar dengan cepat, ibarat api yang marak di padang yang kering. Para pemuda yang amat cemburu dan iri hati dengan Jun Xie, begitu gembira dengan kejatuhannya.
Budak yang begitu bertuah sehingga menimbulkan kebencian semua orang semalam, kini telah menjadi bahan jenaka terbesar di akademi berkenaan!
Dalam sekelip mata sahaja Jun Xie sudah jatuh tersungkur ke dalam lumpur dari kedudukannya yang tinggi melangit!
Dalam satu hari sahaja, Jun Xie berubah daripada seseorang yang menimbulkan perasaan iri hati orang lain kepada seseorang yang dianggap sebagai bahan jenaka.
Semua ini tidak diketahui oleh Jun Wu Xie. Selepas dia meninggalkan kawasan fakulti Pemulih Roh, Jun Wu Xie telah kembali ke asrama. Sekarang ini waktu semua orang sibuk dengan latihan mereka dan seluruh asrama itu kosong. Hanya Jun Wu Xie yang berada di situ.
Sambil duduk di atas katil, Jun Wu Xie mengeluarkan lencana jed yang diukir menjadi lambang fakulti Roh Binatang.
Lencana jed ini diberikan oleh Gu Li Sheng sendiri kepadanya sebelum Jun Wu Xie meninggalkan pejabat tersebut.