Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 407 - Kejutan yang Tak Dijangka (2)

Chapter 407 - Kejutan yang Tak Dijangka (2)

Lambang jed bagi setiap fakulti adalah berbeza. Fakulti Roh Binatang menggunakan jed hijau manakala fakulti Roh Senjata menggunakan jed hitam dan fakulti Pemulih Roh menggunakan jed putih.

Kepingan jed di dalam tangan Jun Wu Xie ini berwarna hijau. Ini melambangkan yang dia adalah pelajar fakulti Roh Binatang.

Para pelajar baru fakulti Roh Binatang sudah pun pergi melaporkan diri di bangunan fakulti mereka awal pagi tadi. Namun Jun Wu Xie, pelajar yang diterima masuk separuh jalan itu tidak tergesa-gesa mahu ke sana.

Roh berkontrak Jun Wu Xie adalah berbentuk tumbuhan dan pembelajaran berkaitan roh binatang atau senjata tidak penting baginya. Satu-satunya perkara yang dia mahu belajar ialah cara menggunakan kuasa rohani di dalam badannya.

Kesedaran inilah yang membuatkan Jun Wu Xie mengambil keputusan untuk tidak pergi ke kampus fakulti Roh Binatang secepat mungkin. Ini membuatkan dia terlepas menyaksikan bagaimana reputasinya dimusnahkan oleh "berita terkini" yang tersebar ke seluruh akademi.

Sehinggalah pada waktu tengah hari itu, ketika para pelajar lain sedang bergerak untuk makan tengah hari, barulah Jun Wu Xie berjalan masuk ke dewan makan. Kemunculannya menarik begitu banyak mata yang tertumpu ke arahnya. Pandangan penuh kejahatan, cemuhan dan simpati itu semuanya terarah padanya dan mengekorinya sewaktu dia bergerak. Jun Wu Xie membawa kucing hitam kecil itu bersamanya dan dia nampaknya tidak menyedari pandangan yang dilemparkan ke arahnya. Dia mengambil makanan dan duduk di satu sudut lalu menundukkan kepalanya untuk makan. Tidak mendengar, tidak melihat apa yang sedang berlaku di sekelilingnya.

"Itu Jun Xie!? Budak yang ditendang keluar pada hari pertama?" Sebahagian para pemuda itu yang tak pernah melihat Jun Xie mula tertinjau-tinjau untuk memerhatikan susuk tubuh kecil itu dengan lebih teliti. Mereka tak berminat untuk melihat seorang genius, tetapi kini amat berminat untuk sama-sama menghina orang yang bernasib malang. Mereka mahu melihat rupa Jun Xie.

"Itulah dia orangnya. Baru hari pertama dan sudah ditendang keluar. Kelakar betul." Seorang lagi pemuda mencemuh.

"Tapi bukankah ditendang keluar dari fakulti Pemulih Roh bermaksud dia juga perlu meninggalkan Akademi Zephyr? Apa yang dia masih buat di sini?"

"Entahlah."

Seluruh dewan itu dipenuhi perbincangan dan tekaan mengenai pelajar baru. Mereka bercakap tentang bagaimana dia jatuh daripada kedudukannya sebagai budak yang bertuah menjadi budak yang terbiar dalam masa satu hari saja.

Di tingkat kedua dewan makan itu, Senior Ning memandang ke bawah dari susur dan merenung Jun Xie yang sedang duduk bersendirian di satu sudut. Jun Xie sedang makan dengan senyap, langsung tidak berbunyi. Kening Senior Ning diangkat penuh tanda tanya.

"Itu budaknya yang Fan Jin sedang berikan perhatian?" Senior Ning mengecilkan matanya sambil menjeling Yin Yan di sisinya.

Sebaik menyedari yang Jun Xie sudah disingkirkan dari fakulti Pemulih Roh, Yin Yan telah berlari mencari Senior Ning untuk menyampaikan berita itu. Pada ketika ini, mereka berdua sedang menjenguk ke bawah, menikmati keadaan Jun Xie yang dalam kebingungan. 

"Ya."

"Dia benar-benar telah dibuang dari fakulti Pemulih Roh?" Senior Ning bertanya dengan berhati-hati. "Disingkirkan dari fakulti itu pada hari pertama kemasukannya. Perkara seperti ini tak pernah berlaku sebelum ini dan Gu Li Sheng itu biasanya lemah lembut dan mesra. Dia tidak kelihatan seperti seseorang yang mampu melakukan perkara yang melampau seperti ini."

Yin Yan cepat-cepat meyakinkan, "Memang betul. Selepas Jun Xie pergi, saya sendiri pergi berjumpa Tuan Guru untuk bertanyakan mengapa pelajar yang baru masuk itu pergi begitu saja. Tuan Guru kemudiannya beritahu saya yang pelajar itu tak sesuai berada di fakulti Pemulih Roh dan tak ada sebab untuk dia terus berada di dalam kawasan fakulti."

Mengingatkan kembali raut wajah Gu Li Sheng sewaktu memperkatakan hal ini membuatkan Yin Yan tersenyum.

"Oh? Begitukah? Saya dengar budak tu sudah pun bertemu dengan Gu Li Sheng sewaktu ujian kemasukannya dan Gu Li Sheng menunjukkan minat yang tinggi padanya. Malah di hadapan semua orang di situ, dia telah bertanya sama ada budak itu berminat untuk ke fakulti Pemulih Roh. Baru beberapa hari saja Gu Li Sheng sudah mengubah fikiran?" Mata Senior Ning masih mengecil dan dia tetap curiga tentang hal ini. Semua kejadian ini tak kelihatan seperti apa yang Gu Li Sheng akan lakukan.

Yin Yan membantah, "Itu cuma kata-kata bersahaja dari seorang guru yang baik hati. Macam mana ada orang boleh mengambil serius kata-kata itu? Jun Xie yang dengan tak malunya menganggap Tuan Guru sukakannya dan dia akan dimasukkan ke dalam fakulti Pemulih Roh. Keadaan itulah yang menyebabkan kekecohan berlaku."

"Tapi bukankah Gu Li Sheng mengatakan yang dia hanya memilih seorang pelajar pada tahun ini? Bukankah pelajar itu sudah diberitahu?" Senior Ning masih terus bertanya.