Gu Li Sheng tersenyum berseri-seri. Kali pertama dia bertemu dengan budak ini, dia sudah merasakan yang budak ini sangat menarik. Usianya begitu muda dan dia telah pun mencapai roh tahap jingga. Tetapi apa yang menarik minat Gu Li Sheng ialah roh berkontrak budak ini terlalu lemah. Kelemahan itu pula bukanlah terhasil secara semulajadi, sebaliknya diakibatkan oleh kecederaan yang parah.
Hakikatnya, mengakibatkan kecederaan parah pada roh berkontrak sehingga ke tahap itu adalah sesuatu yang amat sukar dilakukan.
Gu Li Sheng tertanya-tanya apa yang dah berlaku pada budak ini dan membuat keputusan untuk membawanya masuk ke fakulti Pemulih Roh. Namun dia tidak menyangka yang dia juga telah membawa masuk satu pendedahan yang amat mengejutkan dirinya sendiri.
"Jangan terus bersetuju. Saya belum habis bercakap lagi. Bagi mengelakkan sesiapa pun tahu tentang hakikat yang kamu akan menambah baik teknik Pemulihan Roh, kamu tak akan berada di dalam fakulti ini. Kamu pasti sedar tentang betapa menarik dan menggodanya Pemulihan Roh ini pada orang lain. Kalau ada sesiapa yang tahu yang kamu sedang melakukan penyelidikan rahsia ke atasnya, ini mungkin akan mengundang masalah dan membuatkan nyawa kamu terancam. Tetapi kalau saya singkirkan kamu dari fakulti Pemulih Roh dan secara peribadi memohon pada Guru Besar untuk membenarkan kamu terus berada di Akademi Zephyr, hakikatnya ke fakulti mana sekalipun kamu dipindahkan, layanan yang kamu terima dari para pelajar yang lain tak akan mudah untuk ditangani," kata Gu Li Sheng sambil mengecilkan matanya. Disebabkan cara Jun Wu Xie diterima masuk k e fakulti Pemulih Roh itu luar biasa dan diketahui ramai, Jun Xie tanpa sengaja telah menjadi seperti "selebriti" terkenal di dalam Akademi Zephyr. Kalau Jun Xie disingkirkan dari hari pertama lagi dan ditolak ke fakulti lain, segala perasaan iri hati dan cemburu para pelajar lain yang terpendam pasti akan meledak dalam gelombang yang besar dan menyelubungi Jun Xie.
"Apa kaitannya dengan teknik Pemulihan Roh?" tanya Jun Wu Xie sambil memandang Gu Li Sheng dengan serius.
Gu Li Sheng tidak tahu bagaimana mahu membalas soalan sebegitu.
"Saya cuma perlu tahu apa yang saya perlu lakukan," kata Jun Wu Xie dengan tenang. Dia tak peduli dengan apa yang orang tak berkaitan akan katakan atau lakukan. Apa yang penting ialah mencapai matlamatnya.
Gu Li Sheng tiba-tiba ketawa dengan kuat. Dia memandang Jun Wu Xie dengan mata yang dibasahi air mata akibat banyak ketawa lalu berkata, "Kamu ni sememangnya budak paling menarik pernah saya temui."
Kebijaksanaannya, personalitinya….. Tak akan ada orang lain lagi sepertinya.
Siapa di dalam dunia yang pada hari pertama di akademi dapat bersemuka dengan Tuan Guru sendiri dan bercakap dengan penuh yakin. Malah dapat menunjukkan kekurangan yang ada pada pembelajarannya dengan begitu bersahaja serta raut wajah seperti air yang tenang.
Jun Wu Xie tidak memberikan apa-apa reaksi terhadap kata-kata Gu Li Sheng.
"Memandangkan kamu rasa ini tidak menjadi masalah buat kamu, saya akan serahkan hal ini pada kamu. Bila-bila masa saja kamu perlukan apa-apa bantuan, kamu boleh datang berjumpa saya." Gu Li Sheng mengeluh setelah berkata begitu, sedikit berat hati memikirkan yang dia telah menyerahkan satu tugas rumit yang akan secara tidak sengaja membuatkan budak muda ini berdepan dengan banyak cemuhan dan ejekan.
Jun Wu Xie tidak menolak pelawaan Gu Li Sheng yang berniat baik ini. Namun sejujurnya, pada Jun Wu Xie, Gu Li Sheng ini telah….menjadikan dirnya tidak berguna….setelah dia memberikan Jun Wu Xie semua buku yang dibacanya tadi.
Gu Li Sheng berdeham. "Saya akan pergi untuk bercakap dengan Guru Besar. Kamu mahu terus berada di sini untuk melihat-lihat atau…" Gu Li Sheng tidak lagi boleh mengekalkan imejnya sebagai guru yang baik di hadapan Jun Wu Xie. Jelas sekali yang budak ini mendominasinya dalam pertemuan ini.
"Boleh saya baca semua buku ini?" Jun Wu Xie menunjuk pada rak buku Gu Li Sheng yang penuh.
Mulut Gu Li Sheng menggerenyet, tetapi dapat membuatkan dirinya berkata, "Silakan."
Jun Wu Xie terus mengambil beberapa buah buku dari rak tersebut dan menyelak-nyelak helaian muka suratnya dengan pantas sementara Gu Li Sheng berjalan menuju pejabat Guru Besar. Banyak yang dia perlu jelaskan tentang keputusannya untuk "menyingkirkan" Jun Xie dari fakulti Pemulih Roh.
Hati Gu Li Sheng pedih memikirkan hakikat yang dia akan "menghalau" seorang pelajar yang bijak dengan tangannya sendiri. Tetapi dia perlu melakukannya kerana ini akan melindungi budak itu daripada para pelajar yang sibuk mahu mengambil tahu tentang tugasan Jun Xie.
Budak yang begitu muda sudah dapat memahami teknik Pemulihan Roh sepenuhnya. Gu Li Sheng juga tidak mampu mencapai tahap ini. Keadaan tersebut akan hanya mengundang bencana dan mendedahkan Jun Xie pada perhatian yang tidak diingini.